AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Ulang Tahun Lagi II & Diari Cinta


Ku kira di dunia ini sudah tiada lagi bidadari. Yang bermata binar, qasrut torfi - yang sentiasa tertunduk malu, tidak liar pandangannya -, baik akhlaknya, cantik rupa parasnya, terjaga dirinya dan penampilannya...

Kerna yang ada di hadapanku...

Perempuan-perempuan yang berpakaian cantik tapi bertelanjang. Meski ada secarik kain di atas tubuh, sangat nipis dan ketat sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan berlenggang lenggok, menghayun-hayun bahu dengan sanggul di atas kepala seperti bonggol unta yang senget - perasan cantik -, mata melirih liar sambil kelopaknya digerak-gerakkan, selang-seli dengan gelak ketawa seperti nyonya gila di hospital sakit jiwa.

Kembali ku perhatikan, dua tiga lelaki sudah hilang dalam hitungan. Hanya tinggal seorang berambut cacak – seperti baru terkena kejutan elektrik - jauh di hujung meja bernom..bo..r...? ah, aku baru perasan meja-meja ini tidak bernombor. Tapi tidak lama, lelaki itu mulai mengangkat kaki dan berlalu pergi. Tinggallah aku seorang. Lelaki melayu terakhir di kafe makanan. Oh dimanakah jejaka-jejaka yang lain? Suasana seperti ini jelas untuk menangkap pesan Nabi, petanda kiamat itu sedikitnya lelaki dan ramainya perempuan hatta nanti seorang lelaki akan mengurus 50 orang perempuan.

“1:50...” nisbah yang sangat besar. Hendak mengurus seorang cewek pun payah. Bagaimana jika 50. Payah...payah...payah...

Mungkin tepat, jika telaahku mengatakan inilah tempoh masa akhir zaman. Bermakna kiamat sudah dekat!

***

Entah apa yang membawa jari kecilku berani nakal mencari-cari lagu. Now And Forever, klik dan laptop pun menyanyi. Suara serak basah Richard Marx dari lubang-lubang kecil mencuri perhatiannku, membawaku kepada suatu zaman yang pernah membuat hidupku terasa indah dan berharga. Zaman kecil! Zaman yang dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang. Ibu sering meniru-niru suara Richard Marx ketika mendodoikan aku, meski aku tahu sebenarnya suara mereka tidak akan pernah sama. Ku kira suara ibu lagi indah. Dengan loghat Inggeris Philipines, huruf R sentiasa terdengar keras di lidah. Aku rindu.

Sambil menghirup susu lembu tanpa gula. Nikmatnya!

Saat hendak menyua gelas ke muka bibir sekali lagi, terbayang Richard Marx menyanyikan gurindam dari kitab Veda dengan berpakaian sami Buddha,

Wahai lembu yang suci!
Untukmu sanjungan dan doa,
Dalam apa saja bentukmu,
Lembut betina yang mengeluarkan susu pada waktu pagi dan ketika senja,
Atau anak lembu, atau lembu jantan besar,
Biarlah kami sediakan suatu tempat yang luas dan sesuai untukmu,
Dan air bersih engkau meminumnya,
Moga-moga engkau merasa bahagia di sini!  

‘Ibuku lembu.’ kata Mahatma Gandhi,

‘Ibu saya lembu melebihi ibu saya yang sebenar dalam beberapa hal. Ibu yang sebenar menyusukan kita selama setahun atau dua tahun dan sebagai balasan dia meminta kita berkhidmat kepadanya sepanjang umur. Tetapi ibu kita lembu memberi kita susu terus menerus dan tiada meminta apa-apa balasan kecuali makanan biasa. Apabila ibu yang sebenarnya sakit, kita mengeluarkan perbelanjaan yang besar, tetapi apabila ibu kita lembu sakit, kita tiada rugi apa-apa yang berat. Apabila ibu kita yang sebenar meninggal dunia, acara pengebumiannya memakan belanja yang banyak, ada apabila ibu kita lembu mati, dia terus memberi kita faedah sebagaimana hidupnya juga, kerana kita dapat menggunakan sebahagian dari badannya termasuklah tulang, kulit dan tanduk.’

Dan dengan bangga beliau mengatakan, ‘berjuta-juta orang Hindu menghadap lembu untuk menyembah dan memujanya, dan saya adalah salah seorang dari mereka yang berjuta-juta itu.’

Aku tergelak dalam hati. Air susu lembu tanpa gula hampir tersembur keluar dari rongga tekak. Terasa pahit.

Ibuku lembu? Nonsense!

***

Dicelah perempuan-perempuan sinetron itu, aku melihat suatu keindahan yang belum pernah aku rasakan. Membuatku tersihir seketika. Aku sangkakan bidadari sudah diangkat Tuhan ke langit. Padahal di mataku, terlukis sekujur tubuh. Bidadari!

Bukan itu sahaja. Aku diperlihatkan dua permandangan berbeza, sangat ketara. Yang ku namakan perempuan dan bidadari. Yang satu tampak lekuk-lekuk tubuhnya, bermata liar, becok mulutnya. Ku lihat ada seekor syaitan sedang menari-nari di sisi. Mengoda-goda nafsu. Sial!

Tapi yang satu ternyata begitu menyenangkan, tenang matanya terjaga, tunduk malu, penampilannya sangat terpelihara dan ku lihat ada malaikat mengepa-ngepakkan sayapnya perlahan sambil bertasbih dan berdoa. Rahmat Tuhan turun mencurah-curah dari langit.

Melihatnya jantungku berdegup laju. Tapi tidak selaju larian Usain Bolt atau celeritas cahaya. Ku pasti belum pernah berasa seperti ini. Aku paling tidak mudah terpesona dengan sebuah permandangan kecuali ia benar-benar indah. Dan di mataku bidadari itu sangat indah hingga membuat hatiku terduga.

Ku kira di dunia ini sudah tiada lagi bidadari. Tapi apa yang ada di hadapanku kini.

Oh Tuhan, siapakah bidadari itu?

***

Ku lihat jarum-jarum jam sudah mulai cemburu padaku. Buktinya mereka turut mencebik muka saat melihatku. Jarum pendek yang terpaku di tepi angka dua memalingkan wajahnya. Sedang jarum menit mengejek-ngejek aku di kaki lima.

“Sudah pukul 2.25 pagi...”

Di atas tilam, telefon bimbit yang hampir terlelap terus dikunjungi ucapan ulang tahun. Ku harap dia tidak cemburu padaku. Sesekali aku membuka dan membaca pesanan yang masuk. Telefon bimbit menguap, ‘low bat..’ tupp! dia benar-benar tertidur.

Ku bangun mendapatkan diari cinta di sisi meja. Diari itu sudah kelihatan semakin uzur, hanya menanti ajal kemudian dikebumikan ditanah perkuburan sampah. Jika bernasib baik dia akan mengalami proses ‘Tanasukh’, kelahiran semula dengan bentuk yang lain. Recycle!

Ku selak helaian demi helaian. Ku temui gambar ibu dan ayah. Ku pegang dan perlahan ku kucup penuh cinta, aku berbisik ‘..ya Allah, berkatilah ibu dan ayah...ameen”. Ku selak lagi helaiannya, semua ada contengan. Dan...akhirnya ku temukan!

“PERANCANGAN HIDUPKU.”

Perkataan berwarna hitam itu kelihatan jelek dipandang mata. Aku hampir tidak percaya tulisanku sejelek itu. Cakar ayam! kata cikgu Arifin semasa sekolah darjah lima di kem tentera dahulu. Aku tersenyum malu.

Ku perhatikan tulisan jelek itu satu persatu.

2006-2009
(Diploma KIPSAS)

2009-2012
(Ijazah al-Azhar Mesir atau Acheh Indonesia)

2013
(Nikah)

Sekali lagi aku tersenyum malu. Kali ini bukan kerna tulisan jeleku atau leteran guru Bahasa Melayu tapi aku tersenyum malu melihat perancangan sendiri. Ternyata apa yang dirancang manusia tidak semua akan terlaksana. Sehebat dan serapi manapun. Walau ditulis indah dengan ayat-ayat cinta Kang Abik atau dilakar oleh tangan Picasso, pelukis yang terkenal itu. Sekalipun diukir oleh arkitek Taj Mahal yang dibunuh Shah Jahan. Kerna perancangan Allah adalah lebih baik. Perancangan Allah lebih indah dari ayat-ayat cinta Kang Abik, lebih seni dari lukisan tangan Picasso malah lebih indah dari ukiran arkitek Taj Mahal. ‘Kamu merancang, Aku juga merancang, dan perancangKu adalah lebih baik.’  

Untuk Diploma aku berjaya dengan selamat. Untuk ijazah aku terdampar nun di hujung kota, yang saat ini tinggal berbaki setahun lagi. Mesir dan Acheh hanya dalam bayangan. Dan semua adalah sebuah perancangan dari Tuhan.

“Untuk Nikah?”

Barangkali akan ku temukan jodoh di sini.

Perempuan-perempuan sinetron? Oh tidak!

Atau Bidadari itu? Ameen ya Rabb!


Dhiya’
Gong Badak
4 Zulkaedah 1432H

0 ulasan: