AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Musafirku


Malam Yang Terasa Dingin

Malam kian menjengah larut. Seakan memanggil-manggil sang makhluk untuk masuk ke dalam peraduan. Sedang di musim peperiksaan seperti ini, jarang kedapatan mahasiswa yang mahu tidur awal. Kebanyakannya berjaga malam menelaah pelajaran. Dan saya antaranya, meski rasa mengantuk terkadang cuba menggganggu.

Saya hampir habis memuraja’ah muqarrar untuk imtihan esok. Ini peperiksaan akhir semester. Harus dibuat yang terbaik. Saya perlu mengekalkan reputasi CGPA agar terus kekal mendapat biasiswa. Itu syarat yang terpikul dan mesti ditunaikan. Meski pun dalam hati, segalanya itu saya lakukan kerana Allah. Melakukan yang terbaik untuk yang satu ini. Bukankah kita diseru agar melakukan sesuatu perkara itu dengan sehabis baik. Apalagi perkara yang sebesar ini. Namun yang penting, semuanya kerana ilmu. Kewajiban yang terbeban sebagai seorang penuntut. Memahami dan mendalami perihal agama, agar kelak umat manusia bisa diperingatkan.

Teman serumah masih belum tidur, sama seperti saya. Sesekali telinga saya ditamui suara mereka dari bilik yang sedang membaca dan menghafal. Di rumah ini kami duduk berlima. Semuanya mahasiswa pengajian Islam. Saya, Asmar, Hisyam, Sya’ban dan Meor. Kebetulan kami satu jurusan pengajian. Saya dan Asmar sama-sama berasal dari Negeri Di Bawah Bayu. Hisyam, pemuda berasal dari Selangor. Orangnya pendiam. Dia sebaya dengan saya. Sya’ban dan Meor masing-masing berasal dari Johor dan Perak. Yang dua orang ini suka berbicara. Mereka rajin bercerita hal-hal sekitar kampus. Mereka cepat mendapat maklumat. Ntah dari mana mereka dapat, mereka itu sudah seperti perisik kami. Meor suka berguran. Kelucuannya menjadi hiburan buat kami semua. Mungkin kerana dia lebih muda dari kami bertiga, saya Asmar dan Hisyam. Teman-teman sudah saya anggap seperti saudara sendiri. Segala pahit manis, susah senang kami pasti lalui bersama-sama. Saling bahu-membahu. Ibarat aur dengan tebing. Kami sudah seperti satu keluarga.

Sewaktu saya berkelana dengan bacaan, tiba-tiba telefon bimbit saya berdering dibalik pintu loker. Saya biarkan dan meneruskan bacaan. Beberapa ketika ia berbunyi lagi. Tumpuan saya sedikit terganggu. Saya bangkit lalu mengambil telefon. Ada dua mesej diterima. Nombor yang sama. Lalu saya buka.

“Assalamu’alikum.” Namanya tidak tertera. Nombor yang tidak saya kenali. Begitu juga mesej yang satu lagi.


“Wa’alaikum salam?” bisik saya dalam hati. Saya tidak menghiraukan mesej tersebut. Saya perlu menumpukan pada bacaan. Saya kerap menerima mesej dari nombor yang tidak dikenali. Bila ditanya siapa, langsung tiada jawapan. Ada pula yang mahu berteka-teki. Saya sudah mulai muak. Sungguh membuang masa. Saya letakkan semula telefon tanpa membalas mesej yang diterima tadi.

Beberapa minit kemudian telefon bimbit saya ditamui mesej lagi. Sepertinya saya tidak mahu melayani mesej tersebut. Tapi tatkala memikirkan kalau-kalau ada hal yang penting. Hidup berpersatuan memang seperti ini. Terkadang waktu-waktu penting terpaksa digadaikan. Ada ketikanya kita juga mesti bersedia berkorban dan bersabar melayani karenah orang-orang. 

Saya buka inbox. Nombor yang sama. Saya tutup sebentar kitab Usul fiqh. Saya baca mesej tersebut. 

“Enta Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, bukan?”

Saya letakkan telefon, mesej itu tidak saya balas. Saya paling tidak suka nombor yang tidak dikenali tiba-tiba terus bertanyakan sesuatu. Alangkah baiknya jika memperkenalkan diri dahulu. Sekurang-kurangnya beritahu nama. Itukan adabnya. 

“Enta Zaid kan.” Mesej nombor itu lagi.

Kenapa waktu-waktu yang seperti ini, orang ini masih bisa mahu menghantar mesej kepada orang. Tidak belajarkah? Atau tidak tahukah sekarang ini orang sedang sarat mengulangkaji pelajaran. Bukankah itu menganggu namanya. Kecualilah bila hal yang perlu dan penting. 

Sudah banyak pengalaman yang saya alami. Pernah suatu ketika saya menerima mesej dari seorang yang sengaja mencetuskan perdebatan. Ada juga yang sengaja bertanya soalan remeh temeh yang sudah diketahui umum jawapannya. Bermacam-macam pengalaman yang saya alami. Saya tidak mahu nombor saya disalah guna. Saya bukan pasif dengan telefon sehingga tidak mahu melayan tetamu yang singgah. Tapi berpadah-padahlah. Jika ianya urusan persatuan atau perkara yang penting, maka itu tanggungjawab saya.

“Walaupun enta tak jawap tapi ana yakin enta Zaid. Mahasiswa ijazah Usuluddin tahun dua. Orang Sabah. Betul bukan?” balasnya penuh yakin.

“Orang ini seperti punya hajat. Mungkin ada yang dia butuhkan.” teka saya. Sebetulnya orang ini memang benar-benar mengenali saya. Mungkin pertanyaan tadi sekadar sengaja memula bicara. Saya mulai bertanya-tanya sendiri. Ah! biar saja.

“Sebenarnya ada yang mahu ana bicarakan dengan enta. Ianya sangat berat dan besar. Ini soal kehidupan dan masa depan.” Katanya.

‘Soal kehidupan dan masa depan?’ Saya tersentak dengan kalimah itu. Orang yang saya tidak kenali. Tiba-tiba mahu berbicara dengan saya soal kehidupan dan masa depan. Apa lagi disaat-saat mendesak seperti ini. Saya semakin keliru dan sangsi dengan orang ini. Saya jadi terfikir, mungkinkah kami saling mengenali. Saya ragu.

“Sebenarnya biar ana berterus terang….”

“Ana ada menyimpan perasaan pada enta. Beri kesempatan untuk ana menjadi suri dalam kehidupan enta.”

Ah! Saya tersentak. Kalimah itu benar-benar membuat saya tidak tentu fikir. Jantung saya berdegup. Terlalu kencang. Saya terdiam. Perasaan saya berkecamuk. Dahi saya terasa basah. Seumur hidup, inilah kali pertama seorang wanita meluahkan rasa hatinya pada saya. Gila!

Saya pandang keluar. Tingkap yang terbuka mengundang embun malam yang membuat tubuh saya terasa semakin dingin. Saya tutupi. Kipas yang berpusing laju saya perlahankan. Ntah bagaimana perasaan saya sekarang ini. Saya cuba lapangkan hati dan tenangkan diri. Saya berzikir-zikir.

Lama saya terdiam, sehingga hati saya kembali tenang. Saya ambil telefon bimbit, saya balasi mesej tadi. 

“Maaf enti ni siapa? Saya tidak kenal. Mungkinkah enti tersalah orang.” 

“Tidak! Saya yakin tidak salah. Saya sahabat seperjuangan enta. Mahasiswi di sini juga. Jika enta lihat ana, enta akan kenallah.”

Saya benar-benar terkejut dengan bicaranya. ‘Sahabat seperjuang’. ‘Saya kenal dia’.

“Bermakna dia sangat dekat dengan saya.” Fikir saya.

Perasaan saya semakin terganggu dengan tingkah orang ini. Kenapa dia tidak berterus-terang sahaja. Saya jadi geram. Saya mulai beremosi. Mujur saya cepat tersedar. Berkali-kali saya beristighfar. Emosi sering sahaja cuba mencantas akal sihat untuk terus bertahta. Saya kembali tenang. Akal sifat membela. Wanita, malunya sangat menebal mengatasi segalanya. Saya menjadi salah menanyakan soalan itu. Pastinya ia tidak berat untuk dijawab. Emosi…emosi…

Saya letakkan semula telefon bimbit di atas meja. Saya sambung semula bacaan saya yang terhenti tadinya. Tiba-tiba pintu bilik saya diketuk. Saya bukakan pintu, memandang Hisyam tercegak di hadapan, saya mengajaknya masuk. Saya hidangkan segelas teh.

“Macam mana study?” tanya saya.

“Alhamdulillah.” Jawabnya ringkas. Saya tenung wajahnya dalam-dalam. Seperti ada yang sedang menganggu fikirannya.

“Zaid, ada yang saya mahu kongsikan pada enta…” bicaranya terhenti. Wajahnya berubah seribu. Tidak tentu. Saya jadi tertanya-tanya.

“Apa dia. Cakaplah.” Bujuk saya. 

Beginilah kehidupan kami sekeluarga. Jika ada masalah atau sesuatu perkara pasti akan dikongsikan sesama kami. Dan saya antara yang selalu menjadi rujukan teman-teman untuk meluah rasa dan berkongsi apa jua. Terkadang juga ada perkara yang kami kongsikan bersama berlima, tanpa perlu berahsia antara satu dengan lain. Hisyam selalu sahaja berkongsi rasa dan kehidupan dengan saya. Saya kenal sangat dengannya. Saya rasa akrab bersamanya mungkin kerana cerita yang selalu dia kongsikan. Hampir semua kehidupannya saya ketahui.

“Zaid. Ibu saya ditahan di wad lagi. Baru tadi saya terima panggilan dari ayah.” Dengan sedu dia berbicara. Saya sedikit terkejut. Saya pandang wajahnya dan memegang bahunya perlahan. Saya membujuknya agar bersabar dengan semua yang berlaku.

“Kata ayah, ibu pengsan pagi tadi dan sampai sekarang masih tidak sedar.”

Saya merenung sayup-sayup matanya. Ada titik jernih bertamu di matanya sekejap jatuh ke lantai. Jarang saya melihat dia menangis. Tapi bila berbicara tentang ibunya dia pasti seperti itu. Saya turut merasai dukanya. Saya mahu menangis bersama tapi saya tahan. Saya tidak mahu dia menjadi lemah melihat saya nanti. Dia mesti kuat.

“Perlukah saya balik malam ni?” soalnya.

Saya cuba menenangkan fikirannya. Dia sedang celaru. Di sini dia dihimpit dengan imtihan, nun jauh di sana sang ibu sedang bertarung dengan kesakitan dan si ayah pula kerisauan. Saya faham perasaannya.

“Doa anak soleh, lebih-lebih lagi yang sedang menuntut ilmu, ia dekat didengar Allah. Ini medan fi sabilillah. Doa enta mustajab, isnyaAllah. Berdoalah.” saya cuba meniupkan semangat kepadanya. Dia hanya terdiam. Mendengar saya berkata-kata padanya.

“Boleh kiranya enta teruskan untuk imtihan ini. Ini paper terakhir.”

“Tapi, bukankah ibu perlu diutamakan. Nabi SAW yang ajarkan kita.” balasnya.

Saya cuba berbicara dekat dengannya. Bukan saya menolak keutamaan seorang ibu. Saya tetap masih berpegang pada ajaran baginda. Situasi ini antara dua kepentingan. Saya terangkan padanya, apa yang dia sedang lakukan adalah amanah ibu dan ayah. Amanah itu wajib dilaksana. Di saat-saat genting seperti ini, peperiksaan itu penentuan atas segala yang telah diusahakan. Jika gagal bukankah itu amat mendukakan ibu dan ayah. Lagi pula dalam keadaan lewat malam seperti ini, mana ada pengangkutan untuk pulang. Selangor itu jauh dari sini.

“Jangan biar mereka kecewa. Hadiahkan mereka dengan kejayaan enta dalam imtihan ini nanti.”

“InsyaAllah selesai imtihan esok kita berangkat pulang. Ana temankan enta.”

Saya pandang Hisyam. Dia tersenyum melihat saya. Hati saya gembira. Itu isyarat bahawa dia menerima syor saya. Fikirannya sudah kembali tenang dan dia merasa lebih bersemangat dan yakin.

“Syukran atas nasihatnya. Asif menganggu waktu enta menelaah.” Kata Hisyam. Selepas menyalami tangan dan memeluk tubuh saya, dia berlalu pergi.

Fikiran saya semakin tidak tentu. Memikirkan mesej tadi. Risau dengan keadaan Hisyam. Semoga dia bisa menghadapi semua ini dengan tabah dan cekal.

“Lapangkan hati saya ya Allah.” Bisik saya dalam hati.

Tidak lama Hisyam keluar, telefon bimbit saya berbunyi lagi. Ringtone Shin Chan. Ada mesej diterima. Saya jadi mahu tidak mahu membaca mesej tersebut. Mesti budak asing itu lagi. Tapi bila memikirkan, kalau-kalau ianya mesej dari orang lain. Yang lebih penting. Saya jadi dua hati. Saya segera bangkit mencapainya. 

Ternyata ianya dari nombor yang sama. Rasa belas tiba-tiba turun mencurah-curah ke segenap tubuh. Saya bacakan mesej tersebut.

“Zaid, ana sudah lama menyimpan perasaan terhadap enta. Ana telah beritahu kepada Ummi dan Walid perihal enta. Mereka yang menyuruh ana menghubungi enta, menyatakan hasrat hati. Ana tidak mahu bertemu atau bersua muka dengan enta kerana mahu memelihara adab.”
 
Saya semakin sesak. Celaru. Seakan saya sedang dihujani ribuan panah dari langit. Saya tidak tahu mengapa saya merasakan yang seperti ini. Sepatutnya ini khabar gembira buat seorang pemuda. Bidadari telah diutus Tuhan sebagai hadiah agung yang tidak terperi. Cinta? Berkali-kali saya beristighfar. Astaghfirullahal ‘azim! Astaghfirullahal ‘azim! Astaghfirullahal ‘azim!

“Walid dan Ummi ada bersebelahan saya. Mereka menjadi saksi setiap bicara kita. Setiap isi mesej Walid dan Ummi ketahui. Ana tidak tahu hendak berbuat apa, hanya ini yang bisa ana lakukan untuk menjaga adab.”

“Enti ini siapa sebenarnya.” Soal saya. Saya masih dalam keadaan kebingungan. Mana tidaknya tiba-tiba saja seorang yang tidak dikenali menyatakan perasaannya. Itukan benar-benar mengundang confuse. Ntah mengapa saya bisa bertanyakan soalan itu lagi. Saya benar-benar merasa terlalu kuat mahu mengenali muslimah ini. 

“Enta memang kenal dengan ana. Tapi sekadar ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu. InsyaAllah bila di izin Tuhan kita akan bertemu.”

“Maaf membuatkan waktu belajar enta terganggu.”

“Ana tidak perlukan jawapan yang segera. Enta discus dahulu dengan Ibu dan Ayah.”

“Pesan Walid, pintalah pada Allah untuk diberikan petunjuk dan pilihan yang sahih.Perbanyakanllah istikharah. Ana setia menunggu jawapan enta. Sirru ‘ala Barakatillah. Asif jiddan.”

Usai membaca mesej terakhir darinya. Lantas saja saya matikan telefon bimbit kemudian saya letakkannya kembali ke dalam laci locker. Saya perlukan ketenangan dan kedamaian. Sesak yang tadi kunjungnya bertubi-tubi menghilangkan selera saya untuk terus menelaah.

Suasana jadi suram dan sepi. Mungkin teman-teman sudah terlena. 

Saya bangkit melangkah dari bilik ke bilik. Saya perhatikan teman-teman yang sudah tertidur. Wajah mereka yang bercahaya, benar-benar terlukis keletihan. Tiba-tiba saya di kunjungi rasa belas, rasa cinta, kasih dan sayang. Cinta saya pada kalian semua tiada bandingannya. Semoga ianya akan terus kekal.

“Semoga Allah merahmati kalian semua, sahabatku!”

Saya terus ke bilik air mengambil wuduk. Saya ingin solat sunat witir. Teringat sabda nabi SAW.

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah solat witir itu sebagai akhir solatmu di waktu malam."
(Muttafaq 'alaih)
Jam sudah hampir menuju satu. Rasa dingin menggigit-gigit tubuh saya. Saya rebahkan tubuh pada katil dan saya tutupi dengan selimut. Saya mahu tidur sebentar. Sesekali saya diganggu hal tadi menyebabkan saya sukar terlelap. Dalam lena saya seperti terdengar baginda Nabi SAW berkata-kata:

"Wahai pemuda! Barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu."
(Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud Radliyallaahu 'anhu- Muttafaq Alaihi.)

“Siapakah muslimah itu? Benarkah ini semua?” soal saya dalam hati. Saya masih dirundung seribu pertanyaan.



Dhiya’
Tawau, Sabah

1 ulasan:

istikharah jalan terbaik..tahniah dari sahabat untuk sahabat., kami menantikan jawapannya...asykurullah jika itu seruannya..ust. zaid,