MALAM ini aku tidak ke mana. Pengajian bersama penduduk Kampung Banggol terpaksa ditundah. Tubuhku lelah. Aku mahu istirehat sambil menyiapkan tugasan. Esok aku harus pergi. Menghadiri kuliah gantian bersama al-Mukarram. Temuduga kerja di masjid Al-Muktafi Billah Shah. Talaqi Quran bersama Syeikh Abdul Salam.
Sejak seminggu ini jadualku padat. Sebetulnya bukan hanya minggu ini. Hari-hari pun dipenuhi kerja-kerja. Sehingga aku harus memilih mahu menyelesaikan yang mana. Aku kesian pada tubuh. Keletihan tidak terjagakan. Ampun Tuhan!
Malam ini aku harus bertarung lagi dengan waktu. Berhadapan tugasan-tugasan berbaki -menyelesaikan laporan program, mengedit proposal tesis, mengemaskini kertas projek, menterjemah buku, membaca manuskrip tua, menyiapkan modul TQHM Consultant – oh, aku tidak dapat menyenaraikan semuanya. Aku harus memilih.
Diluar jendela suara penghuni flat riuh rendah. Sekali-sekala terdengar bunyi-bunyian filem dan permainan komputer. Dicelah-celah bunyi itu kedengaran nyanyian-nyanyian sumbang. Aku tersenyum mendengarnya, lucu. Nanti tengah malam, pasti suasana akan menjadi sunyi dan tenang.
Malam ini, sementara penghuni flat dibuai keseronokan, aku memilih untuk sedikit susah, bertarung menyiapkan kerja-kerja. Kumulakan dengan menyiapkan laporan. Tugasan ini harus dihantar hujung minggu nanti. Sebelum memulai, aku berwuduk. Semoga apa yang aku lakukan diberkahi Tuhan dan ini adalah pelajaran yang kupetik daripada kisah Imam al-Bukhari. Beliau sebelum menulis hadis yang dihafalnya, terlebih dahulu berwuduk. Kesannya, kitabnya masih dibaca sampai saat ini bahkan sangat bermanfaat untuk umat.
Tengah malam aku selesai menyiapkan laporan. Aku keletihan kerna beberapa jam duduk. Aku bangkit menyediakan minuman. Suara-suara liar sudah lenyap ditelan malam. Sunyi dan tenteram. Aku putarkan bacaan al-Quran, sambil menghirup kopi susu, aku tenggelam dengan alunan kalam Tuhan, menusuk ke hati, sangat mendamaikan.
Aku kembali meneruskan pekerjaan. Kali ini aku akan belayar bersama lautan kata-kata hikam Syeikh Nafis al-Banjari. Aku harus teliti membaca manuskrip tua tulisan tangan ini. Meski aku merasa tidak sulit mengalihbahasa manuskrip lama ini, aku mesti cermat kerna ada perkataan yang kurang jelas dan sukar difahami maksudnya dengan tepat.
Menjelang tiga pagi aku kelelahan. Mataku terasa berat sekali. Aku menguap beberapa kali. Aku harus menangguhkan dulu kerjaan. Aku bangkit memperbaharui wuduk. Aku mahu bersolat sunat. Usai bersolat mataku kembali segar. Tapi tubuhku sedikit penat. Sejam lagi azan subuh. Aku mahu istirehat sebentar.
***
Usai bersubuh aku berwirid kemudian mengulangi hafalan Quran. Setelah Zuhur nanti aku harus temuduga kerja.
Mataku masih terasa pedih. Semalaman bergadang, aku hanya sempat tidur sejam. Mata mahu terpejam tapi ku lawan. Sengaja aku membuka komputer dan memeriksa e-mel, kalau-kalau ada pesanan dari teman-teman jauh. Tiada. Kubuka laman sosial facebook. Ternyata aku menerima pesanan dari seberang. Perlahan kubaca. Dan tidak terasa mataku basah. Berkali-kali aku memuji Tuhan atas kurnia-Nya. Tuhan sungguh Penyayang. Air mataku seka.
Waktu sudah mengangka hampir 10. Kututup komputer dan bersiap-siap ke kuliah. Sebelum pergi, aku bersolat Dhuha. Mengharapkan bantuan dan bimbingan daripada Tuhan dalam setiap denyut nafas. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.
Ketika aku sampai, al-Mukarram sedang memberikan pengajaran. Perlahan aku melangkah mengambil tempat di hadapan. Tidak sangka aku terlewat. Yang benar, aku kebingungan mencari kelas tadi. Al-Mukarram tenang menyampaikan syarahan.
Manusia yang sedang berdiri di depanku, beliau adalah orang yang sangat aku hormati. Aku masih ingat, waktu pertama kali mendengar pengajiannya di masjid universiti, aku jadi tertarik. Suara dan nada bicaranya mengingatkan aku kepada ayah. Sungguh aku jatuh hati pada suara itu. Lembut, tenang dan menduga. Sejak itu aku mulai mengikuti pengajiannya dan akhirnya aku membuat keputusan untuk berbai’ah atau mendapatkan talqin zikir Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah padanya. Sekarang sudah genap setahun aku bersama tarikat ini. Kuperhatikan wajahnya, aku tenang.
Kuliah berakhir lebih awal dari waktunya. aku bergegas keluar dari bilik kuliah. Perut terasa kosong. Sejak semalam aku belum makan apa-apa. Pagi tadi aku hanya bersarapan air kopi susu dan sedikit kek roti. Aku mahu mengalas sedikit makanan.
Zuhur sudah semakin hampir. Habis menjamu makanan, aku bersiap ketempat temuduga. Ku ambil fail yang mengandungi dokumen-dokumen penting lalu memasukkannya ke dalam beg galas berwarna hitam. Sepuluh minit lagi azan akan berkumandang. Ku gapai mushaf al-Quran, aku mengulangi lagi bacaan, biar lebih kukuh hafalan. Tidak lama kemudian, azan pun sahut-sahutan. Aku bingkas, ku masukkan al-Quran dan kad mahasiswa ke dalam saku beg kemudian melangkah pergi.
Aku singgah di masjid universiti untuk solat Zuhur, setelah itu aku terus ke masjid al-Muktafi Billah Shah. Di atas kenderaan aku tiada henti mengulang-ulangi bacaan.
bersambung...
Dhiya’
Kuala Terengganu
19 Muharram 1433H
*Manuskrip bertajuk Sirr al-Asrar karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari QS
*Al-Mukarram Dr Abdul Manam bin Mohamed al-Merbawi (Khalifah Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah)
2 ulasan:
sy sangat kagum dngan beliau..walaupun x pernah belajar dengan beliau..tapi..bleh x sy kate..sy jatuh cinta dengan peribadi beliau..pernah berbncang sesuatu urusan dgn beliau..lembut n santun..bile dia berkata, cm terus menusuk klbu..(^^)
ya..terus mendoakan kesejahteraan beliau
Catat Ulasan