AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Khabar Dari Seberang


Bumi Aceh sudah bertukar gelap. Di masjid, surau dan madrasah terisi dengan kuliah ilmu yang di pimpin oleh para ilmuan yang berwibawa. Bumi Serambi Mekah ini kaya dengan ilmu. Di sini telah lahir ramai para ulamak. Syukur saya dapat berada di bumi ini. Walaupun keadaannya sedikit berbeda daripada dahulu. Namun semua masih bisa hidup secara aman.

Malam ini saya tidak tahu untuk berbuat apa. Kepala masih terasa sedikit sakit. Saya cuba mencari hidangan yang bisa meredakan beban kesakitan yang saya tanggungi ini. Saya cuba untuk membuka internet, menziarahi blog teman-teman. Kalau-kalau ada khabar dan perkembangan baru daripada seberang, tanah tumpah tercinta. Saya singgah melewati blog seorang teman sewaktu kuliah dahulu. Beliau sekarang sedang menuntut di sebuah universiti di Malaysia, sedang saya terlantar jauh di bumi orang. Saya buka blog tersebut. ‘Jangan Lacurkan Tanah Ini’ tajuk artikel tertera pada blog.

Di awal keberadaan saya di bumi ini, hampir sahaja saya tidak percaya bahawa saya sedang berpijak di universiti ini. Lama dahulu saya sering kali diperdengarkan akan kehebatannya sebagai sebuah pusat pengajian Islam (IPT). Terlalu pantas perubahan berlaku. Kini kolej universiti ini dahulunya telah dinaik taraf dan diubah sebahagian sistemnya. Lalu perubahan yang berlaku ini juga telah turut menjangkit (merubah) bi’ahnya dan para mahasiswanya. Suasana Islamiknya juga semakin menyurut. Jasad kolej Islam dahulunya mungkin sudah terkubur ditanah sendiri. Di tanah yang kita pijak sekarang ini.

“Kembalikan suasana dahulu.” Tegas seorang mahasiswa.

“Dahulu lebih baik dari sekarang. Kami mahukan suasana dahulu.” Tambah seorang lagi.

Mungkin ramai dikalangan mahasiswa zaman kolej Islam juga tenaga pengajarnya (pensyarah), yang merindui suasana kolej Islam dahulunya. Dan mungkin ramai yang akan mengangkat suara bantahan apabila ada slogan ‘Kembalikan kolej Islam” dicetuskan. Seperti itulah ada pro dan kontranya. Yang bersetuju pastinya membawa hujah positif. Yang membantah juga tidak kurang dengan hujah yang baik dan mampu diterima.

Tanah yang kita pijak sekarang ini tidak pernah berubah. Yang diubah hanyalah namanya. Kolej Islam yang dahulunya sebuah kolej dibawah kerajaan negeri lalu dinaik taraf menjadi universiti, maka mestinya nama itu ditukar. Hakikatnya tidak timbul soal nama dan istilah.

Ada benarnya jika kita mengatakan perubahan kolej Islam ini disebabkan penaik tarafan sebagai universiti. Kerana sifat yang ada pada universiti adalah ‘independent’. Aku adalah aku. Kamu adalah kamu. Istilah mudahnya ‘nafsi-nafsi’. Mahasiswa bebas berbuat apa kecuali tidak melanggar peraturan AUKU. Mahu berdua-duaan antara lelaki dan wanita tanpa ikatan? Bebas berpakaian? Bebas bergaul tanpa batas agama?

Selama satu semester saya terhidang dengan suasana jijik di tempat mulia ini. Penghuninya telah mengotorkan tempat ini dengan tingkah-tingkah mereka yang jelek. Mereka membawa sampah-sampah kotor (perangai buruk) dari luar lalu dicampakkan di sini. Ke tempat suci ini. Akhirnya bumi ini telah kotor, dicalit oleh dosa-dosa sebahagian penghuninya yang sombong dan bongkak.

Mereka tanpa segan silu mengadakan konsert hiburan yang melalaikan ditambah dengan aksi tarian yang melampau. Mereka dengan berani menghalang segala tindak tanduk pergerakan mahasiswa Islam. Mereka obsis pada aktiviti Islamik yang dimahukan mahasiswa. Mereka membelakangi kita. Mereka menganak tirikan kita. Mereka mengenepikan hak kita. Mereka melakukan sesukanya menurut kehendak dan keinginan mereka. Mereka telah mencabar kita. Cis!

Jangan dicabar mahasiswa Islam!

“We are the young angry man.”

Jangan dijadikan tanah yang suci ini sebagai tempat untuk kalian melempiaskan nafsu buruk dan dosa noda.

Jangan! Tanah ini suci.

Titipan,

Muhammad Furqan

Membaca e-mel darinya, saya seperti turut sama berkongsi apa yang dirasainya saat ini. Dia berbicara dari lubuk hati yang dalam. Luahan perasaan seorang mahasiswa yang cintakan kedamaian dan ketenangan ajaran Islam.

Membaca titipannya, saya merasa sudah cukup meringankan kepala yang tadinya terasa berat. Sakitnya mulai beransur hilang.

“Semoga Allah memberkatimu saudaraku. Muhammad Furqan.”


Dhiya’

Kampus KUSZA, UDM

0 ulasan: