KUMULAI di sini...
Begini, ada sekumpulan manusia. Mereka ini hamba Tuhan. Kisahnya, mereka ada melakonkan suatu adengan, perbualan di sebuah gerai makan dengan mengutuk-ngutuk orang tertentu. Tidak habis di situ, mereka menyelitkan ungkapan-ungkapan persis menghina wahyu Tuhan. Astagha!
***
Kawan hidup ini ada dua. Wahyu dan nafsu. Kebenaran itu adalah wahyu. Selain dari itu adalah nafsu yang tercela. Siapa mengikuti wahyu, dia benar. Siapa mengikuti hawa nafsu, dia menentang kebenaran. Begini dalil Tuhan, ““Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan keadilan, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38: 26)
Apabila wahyu mengatakan sesuatu itu benar, lawannya adalah nafsu. Apa saja yang mengikut nafsu, automatis bertentangan dengan al-haq. Sekarang cuba kau baca firman-firman Tuhan yang menyebut tentang nafsu, pasti Tuhan mencelanya dan mengutuk pengikutnya. Persis benar dengan kata Ibn Abbas, ‘bila mana Allah menyebut perkataan nafsu ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maksud kenapa diturunkan syariat iaitu untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut nafsu.”
Kawan, ku bawakan firman Tuhan.
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An-Nisa’ 4: 51-52)
Kau tahu kawan apa kata Ibn Taimiyah pada membaca ayat Tuhan ini? Begini katanya, ‘Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu perkara di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya. Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak menghukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Demikian jugalah yang terjadi pada golongan yang mengaku Islam tetapi mereka menjalankan undang-undang mengikut pandangan ahli falsafah atau mereka memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah. Apabila diseru kepada mereka: ‘Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!’, mereka palingkan muka mereka dengan bersungguh-sungguh.”
Ah sudah, aku tidak mahu berbasah basi. ‘Pilihlah, sama ada mahu menerima syariat Allah ataupun mengikut keinginan orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah diantara syariat yang lurus dan nafsu yang berubah-ubah.’ Kata Syed Qutb. Kemudian beliau lanjutkan ‘Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya bertindak berhukumkan nafsunya. Tiap-tiap sesuatu yang lain dari syariat Allah adalah nafsu yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.’
Nah, seperti kukatakan hidup ini antara wahyu dan nafsu. Jika kau berani menghina hukum Tuhan bermakna kau memilih nafsu sebagai kehidupan. Jika kau turuti ajaran wahyu, kau adalah benar, kau adalah benar. Kawan, fikirkanlah!
Dhiya’
Kuala Terengganu
16 Muharram 1433H
Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
Imam Al-Syatibi, al-Muwafaqat, juzu' 6
Imam Ibnu Taimiyah, Majmu' Fatawa, juzu' 12
Syed Qutb, Fi Zilal al-Quran, juzu' 25
0 ulasan:
Catat Ulasan