“Enta Indonesi?” sapa wanita itu.
“Tidak. Saya orang Malaysia.” balasku. Aku mengerti kenapa dia bertanya seperti itu. Aku tersenyum. Seringkali kemana-mana pasti aku diajukan soalan yang sama, ‘kamu orang Indonesia’, aduh gawat si.
Selesai temuduga kerja, aku bergegas menuju kedai buku. Setiap kali aku punya kesempatan ke kota, aku tidak bisa menahan diri untuk singgah ke kedai buku. Dan setiap kali aku ke kedai buku, aku tidak sampai hati keluar tanpa membeli sesuatu. Buku.
Ada beberapa hal yang kutimbang soal membeli. Pertama, buku itu benar-benar kuperlukan. Kedua, pesanan daripada guruku agar membacanya. Ketiga, penulis dan buku itu benar-benar kukenal – maksud sudah dikaji dan diketahui latar belakang buku dan penulisnya. Keempat, buku yang dijadikan rujukan umat. Kelima, kitab atau buku-buku tua. Keenam, ditulis dengan bahasa sastera yang indah. Wah!
Sejam di dalam kedai, menjelang Asar aku keluar. Kubeli beberapa buah buku. Terutama buku yang dipesankan Syeikh Mizi membacanya, Tibb al-Nabawiy dan Talbis Iblis. Kubeli juga beberapa buah kitab tua tulisan ulamak Jawi. Yang paling menyenangkan apabila aku bertemu dengan buku karangan Bekas Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Tuan Guru Hj. Sa’id bin Hj. Ibrahim. Aku senang sekali! Kebetulan aku sedang mengumpul dan mengkaji tulisan beliau yang lebih daripada 20 buah, antaranya Sinaran Fiqh, Mengenal al-Quran, Manasik Haji & Umrah, Qanun Jenayah Syariah, Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam, Soal: Jawab Nikah Kahwin, Fiqh Mazhab Syafie & Pendapat Imam-Imam Mazhab, Perbandingan Aqidah & Fahaman Umat Islam dan Minhaj Ilmu Fiqh. Kufikir wajar menelaah karangan beliau sekalipun ada yang kurang selesa dengan pesanannya tentang Ibn Taimiyyah.
Sebetulnya aku baru mengenal bekas Mufti Sabah - yang mulia ini - lewat karyanya Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah semasa pengajian di Kolej Islam Pahang dahulu. Masih segar diingat, setiap pagi Ahad aku dan teman-teman mempelajari kitab ini di hadapan guru muda - yang tawaduk -, Ustaz Shahrul Nizam Abdul Haliff. Ustaz Sharul Nizam, ulamak muda lulusan Universiti Hashimiah, Zarqa’ Jordan, bicara lembut, satu-satu, perlahan dan cukup tajam, persis Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Sepanjang bersama beliau, banyak perkara yang aku pelajari. Ilmu, adab, akhlak, dakwah dan perjuangan. Ustaz Shahrul Nizam, aku rindukan mutiara indah yang terpancar dari belahan bibirnya.
Aku sudah terlewat. Ketika melangkah pergi, azan memanggil-manggil. Aku mahu bersolat. Kerna bagaimanapun solat harus didahulukan. Aku singgah di Masjid Puteh bersolat jemaah.
Solat Asar berakhir, aku mengulang-ulangi bacaan al-Quran yang akan aku perdengarkan di hadapan Syeikh Abdul Salam nanti. Aku harus mempersembahkan bacaan yang terbaik pada beliau. Aku mesti bersungguh. Kerna bukan mudah dapat bertalaqi dengan beliau. Syeikh yang diakui pakar dalam bidang qiraat. Lebih-lebih lagi bacaan bersanad. Aku merasa sungguh bertuah dapat bertalaqi qiraat al-Syatibi bersama beliau. Bahkan aku yakin tidak semua orang diberi kesempatan untuk mempelajari kalam-Nya. Hanya mereka yang dipilih Tuhan. Orang-orang yang ikhlas dan suci. Hanya itu.
Kerna berapa ramai yang mengambil enteng soal al-Quran. Kawan berani kukatakan, orang Melayu kita sekarang ini ramai yang tidak fasih membaca al-Quran. Itu belum dikira yang buta Quran. Yang pandai sahaja belum tentu membacanya. Yang membacanya belum tentu tepat. Yang hafiz belum tentu ingat hafalannya. Malah belum tentu betul benar bacaanya. Dan yang sangat mengaibkan, ada orang melayu kita yang langsung tidak punya Quran sendiri. Yang punya Quran sahaja tidak pernah menyentuhnya kecuali sewaktu pertama kali membeli atau menerima hantaran perkahwinan. Hanya itu.
Kita terlalu jauh. Jauh dibanding orang dahulu yang dijanjikan Syurga. Cuba lihat contoh Ikrimah bin Abi Jahl, sangat gusar hatinya bila melihat lembaran-lembaran yang bertuliskan al-Quran berserak-serak seolah-olah tersia-sia, lalu ia memungutnya selembar demi selembar sambil berkata, ‘Ini adalah kalam Tuhanku! Ini adalah kalam Tuhanku, membesarkan kalam Allah bererti membesarkan Allah.’.
Tapi kita. Sudahlah ‘lebar batang tekak’* dan buta huruf, berani pula menghina-hinakan al-Quran. Mempermainkan hukuman dan peraturan yang terkandung di dalamnya. Kesian!
Setelah benar-benar siap, aku berangkat menuju ke rumah Syeikh. Pukul lima lebih aku sampai dan terus menghadap beliau memperdengarkan bacaan al-Quran. Aku benar-benar merasa lazat membaca al-Quran. Aku dapat merasakan. Ternyata benar sungguh firman Tuhan, “Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”.*
Membaca dan mendengar bacaan al-Quran dengan baik bisa menghibur dan memenang jiwa, mengusir rasa sedih dan gelisah, melunakkan hati yang keras serta menghadirkan petunjuk ilahi. Itulah yang dimengertikan dengan Rahmat Tuhan, dihadiahkan kepada orang yang membaca dan mendengarnya dengan baik. Sungguh besar kuasa al-Quran, yang tidak akan jemu orang membaca dan mendengarkannya. Malah semakin sering membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada al-Quran itu. Tatakala al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang indah dan merdu akan memberikan pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya, menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.
Kawan, apakah kau merasakannya. Sungguh kukatakan kita terlalu jauh dari semua itu. berapa ramai mencari hiburan liar untuk menenangkan jiwa-jiwa mereka. sekali lagi kutegaskan kita berbeza dibanding generasi dahulu yang dijanjikan Syurga. Mari kuceritakan lagi untukmu,
“Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Mas’ud r.a. meminta nasihat, katanya: ‘Wahai Ibnu Mas’ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut.” Maka Ibnu Mas’ud menasihatinya, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ketempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, disana engkau berkhalwat menyembah Allah, umpama di waktu tengah malam buta, disaat orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu belum juga terubati dengan cara ini, engkau minta kepada Allah, agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu.” Setelah orang itu kembali kerumahnya, diamalkannyalah nasihat Ibnu Mas’ud r.a. itu. Dia pergi mengambil wuduk kemudian dibacanya al-Quran dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca, berubahlah kembali jiwanya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali.
Nah, sekarang giliran kita. Apakah kita mahu mengambil al-Quran sebagai ubat atau kita memilih hiburan liar dan pil-pil khayal. Tepuk tangan tanya iman!
bersambung lagi ya...
Dhiya’
Terengganu Dar Al-Iman
3 Safar 1433H
_____
* ‘Lebar batang tekak’ kinayah kepada BODOH.
* Surah Al-A’raaf: 204