“Barangsiapa yang dapat menangkapnya akan mendapat hadiah 2000 Pound Sterling.” Hebah pihak Inggeris. Mereka begitu beria-ia mendapatkan kamu. Dosa apa yang telah kamu lakukan sehingga besar nafsu mereka mahu menangkapmu. Apakah kerana keyakinan kamu bahawa Mesir harus dibebaskan dari kebudayaan asing yang negatif dan merosak keperibadian Islam serta ketimuran itu. Ataukah mereka takutkan hasil penamu seperti kitab “Al-’Adalatul Ijtima’iyah Fil Islam” (Keadilan Sosial Dalam Islam) dan kitab berjudul “Ma’allim Fi Thoriq.”
Nasser kejam. Nasser itu pengkhianat agama dan bangsa. Sosialisme Arab yang mendokongi pemerintahannya itu hasil celupan barat. Kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain. Dia sudah gilakan kuasa. Jadilah para pejuang dan tokoh agama korban bagi memuaskan nafsu serakah seorang pemimpin diktator.
“Saya berjanji akan bersungguh-sungguh dalam menjalankan risalah ini selama hidupku dan mengorbankan segala yang saya miliki demi terlaksananya misi (risalah) tersebut.” Kata al-Banna. Itu adalah prinsip yang sentiasa beliau pegang teguh dalam dakwahnya. Kamu masih ingat peristiwa itu, pada waktu zohor 12 Februari 1949, ketika beliau keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin, beliau ditembak curi. Pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan, dalangnya Nasser si pengkhianat itu.
Hassan al-Banna sudah pergi menemui Sang Kekasihnya. Pemergian beliau menjadi duka bagi umat Islam, namun itu tidak mematahkan semangat kamu dan para ikwan. Kamu terus berjuang dan mengorak langkah lebih laju. Islam mesti ditegakkan. Mesir mesti dibebaskan daripada berhala barat yang menyesatkan.
Ternyata regim Nasser lebih dahulu bertindak kerana khuatir dengan kebangkitan kamu dan para ikhwan. Lalu terjadilah penangkapan besar-besaran terhadap anggota Ikhwanul Muslimin. 10,000 anggota dan seluruhnya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, termasuk mereka yang berjasa dalam perang melawan Inggeris di Suez. Kata mereka kamu dan para ikhwan mengkhianati negara dan bangsa. Kalian dituduh dan difitnah dengan begitu teruk tanpa ada ruang membela diri. Siapa pengkhianat, regim Nasser atau kalian? Pengkhianatkah namanya jika berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman? Yang mahu melihat negara mereka merdeka dari belenggu barat dan penjajah, pengkhianatkah namanya? Nasser itu sebenarnya pengkhianat. Agama, bangsa dan negara. Dia bertanggungjawab atas segala kerosakan dan kezaliman yang berlaku di Mesir.
Nasser dan regimnya sudah naik gila. Kalian diseksa dan dianiaya secara teruk sehingga hampir 1000 orang mati terbunuh, enam orang digantung mati dalam tempoh 20 hari penangkapan itu. Kamu juga turut tertangkap bersama Dr. Abdul Qadir Audah dan Muhammad Faraghali. Kalian terus-terusan diseksa sehingga Dr Abdul Qadir Audah menemukan syahidnya.
Beberapa ketika berlalu akhirnya kamu dibebaskan oleh penguasa Mesir atas usaha Presiden lraq, Abdus Salam Aref. Bahkan kamu, selepas dari tahanan itu telah mengeluarkan buku berjudul “Tonggak-tonggak Islam,” sehingga kamu ditangkap dan ditahan lagi bersama 46 000 anggota Ikhwanul Muslimin.
Pemerintah Nasser menyangka sudah bisa duduk selesa dengan tindakan kejamnya. Membunuh saudara seIslamnya tanpa belas kasihan. Bukan seorang dua, ramai yang dibunuhnya. Tidak puas menghirup darah al-Banna, dia semakin ketagih darah-darah ikhwan yang lain. Dia menangkap dan membunuh sesukanya. Dia sudah gila. Benar-benar hilang akal.
Disangkanya dengan menguburkan al-Banna, dakwah dan perjuangan risalah Islam akan turut tertanam di bawah bumi sehingga ia bisa bersenang lenang di atas tahta. Dia salah. Sangkaanya jauh tersasar.
Perjuangan itu terus disambung oleh pendokong al-Banna yang setia. Mereka terus berjuang mengibarkan panji-panji jihad. Jasad mereka telah menjadi tukar ganti. Allah telah menyaksikan segala-galanya. Regim yang ganas itu terus menangkap dan membunuh. Penjara –penjara memakan jasad manusia suci yang ikhlas berjuang. Tirai besi menjadi saksi perbuatan kejam mereka. Mereka sudah membunuh pendokong risalah kebenaran itu. Tapi mereka tidak bisa mematikan risalah kebenaran itu. Mereka tidak mampu membunuh perjuangan itu. Kerana risalah itu, perjuangan itu ibarat air. Cantaslah sejuta kali. Cincanglah seberapa banyak. Ia tidak akan pernah terputus dan terhenti.
Perjuangan itu ibarat suatu rantaian. Bukan kamu yang mulakan tapi kamu adalah mata rantai kepada perjuangan itu. Sudah ramai teman-teman yang terbunuh termasuk adik kamu Muhammad Qutb. Namun kamu tidak pernah merasa kecut dan gentar. Kebatilan mesti dijatuhkan. Kebenaran mesti diangkat.
Sewaktu kamu dibawa ke pengadilan, dengan keyakinan kamu berkata.
“Aku tahu bahawa kali ini yang dikehendaki oleh pemerintah (Nasser) adalah kepalaku. Sama sekali aku tidak menyesali kematianku, sebaliknya aku berbahagia kerana mati demi cinta. Tinggal sejarah yang memutuskan, siapakah yang benar, Ikhwan ataukah regim ini.”
Jiwa kamu benar-benar merdeka dengan kebenaran. Sama seperti para ikhwan yang telah terkorban. Islam agama yang benar. Kamu percaya itu. Pemerintah Naseer jauh daripada Islam. Itu yang kamu juangkan. Meski nyawa menjadi taruhan. Kamu tidak gentar.
Lama kamu ditahan bersama ikhwan lain sampai kamu bisa menulis kitab tafsir al-Quran ‘Fi Zilalil Quran’. Sehinggalah Mahkamah Khas Tentera Mesir bersidang, memutuskan kamu dan teman-teman seperjuangan dijatuhi hukuman gantung hingga mati.
Pada hari Isnin 29 Ogos ditetapkan hari kamu dijatuhi hukuman. Sewaktu melangkah ke tali gantung sedikitpun kamu tidak merasa gentar.
“Mati syahid.” Katamu perlahan dan sempat pula menguntum senyuman kepada mereka yang bertanya tentang hukuman yang akan kamu terima.
Akhirnya kamu terkulai di tali gantung. Dan ruh kamu terbang menemui Sang Kekasih yang dirindui.
Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang-tulangku
Yang hancur luluh
Nyalakan obor buat umat ini
Dan……………….
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya
Saudara!
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syurga tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungnya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi
Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan ala mini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar…….
Assyahid Syed Qutb (1903-1966), salam sejahtera ke atasmu.
Dhiya
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan