Badan terasa berat dan dingin sedang mata cuba memujuk mengajak tidur. Katil seakan-akan sedang melambai-lambai. Kipas yang berputar laju menambah dingin pada tubuh. Ini waktu yang sangat baik untuk melelapkan mata. Saya pandang jam pada dinding, sudah hampir pukul 11 malam.
Imtihan Tafsir II sudah selesai. Bebanan di kepala terasa kurang. Hanya tinggal beberapa madah lagi yang belum selesai ujiannya. Malam ini saya perlu merehatkan tubuh dan otak yang sudah letih bekerja.
Saya rebahkan tubuh di atas tilam. Sehingga saya terlelap.
“Assalamualaikum. Nak ayuh bangun. Kamu belum solat witir.”
Saya terjaga tatkala mendengar suara yang berbisik ke telinga. Mengajak saya untuk bangun. Saya tidak tahu suara itu dari mana. Saya duduk seketika sebelum bangkit ke bilik air membersihkan diri.
Suara tadi masih tergiang-giang ditelinga. Saya lihat jam, baru pukul 12.40 pagi. Saya duduk sebentar di kerusi belajar. Fikiran saya masih ke arah suara tadi. Siapa yang berbicara? Di bilik hanya saya seorang sahaja. Ah! Saya tidak mahu memikirkannya terus. Saya perhatikan dinding dihadapan yang terlekat bermacam keping kertas. Jadual belajar, jadual harian, jadual kerja, nota-nota peringatan, jadual solat dan bermacam lagi. Tidak segaja mata saya terpandang sebuah kertas kuning tertera tulisan “Ya Rasulullah, aku rindukanmu. Izinkan aku bertemumu.” Saya tersenyum. Dalam hati saya hanya mengucap “amin! amin! amin!” air mata secara tiba-tiba menitis. Lama saya terdiam dan menangis sedu mengenang kekasih agung itu.
“Hari ini adalah hari keputeraanmu, Meski kau sudah lama pergi, kami sentiasa mengingatimu.” Bisik saya dalam hati.
Saya langsung bangkit dan menunaikan solat witir.
Ketika dalam solat saya merasakan seperti ada seseorang yang sedang mengikuti saya. Menjadi makmum saya. Saya tidak pasti samaada itu hanya perasaan semata-mata. Usai solat saya perhatikan sekeliling, keadaan seperti biasa. Tiada siapa-siapa kecuali saya seorang. Mungkin ianya mainan perasaan saya.
Saya duduk mendiam di atas sejadah. Lama sekali saya berdoa. Sehingga menjatuhkan air mata. Doa saya semoga kesejahteraan tetap terus tercurahkan ke atas Baginda SAW. Doa saya semoga kelak di akhirat saya beroleh syafaat daripada baginda. Doa saya agar Allah sudi mengumpulkan saya bersama Rasulullah SAW. Doa saya supaya Allah member izin untuk saya bertemu dengan kekasihNya di akhirat nanti.
Saya keluarkan tasbih dalam poket jubah. Dengan sayu saya membaca selawat.
“Allahumma solli ‘ala Muhammad...”
“Allahumma solli ‘ala Muhammad...”
“Allahumma solli ‘ala Muhammad...”
Sambil memejam mata saya terus-terusan berselawat. Dikepala saya sudah tidak ingat apa lagi. Dihati sudah tidak ada sesiapa lagi. Saya sudah tidak mengingati siapa-siapa. Hanya manusia mulia itu dalam segenap sanubari.
“Muhammad SAW”.
100X... “Allahumma solli ‘ala Muhammad...”
Saya terus menangis dan terus menangis.
“Rasulullah...Rasulullah...Rasulullah...” hanya itu yang saya tahu saat ini. “Aku rindukanmu.”
“Allahumma solli ‘ala Muhammad...”
350X...
500X...
700X...
1000X...
1050X...
Bibir saya terus basah dengan selawat. Saya terus menyebut tanpa henti. Bersama deraian air mata yang tidak mahu berhenti. Saya cuba menahannya, tidak bisa. Ia seperti ingin turut sama berselawat ke atas baginda.
“Assalamualaikum nak.”
“Waalaikumsalam. Siapakah kamu?” soal saya. Seorang pemuda berwajah indah, sangat indah. Belum pernah saya menemukan manusia seperti ini. Dia sangat wangi seharum kasturi.
“Itu kemudian akan saya beritahukan. Mahukah kamu ikut bersamaku.” Dia tersenyum.
“Ke mana?”
“Ke tempat tinggalku.”
Saya sudah terpaku melihat wajah pemuda itu. Apa lagi ketika dia senyum. Sungguh menawan. Saya menuruti permintaannya.
Pemuda itu tidak berkata hendak ke mana. Sedikitpun dia tidak memberitahu tempat yang hendak kami tujui. Saya hanya mengikut. Sehinggalah kami tiba di suatu tempat yang tidak saya kenali. Kami berjalan dan menuju ke arah sebuah masjid. Saya hanya menuruti dibelakang. Sampai di sana pemuda itu terus masuk ke dalam dan menunaikan solat dua rakaat. Saya segera mencari tempat untuk berwuduk dan menunaikan solat dua rakaat.
“Kamu tahu sedang berada di mana?” soalnya.
“Tidak.” Jawab saya.
“Kamu tentu tahu Surah al-Israk ayat pertama.”
“Ketika peristiwa Israk Mikraj.”
Saya dapat menangkap jawapannya. Tapi saya ragu.
“Adakah tempat yang sedang saya duduk ini adalah Masjid al-Aqsa?” soal saya untuk kepastian.
“Memang benar. Kamu sudah berada di masjid ketiga paling suci. Kiblat pertama bagi umat Islam. Serta pahala bersolat di sini menyamai 500 kali solat.”
“Tempat yang kamu duduki ini adalah bumi para anbiya’ dan tempat mereka dibangkitkan. Bumi ini suci serta dipenuhi keberkatan.”
Saya khusyuk mendengar bicara pemuda itu yang jelas dan lembut. Hati saya tersentuh.
“Kamu tahu nak, bumi ini telah dinodai oleh musuh Allah. Bumi ini menjadi sasaran agenda genosid dan’pemutiahan etnik’ secara sistematik hasil pakatan Barat- Zionis Israel yang akhirnya bertujuan menduduki tanah strategik di bumi Palestin ini dengan menafikan hak umat lain (Islam dan Kristian) secara zalim, kejam dan tidak berperikemanusian.”
“Israel. Mereka telah menguasai kawasan suci ini. Tentera mereka secara membabi buta menyerang rakyat Palestin dengan helikopter, jet pejuang, kereta kebal dan sejata berat menyebabkan beratus-ratus penduduk palestin maut. Bantuan perubatan dan makanan dihalangan. Hospital turut dibedil.”
“Nak bebaskan bumi ini!”
Ah! Saya terkejut dengan kalimah akhir kata-kata pemuda itu. “Nak bebaskan bumi ini.” Apakah dia memaksudkan saya. Bangsa melayu dari Nusantara.
Saya tidak bertanya apa-apa. Saya diam.
“Ayuh saya akan bawakan kamu ke suatu tempat lain.” Sambil menyentuh bahu saya kami terus melangkah dan berlalu.
Secara sekelip mata kami sudah tiba di tempat itu. Saya kenal tempat ini. Tapi saya belum pernah datang ke sini. Hati saya terlalu gembira bisa sampai ke tanah suci ini.
“Kamu tentu tahu di mana kita berada.”
“Ya tempat berhimpunnya umat Islam secara besar-besaran setiap tahun bagi mengerjakan fardhu Haji.” Jawab saya dengan yakin. Dia hanya tersenyum indah.
Usai bersolat, pemuda itu mengajak saya untuk menunaikan Umrah bersamanya.
***
“Siapakah gerangan tuan.” Soal saya. Saya masih tertanya-tanya siapa gerangan pemuda ini. Mengapa dia membawa saya ke tempat-tempat mulia ini.
“Sabarlah nak, sebentar lagi kamu akan mengetahuinya.”
Dipejuru masjid kami duduk berhadapan. Lutut kami bercantum. Pemuda itu terus berbicara secara halus. Dia mengajarkan saya ilmu dan hikmah yang belum pernah saya pelajari dari mana-mana guru pun. Dia sangat alim. Ianya saya kira terlalu luar biasa. Dalam selama memerhatikan tingkahnya saya mulai jatuh hati. Dia seperti seorang ayah yang sedang mengajarkan anaknya.
“Kamu pasti tahu di sinilah tempat dibangkitkan seorang manusia mulia. Dia seorang nabi dan rasul yang diutuskan Allah.”
“Kamu pasti tahu bagaimana penderitaan dan seksaan yang dialaminya sepanjang menyebarkan dakwah di sini.”
“Kamu tahu semangat dan kesungguhannya menyebarkan risalah Islam, hingga sampai agama Islam ke zaman kamu.”
“Kamu tahu bagaimana berat hatinya meninggalkan tanah ini, namun dia lakukan jua demi menyebarkan agama suci ini.”
“Dia pernah ke Thaif untuk berdakwah, tapi ditolak. Dia dibaling batu-batu sehingga mengalirkan darah.”
“Dia dihadapkan dengan penderitaan yang terlalu banyak. Namun semua itu dia hadapi secara redha kepada Allah.”
“Khadijah...” dia terdiam.
Suaranya sangat berbeda dari pertama. Tiba-tiba dia berhenti berkata-kata. Saya pandang wajahnya, ada titik air dicelah matanya. Dia menangis. Tapi kenapa. Apakah dia punya hubungan terus dengan Saidatina Khadijah. Dia tidak bisa terus berkata-kata. Dia terdiam lalu tersenyum.
“Sudah agak lama kita di sini. Sebelum pergi ayuh saya bawakan kamu memasuki Kaabah.” Ajaknya.
Kami tidak lama di dalam, lantas saja dia membawa saya ke suatu lagi tempat.
Dari jauh saya perhatikan sebuah masjid seperti memancarkan cahaya. Semakin dekat, saya merasa seperti mengenali masjid ini. Saya terus melangkah mengikutinya. Ntah mengapa jantung saya berdegup sedikit laju.
Masjid yang begitu besar dan dipenuhi kubah hijau tersergam indah sedang berada di hadapan saya.
Ini Masjid Nabawi. Masjid baginda Rasulullah SAW. Terus sahaja air mata saya mengalir. Saya bersujud syukur. Akhirnya saya bisa tiba di sini. Di dalam hati saya berniat penuh sungguh-sungguh mahu menziarahi makam baginda Rasulullah SAW.
Saya menuruti langkah pemuda itu. Sewaktu melangkah masuk saya merasakan kelainan yang teramat sangat. Dan ini belum pernah saya rasai selama hidup. Dia mengajak saya untuk solat sunat dua rakaat. Saya masih menitiskan air mata. Tidak henti-henti. Dalam hati rasa tidak sabar menziarahi makam baginda.
Baru sahaja kami duduk di Masjid al-Haram. Sekarang sudah berada di Masjid Nabawi. Apa yang saya impikan dan cita-citakan sudah tertunai.
“Nak, boleh saya tahu kenapa kamu menangis.”
“Tuan bertanya mengapa saya menangis. Mengapa tidak saya menangis, saya antara manusia yang sangat merindukan baginda Rasulullah SWT. Dan sekarang ini saya sedang berada ditempatnya. Ditempat yang pernah di dudukinya. Di sini terletak makamnya yang selama ini saya cita-citakan untuk menziarahinya.”
“Dan perasaan rindu itu semakin kuat tatkala saya berada di sini sehingga saya tidak mampu menahan deraian air mata yang gugur.”
“Tuan saya menangis kerana saya bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan harapan saya. Akhirnya saya bisa berada di tempat mulia ini. Ditempat kekasih mulia itu, Muhammad SAW.”
Dia lalu menyentuh bahu saya dan berkata, “Ayuh nak saya bawakan kamu ke makam manusia mulia itu.”
Dalam langkah perlahan jantung saya berdegup laju. Saya seperti sedang melangkah untuk menghadap sang raja. Saya berdebar-debar.
Dan kini di hadapan saya adalah makam seorang manusia agung. Di bawahnya tertanam jasad seorang nabi dan rasul yang mulia. Bulu roma saya sedikit menegak. Seperti para malaikat sedang turut sama bersama kami.
Saya terus berselawat dan berdoa ke atas baginda. Berkali-kali tiada henti.
Lama saya duduk di situ sehingga pemuda itu mengajak saya berjalan mengelilingi masjid ini. Yang menghairankan apabila tiba di suatu kawasan dia akan menerangkan tempat itu secara jelas. Dia menerangkan di mana tempat baginda selalu memberi khutbah dan pengajaran. Di terangkan segala-galanya secara jelas. Ketika melalui suatu kawasan dia bertanya kepada saya.
“Kamu tahu ini kawasan apa?”
“Tidak tuan, sedikitpun saya tidak tahu.” Balas saya.
“Inilah tempat tinggal baginda Rasulullah SAW.”
Ah! Saya terkejut besar dengan apa yang diperkatakanya. Dia terus bercerita perihal Baginda dengan jelas seolah-olah saya bisa merasakan dan melihatnya secara terus. Bagaimana pemuda ini bisa mengetahui segal-galanya. Adakah dia salah sseorang yang hidup di zaman nabi. Ataukah dia antara sahabat-sahabat nabi. Saya keliru.
Saya mendekati kawasan itu. Mencium baunya. Benarkah ini?
Hampir seluruh kawasan Masjid Nabawi kami lalui. Apa yang ditunjukinya semuanya adalah tempat Rasulullah. Rindu saya terubat. Tapi saya sangat hairan dengan pemuda ini.
Sedang saya duduk, pemuda itu menghampiri saya. Saya bangkit dan dia terus memeluk saya erat. Lama kami berpelukan sehingga terasa degupan pada jantung. Dia melepaskan pelukannya dan terus berkata-kata:
“Nak cita-cita kamu untuk menziarahi Masjid al-Haram, Masjid Al-Aqsa dan Masjid Nabawi sudah tertunaikan.”
Saya begitu terkejut bagaimana dia bisa mengetahui bahawa saya punya harapan sebesar itu. Dari mana dia mengetahui? Dan begitu sahaja dia bisa membawa saya ke tempat-tempat ini.
“Dan kamu sudahpun melepaskan rindu dan harapan kamu untuk menziarahi makam Nabi Muhammad SAW.”
Ah! Sungguh benar dia sudah menangkap apa yang saya harap-harapkan selama hidup ini. Siapa dia sebenarnya?
“Hanya tinggal satu sahaja harapanmu yang belum tertunaikan.”
Saya terus terdiam tanpa bisa berkata-kata. Dia tahu segalanya tentang saya. Sejak mula saya sudah tertanya-tanya akan pemuda ini.
“Benarkah kamu mahu bertemu Rasulullah?”
Saya terpaku mendengar kalimah itu. Mimpikah saya. Dia sampai bisa mengetahui harapan yang satu ini. MasyaAllah. Saya mulai berkira-kira dan mengagak-agak.
“Ayuh katakan?”
“Tuan, manusia mana yang tidak mahu bertemu Baginda. Tapi itu adalah mustahil. Baginda sudah tiada di dunia ini.”
“Nak, yang membawa kamu ke Palestin, Mekah dan Madinah...”
“Kamu bertanya siapa saya.”
Jatung saya berdegup-degup. Saya seperti sudah bisa menangkap sesuatu.
“Yang sedang berdiri di hadapan kamu. Saya adalah utusan itu. Manusia yang kamu rindui itu.”
Saya terkejut besar dan hampir pengsan. Seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Dihadapan saya adalah Rasulullah SAW. Nabi bagi umat akhir zaman.
Saya tundukkan badan. Saya mahu mencium kakinya. Tapi dia menghalang. Diangkatnya tubuh saya. Dan saya sedang berdiri berhadapan dengan manusia yang paling saya cintai. Saya sedang berhadapan dengan seorang kekasih yang lama dirindui. Jantung saya berdegup. Wajahnya sangat indah, terlalu indah sehingga saya tidak bisa berkata apa. Saya menitiskan air mata sambil memeluknya erat. Saya seperti sedang memeluk ayah sendiri yang sudah lama tidak ditemui. Saya hidu wangian pada tubuhnya. Saya terus menangis gembira. Berkali-kali saya mencium tangannya. Dia hanya membiarkan.
“Anakku...”
Panggilan itu sangat istimewa. Panggilan dari seorang rasul.
“Teruskan perjuangan dan cita-citamu. Pergiatkan dakwah dan gerak kerjamu. Kau jangan sekali-kali menyerah dan berputus asa. Bersabar, bersabar, kuatkan kesabaranmu.”
“Saya sudah mengajarkan kepadamu semua ilmu dan hikmah yang belum pernah diketahui oleh orang lain.”
“Anakku, kelak kau bakal menjadi pemimpin besar. Saya sudah tinggalkan hikmah kepadamu, maka pergunakannya untuk memimpin umat ini secara baik.”
“Teruslah mendidik umat ini agar tetap teguh berpegang pada al-Quran dan Sunnahku.”
“Nak, sudah masanya kita berpisah.”
Mendengar ayat itu, hati saya terus basah. Terasa berat untuk perpisahan ini. mungkin ianya sama seperti apa yang dirasai oleh Fatimah Az-Zahra’ ketika saat-saat akhir hendak berpisah dengan baginda. Mungkin apa yang saya rasai ketika ini sama seperti apa yang dirasai oleh para sahabat, Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali dan lain-lain. Mungkin inilah perasaan yang turut dirasai oleh Saidatina Aesyah r.ha. Hati saya basah.
Baginda Nabi SAW lalu memeluk saya penuh erat. Setelah itu baginda mencium umbun-umbun saya dengan lama sambil berdoa:
“Ya Allah jadikanlah manusia ini cahaya, petunjuk dan rahmat buat umat Muhammad.”
Baginda terus melangkah meninggalkan saya. Sempat saya mencapai tangannya. Lalu saya merayu:
“Wahai Rasulullah, izinkan hamba ikut serta bersamamu.”
“Anakku tempatmu adalah di sini. Di dunia ini.”
Baginda terus melangkah dan berlalu hingga hilang dipandangan mata.
Saya berteriak, sambil menangis dan merintih.
“Wahai Rasulullah, izinkan hamba ikut serta bersamamu.”
“Allahu akbar... Allahu akbar...”
Saya terjaga mendengar azan subuh dari corong masjid. Saya bangkit. Sejadah menjadi kusut. Saya ambil dan lipat. Ada sedikit basah kerana air mata. Rupanya saya terlelap sewaktu berselawat. Dan apa yang saya alami hanya sekadar mimpi semata.
“Benarkah itu Rasulullah SAW?” bisik hati saya.
Saya terus bangkit membersihkan diri dan bersegera ke masjid.
Wajah indah manusia agung itu membayangi langkah saya. Dan bau kasturi itu masih terus terasa harumnya. Saya terus berselawat.
“Allahumma solli ‘ala Muhammad.”
SALAM MAULIDUR RASUL 1431H
Dhiya’
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan