AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Shobahul Khaer!


Ketika saya terjaga sayup-sayup kedengaran suara bilal Manan dari corong masjid universiti mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Perlahan-lahan saya bangkit dari pembaringan, duduk sebentar sambil mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah Yang Maha Hidup, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Alhamdulillah!

Saya bingkas membersihkan diri untuk menghadap Tuhan Rabbul Jalil, Tuhan sekalian alam. 

Usai bersolat Subuh, saya me’ratib’. Amalan zikir Tarikat Qadiriah Naqshabandiah itu kini sudah mendarah daging dalam hidup. Zikir jahr “Laa ilaha illallah” dan zikir khafi “Allah..Allah”, sambil membayangi dan merasakan keberadaan guru dan para ikhwan.

“Terus zikir. Zikir sampai ingat, hingga timbul rindu, gila dan cinta. Kemudian akan tersingkaplah rahsia-rahsia Allah…” saya masih ingat kalimat-kalimat hikam sang guru, al-Mukarram Dr Abdul Manam yang sentiasa dipesankan.

Selesai berzikir saya menggapai al-Quran bersaiz poket di atas meja. Perlahan-lahan saya kucup penuh takzim kemudian menyelak helaiannya. Saya jadi teringat ketika bersama Syeikh Fahmi al-Banjari dahulu.

“Syeikh mohon nasihatnya…” bisik saya kepada Syeikh Fahmi Zam Zam al-Banjari usai kuliah Subuh di masjid universiti pagi itu. Beliau tersenyum melihat saya sambil membetulkan posisi duduk. Kemudian meneguk secawan air, lalu berkata.

“Selalu baca al-Quran..”

Mendengar itu saya masih belum merasa puas. Saya bertanya lagi,

“Lagi Syeikh..?”

“Banyakkan baca al-Quran..” jawapan ringkas dengan pelat orang kedah. Beliau tersenyum. Saya terdiam, lalu tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Terus tenggelam bersama ayat-ayat cinta dari Allah. Hati, ruh dan jiwa karam dalam rasa takut, harap, rindu dan cinta. Rasa berTuhan. Rasa diperhatikan Allah. Oh, nikmatnya! Mata bah dengan titisan air. Tersentak dengan bicara Allah pada ayat 46 surah al-Haqqah,

“Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta merta)…”

Di luar jendela, kicaun beburung mulai kedengaran memuji Tuhan. Tuhan yang sentiasa Hidup dan Kekal. Tuhan yang Maha Mendengar dan Melihat. Yang tidak menyerupai apapun. Sungguh zikir-zikir yang dilantunkan sang makhluk Allah yang satu ini sangat merdu. Dan pagi itu terhias indah dengan tasbih-tasbih seluruh makhluk penghuni langit dan bumi.

“Maha Suci Allah dari sifat kekurangan…”

Lama saya menunduk dan terdiam. Tangan masih memengang tasbih. Air mata masih tersisa. Saya kesat perlahan. Hati terasa damai. Tenang dan tenteram dengan mengingati Allah. Saya bangun dari tikar sembahyang menggapai kitab Riadhus Sholihin yang tersusun rapi pada rak buku kemudian duduk pada kerusi berwarna biru. Saya selak langsir tingkap dan membuka sedikit jendela, angin pagi menyelinap masuk membawa dingin. Oh nikmat!

Angin pagi seolah-olah membawa perkhabaran dari sang mu'allim. Ingatan jatuh pada pesan Syeikh Mizi,

“Bacalah kitab Riadhus Sholihin setiap pagi. Paling tidak seminggu sekali.”

Semenjak mendapat amanat daripada beliau, saya jadi asyik dengan bacaan hadis-hadis pada kitab karya Imam al-Nawawi yang mulia itu. Seakan-akan nabi sedang berada di sisi, berbicara dengan diri. Dan sehingga saat ini saya, tidak pasti mengapa Syeikh Mizi memberikan amanat itu. Pasti punya rahsia yang bakal tersingkap nanti. Amen ya Rabb!

Beberapa waktu kemudian, fajar pun terbit dari jihat timur, kicauan burung semakin rancak laksana serunai nafiri mengelu-elukan kedatangan maharaja siang yang menang dalam perjuangan. Awan di timur dan di barat, berbagai-bagai rona nampaknya, laksana menunjukkan perayaan alam yang terjadi tiap-tiap pagi dan petang. Tidak lama kemudian matahari pun terbitlah.

“Sesungguhnya aku terjaga di pagi hari dengan kesedaran bahawa kerajaan bumi dan segala isinya ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepadaNya aku akan dibangkitkan.”

“Aku terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas dan dalam agama nabi ku, Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dalam ajaran bapa kami Ibrahim yang hanif lurus sedang dia bukan seorang musyrik.”

“Ya Allah pada pagi ini aku nikmati afiat pemberianMu (keselamatan dari mara bencana) dan terjaganya rahsia-rahsia (dosa-dosa) ku, maka sempurnakan nikmatMu, afiatMu dan penjagaanMu itu atasku di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah, nikmat apa saja yang aku peroleh di waktu pagi hari seseorang di antara makhlukMu sebenarnya adalah dariMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.”

“Ameen..ameen..ameen..ya Rabbal ‘alamin!”

Shobahul Khaer!

Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya’
Jami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
28 Jamadilakhir 1432H


0 ulasan: