Subuh ini bening. Hujan turun dikit-dikit. Saat jam sudah berangka 5, aku terjaga. aku ingin bangkit. Tapi tubuh terasa berat kerna keletihan. Sebetulnya tidak begitu, nafsu yang dikatakan Imam al-Ghazali paling besar di dunia ini, itulah yang membebankan. Syaitan yang sedang memasang tali jeratnya, berjaga-jaga. Aku terlelap lagi. Tidak lama, kerna aku terjaga 15 minit kemudian. Di luar hujan masih bersenandung.
Aku bingkas membersihkan diri dan bersiap. Dan syaitan pun menangis, tewas!
Setelah bertahajjud dua rakaat dan berwitir, aku gapai kitab Riadhus Shalihin lalu memasukkannya ke dalam beg kemudian melangkah keluar dari rumah, memulakan rutin di pagi Subuh.
Di luar hujan masih turun, walaupun sedikit. Aku bisa sahaja memungkiri jadual. Tapi aku tidak sampai hati melakukannya. Aku akan merasa bersalah pada pada diri, lebih-lebih lagi pada beliau. Hujan? aku redah!
Disepanjang jalan, azan Subuh sahut-sahutan. Merayu sang hamba agar segera membesarkan Tuhan. Ada hamba yang sebenar hamba, yang setia kepada Allah dalam segala musim dan ketika. Ada hamba yang berlagak tuan, yang derhaka bukan kepalang, berlagak sebagai Tuhan. Dan hamba yang sebenar itupun bangkit dengan penuh kerelaan, menghadap Tuhan yang satu, Allah Azzawajal.
Subuh dirumah Allah tidaklah seperti Masjidil Haram. Sangat beda. Ini sungguh ku katakan kepadamu kawan. Boleh jadi tiang-tiang masjid lebih banyak daripada para musolli. Itupun nasib baik orang-orang tua kita sudah sampai seru, kalau tidak, alamat kiamatlah dunia. Anak muda? Innalillahi wa inna ilaihi raaji’un, mati syahid di atas ranjang.
Syeikh memulai pengajian usai bersubuh. Membicarakan mutiara-mutiara hadis pada kitab Riadhus Shalihin, dipagi yang bening, sungguh mengasyikkan dan mendamaikan hati. Sang Utusan seolah-olah berbicara terus pada diri. Dan kini sudah hampir dua tahun aku menelaah kitab ini dengan beliau, waktunya dipagi Sabtu atau tepatnya setelah solat Subuh.
Beliau selalu berpesan agar sering-sering membaca hadis dalam kitab itu dipagi hari. Aku tidak bertanya lanjut mengapa beliau memberi saranan sebegitu. Tapi aku yakin pasti ada sesuatu yang istimewa, kerna setiap kali aku membacanya dan menghafal hadis-hadis itu aku dapat merasakan kelainan yang tiada taranya. Juga aku dapat melepaskan rinduku padanya, Sang Utusan! Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan aku punya cita, kelak bila aku punya isteri, akan ku bacakan hadis-hadis ini bersamanya sebagai rutin harian kehidupan kami. Ameen ya Rabb!
Dhiya’
Kampus KUSZA
4 Zulhijjah 1432H
1 ulasan:
~ Smg Allah permudahkan segala urusan.." الطيبين لطيبات"
*musafir malam
Catat Ulasan