KAWAN, bukankah pernah ku katakan bahwa ada dua hal yang sering dilalaikan manusia seperti kita; waktu sihat dan waktu lapang. Jujur aku begitu khuatir mendengar tarhib Rasulullah ini.
“Zaid rehatlah...” saran Yeop. Teman sekuliahku.
Aku hanya bisa tersenyum. Yeop tahu aku semalaman bersengkang mata. Pesan itu, adalah pesan agar aku segera tidur untuk memulihkan semula tenaga.
“Saya ada pengajian malam ni.” Balas saya. Usai kuliah maghrib bersama al-Mukarram di masjid universiti. Maaf, aku tertidur sebentar semasa al-Mukarram sedang memberikan syarah. Sekali lagi aku benar-benar mengantuk.
Barangkali Yeop terkejut melihat pakaianku. Pakaian siang tadi, sewaktu kuliah. Aku tidak sempat bersalin pakaian. Usai imtihan Muqaran al-Adyan pagi tadi dan setelah bersarapan, aku terus pulang kerna mahu merehatkan badan. Di atas katil aku tidak bisa terlelap, memikirkan kerja-kerja yang belum tersiapkan. Aku bangkit menyambung tugasan.
Pukul dua aku ke kuliah hingga menjelang Asar. Setelah bersolat, aku segera pulang ke bilik. Aku benar-benar keletihan. Aku mahu istirehat. saat mata hampir terpejam, aku baru teringat sesuatu. Aku ada temu janji dengan Ustaz Mizan, Pengarah TQHM Consultan. Hatiku menjadi dua, antara mendahulukan kehendak hati atau menunaikan janji. Aku memilih. Aku harus ikhlas pada janji.
Aku segera bergegas ke pejabat TQHM Consultant. Lebih sejam aku bertarung di hadapan laptop menyiapkan modul-modul program. Mataku mengecil, sekali-sekala ku tahan agar kembali membesar. Aku paksa. Menjelang azan Maghrib modul program siap. Aku mohon izin pada Ustaz Mizan untuk pergi, malam ini aku ada pengajian perubatan al-Syifa’ bersama Dr Burhanuddin.
Sewaktu tiba di masjid universiti, imam sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, menandakan solat sudah bermula. Aku segera membersihkan diri dan dengan rendah hati aku menyerahkan segenap jiwa ragaku kepada Tuhan. Dalam solat, tubuh terasa damai dan tenteram, tenang dibuai-buai Ar-Rahman, keletihan lantas dipancung mati. Tubuh kembali segar dan bertenaga. Solat sudah cukup sebagai istirehat.
Isyak berakhir, kutemui al-Mukarram, bersalaman dan memberikan penghormatan. Kutemui ikhwan tarikat, kami sempat berbual mesra. Bertanya khabar.
“Zaid, lama tidak nampak. Minggu lepas kami pergi Indonesia.” Ujar Haji Ghazali. Pembantu dekat al-Mukarram. Sudah berkali-kali aku mahu ziarah ke Pondok Pesantren Suryalaya. Sewaktu al-Marhum Abah Anom masih ada, aku ingin sekali bertemu manusia mulia itu. Tapi Tuhan lebih dahulu merancang. Kekasih-Nya telah dahulu dijemput pulang. Aku tidak berkesempatan. Lalu Haji Ghazali mempelawa aku ikut serta dengan al-Mukarram minum malam, tapi aku tidak bisa, kerna aku harus segera pulang.
Aku bergegas. Saranan Yeop agar aku istirehat sahaja, tidak ku endahkan. Malah ku katakan padanya bahwa malam ini aku ada kelas pengajian, aku harus pergi. Barangkali dia sudah mengerti sikap ku, dia beralah dan berlalu setelah mendapatkan naskah kita Uquudul Jumaan yang mengandungi zikir-zikir harian, khotaman, wirid, tawassul dan sisilah tarikat Qadiriah Naqasyabandiah.
Aku berkemas. Mengambil barang-barang keperluan berubat dan buku perubatan Islam Darul Syifa’. Dalam keletihan dan rasa mengantuk yang mencengkam, aku berusaha meruntuni mutiara-mutiara ilmu perbuatan yang mengalir dari lidah sang guru. Dr Burhanuddin atau dikenal juga dengan sapaan Ustaz Bob, salah seorang anak murid Tuan Guru Dr Harun Din, Pengasas Darul Syifa’. Ustaz Bob selain sibuk membantu masyarakat dalam perubatan, beliau sangat aktif dalam gerak kerja dakwah dan amal Islami. Ini peluang untuk aku berusaha menimba pengalamannya, yang pernah menjadi aktivis dakwah di UKM suatu ketika dahulu. Belajar perubatan Islam dan belajar dakwah, kombinasi yang belum pernah ku lalui. Menarik!
Sungguh tidak terduga, angka jam sudah bertukar 11. Padahal baru tadi aku duduk di sini, dan sekarang aku harus kembali pulang. Aku harus istirehat kerna esok aku harus kembali berjuang.
Di bilik, segera ku kemaskan barang-barang. Perut berbunyi. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Ah, aku belum makan sejak tengahari tadi. Jika ibu dan ayah tahu, pasti aku dimarahi lagi. Ampun Bu, ampun Yah!
Aku tidak mahu menjadikan kesibukan sebagai alasan. Tapi tenyata seringkali kesibukan jugalah yang membuatkan aku terlepas banyak perkara. Mudahnya terlupa. Hatta ‘makan’ pun boleh terlupa. Oh, Aku jadi ingat, esok aku harus berforum bersama al-Mukarram. Ku buka laptop, mencari-cari maklumat. Fikiranku jatuh pada Ad-Dhiya’. Ah, aku belum menitipkan tulisan buat teman-teman yang mungkin dalam penantian. Itu juga amanah untuk memberi. Ku buka Microsoft Word dan terus menulis. Hingga selesai. Hingga terlupa, bahawa esok aku ada kuliah.
Itu tidak mengapa. Asalkan aku tidak lupa sesuatu. Walau sesibuk mana. Moga-moga aku tidak pernah lupa pada-Nya. Tuhan andai Engkau mentakdirkan agar aku lupa tentang semua yang ada di dunia ini, aku tidak kesah. Cuma satu pintaku, jangan lupakan aku kepada-Mu. Tuhan aku ingin selalu mengingati-Mu. Hanya itu.
Dhiya’
Terengganu
26 Muharram 1433H
26 Muharram 1433H
0 ulasan:
Catat Ulasan