AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Tuhan Suka Angka Ganjil

MALAM menjengah kelam, larut bersama kegelapan. Sedang aku, asyik menjamah mawaaid pada kitab Qatrul Ghaisiyyah fi Ilmil Sufiyyah. Sepertinya, aku juga telah larut, tapi bersama sinaran hikam. Dan aku harus berterima kasih pada Tuhan kerna mengirimkan aku ke tempat ini. Di sini aku bisa mendalami kitab-kitab tua ini.

Tulisan-tulisan ini sangat istimewa. Setiap kali aku membacanya, aku merasakan sebuah keindahan yang tiada taranya. Maaf, aku tidak dapat mengungkapkannya dengan tuntas. Tapi aku merasainya. Padahal dahulu, aku tidak begitu berkenan membaca tulisan melayu arab ini, memeningkan dan membosankan. Bahkan aku sendiri tidak faham. Benci? Nah, mungkin aku sudah termakan dengan petua ini, ‘jangan kalian terlalu cinta sesuatu, nanti jadi benci. Jangan pula terlalu benci, nanti jadi cinta.’ Benarkan, ternyata aku sudah jatuh cinta. Cinta pada kitab-kitab jawi lama. Syukur!

Sempat kubayangkan betapa indahnya ibarat-ibarat yang digunakan dalam gaya penulisan. Sopan dan menyenangkan. Bezanya dengan orang-orang hari ini. Tulisannya kasar dan jelek. Tidak sopan dan tiada susila. Kawan, cubalah baca tulisan kitab jawi lama, akan kau temukan keindahan dan keasyikan. Dan kata-kataku ini adalah benar. Percayalah.

Oh sudah lewat kawan, angka jam sudah berubah, 12.37. Ku letakkan kitab karangan Syeikh Husein al-Banjari itu. Aku mahu bersolat sunat angka ganjil.

Aku selalu ingat pesan Syeikh Termizi, ‘amalkan ilmu agar ianya terus-terusan lekat diingatan’. Kukira ada benarnya dengan petua Imam Ahmad bin Hanbal bahwa setiap hadis yang dihafal, amalkan sekali nanti pasti ingat. Mujurlah beliau mampu menghafal 750 000 hadis kemudian disaring menjadi 40 000 hadis yang termuat dalam Musnadnya. Subhanallah!

Sebentar...

Kawan, jika kau perasaan, orang melayu hanya solat angka ganjil ketika Ramadhan. Itupun kerna ikut imam. Tuhan! jika kita tahu kelebihan solat angka ganjil, kita akan berlumba-lumba melakukannya walaupun harus merangkak. Teliti kata baginda, ‘..sesungghunya Allah ta’ala memberi anugerah atau bantuan kepada kamu berupa satu solat yang lebih baik untuk kamu daripada unta berwarna merah..’

Unta merah? Kau tahu kawan berapa hilainya di zaman itu? Unta merah itu harta yang paling bernilai dikalangan bangsa arab, bahkan orang yang memilikinya hanyalah orang kaya dan punya kuasa. Nah, bagaimana kiranya solat angka ganjil itu lebih baik daripada unta merah? Kau fikirklah.

“...Barangsiapa yang mahu melakukan witir sebanyak lima rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan tiga rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan satu rakaat maka bolehlah dia melakukannya.”

INNALLAHA YUHIBBUL WITRI

Tuhan suka angka ganjil.

Kawan, sunat witir yuk!


Dhiya’
Kuala Terengganu
14 Muharram 1433H

***
Mawaaid – hidangan.
Solat angka ganjil – solat witir
Hukum solat witir – Mazhab Hanafi wajib manakala jumhur sunat muakkadah (dituntut).
Bilangan – Mazhab Syafie sekurang-kurangnya satu rakaat atau sekurang-kurangnya 3 rakaat lebih afdhal menurut pendapat Jumhur manakala 11 rakaat paling banyak.

0 ulasan: