Sepucuk Surat Dan Gambar
Saya baru pulang dari menziarahi ibu Hisyam. Syukur keadaan ibunya semakin baik. Hanya tinggal doa dan tawakal dipusatkan kepada Allah. Kepala terasa berat. Mata seperti mahu terlelap, mungkin letih kerana terus beroperasi. Sejak semalam saya belum tidur kerana menemani Hisyam. Saya rasa sangat mengantuk. Sekarang sudah pukul 5. 18 petang.
Mahasiswa sudah ramai yang pulang ke kampung. Cuti semester. Untuk beberapa hari ini saya masih berada di kampus bersama teman-teman. Ada kerja persatuan yang mesti disiapkan. Teman serumah, Sya’ban dan Meor sudah balik ke kampung masing-masing yang tinggal hanya saya dan Asmar. Dia juga terlibat sama dalam kerja persatuan.
Tengah mengemas-ngemas pakaian telefon saya bordering, ada mesej dari Setiausaha PMI.
“Usrah Kepimpinan. Lepas Maghrib di Surau Al-Farabi.”
Saya hampir terlupa bahawa malam ini saya ada usrah persatuan. Saya sudah catatkannya pada buku diari, tapi saya belum sempat membeleknya. Mujur setiausaha sempat mengingatkan.
Rasa mengantuk makin menambah-nambah. Syaitan membisik-bisik. Saya kuatkan diri. Saya usir perasaan malas. Ah, jika tidak fikir amanah itu adalah wajib ditunaikan, yang akan dipertanggungjawabkan di hari perhakiman kelak. Jika tidak ingat, bahawa usia muda akan ditanyakan kelak dihabiskan untuk apa. Jika tidak ingat, bahawa bukan semua orang diberi nikmat untuk duduk dalam perjuangan. Jika tidak ingat bahawa amanah perjuangan ini adalah warisan para Nabi yang wajib dilaksanakan. Jika tidak ingat itu semua, tidur sahaja atau menonton kartun Naruto atau membaca buku sambil mendengar lagu-lagu nasyid, itukan lebih senang dan santai. Ditambah dengan kedinginan diwaktu tengkujuh. Selimut bantal, tilam sudah tersedia. Hanya tinggal untuk melelapkan mata sahaja.
Saya gapai kitab Maza Ya’ni Intimai lil Islam, tulisan al-Marhum Syekh Fathi Yakan. Saya baca sedikit tajuk yang akan dibincangkan untuk usrah nanti. Ini untuk persediaan sebelum usrah bermula. Sesekali mata saya mahu terlelap. Saya lawan dan saya paksa untuk terus bekerja.
Selesai usrah dan solat Isyak saya terus pulang ke bilik. Saya mahu merehatkan tubuh yang sudah keletihan. Haknya mesti ditunaikan dengan adil. Sampai dibilik saya rebahkan tubuh pada katil bujang dengan hamparan cadar berwarna hijau. Perlahan-lahan jari-jemari kecil mengurut-ngurut kepala, terasa pening. Saya tarik nafas dalam-dalam dan mengeluarkannya perlahan-lahan. Tiba-tiba saya jadi teringat pada sepucuk surat pemberian ayah Zahra tempoh hari. Surat itu belum saya baca. Segera saya ambil surat itu dari laci loker, perlahan-lahan saya buka sampulnya, ada bau wangi. Saya keluarkan surat itu dan saya baca. Bismillahi Rahmanir Rahim...
Akhi Zaid
Yang selalu aku hormati
Assalamu’alaikum wa rahmatulllahi wa barakatuh
Sesungguhnya orang seperti aku ini hanya bisa menzahirkan rasa hati kepadamu dengan melewati perjalanan panjang dan melelahkan, serta menempuh ledakan jiwa. Aku datang kepadamu dengan perasaan rindu dan kasih sayang tanpa ada tujuan duniawi. Aku datang untuk menjadi bidadarimu dan itulah nikmat yang sangat besar yang dapat menghilangkan rasa penat dan lelah setelah menempuh perjalanan panjang itu.
Akhi,
Aku sudah menaruh simpati padamu sejak pertama kali bertemu, tetapi aku tidak bisa mengungkapkan perasaan ini kerna aku belum terbiasa dengan hal semacam itu. Aku hanya mengenal bahwa kata "cinta" itu hanya layak untuk diucapkan oleh seorang lelaki pada seorang wanita. Adapun jika kata itu diucapkan oleh seorang wanita kepada seorang lelaki, itu adalah hal yang ku kira aneh dan mengaibkan. Hari-hari itu pun terus berjalan dan perasaan tersebut terus menyeksa batinku. Sampai pada akhirnya aku meneliti sirah Rasulullah sehingga hatiku dapat menangkap cahayanya dan menghirup harum baunya. “Khadijah binti Khuwailid yang mengutuskan kawannya Nafisah binti Munabbah untuk melamar baginda.” Dengan taujih nabawiyah ini hatiku menjadi tenteram. Sekarang aku mengetahui bahwa Islam tidak menutup pintu cinta dan kasih sayang, tetapi membersihkannya dari tradisi jahiliah agar menjadi taman yang indah, iaitu "cinta kerna Allah".
Akhi,
Pemuda soleh sepertimu. Yang sering menjadi sebutan dan perhatian dikalangan para muslimah. Dan aku merasa sangat tergugat dengan semua itu. Aku khuatir seandainya aku terus berdiam, aku sendiri yang akan menyesal nantinya.
Mohon kemaafan andai apa yang telah aku lakukan awalnya salah dipandanganmu. Sungguh jika aku silap, ajarlah. “Akal ku senipis bilahan rambut, maka tebalkan ia dengan limpahan ilmumu.”
Sekian,
Fatimah Az-Zahra’
Usai membaca surat itu, membuatkan hati saya sedikit bergetar. Bahasanya sangat lembut dan halus. Surat ini ditulis dari hati yang bersih, hati yang dipenuhi dengan rasa cinta dan takutkan Allah. Ianya benar-benar menyentuh sanubari.
Meskipun rasa cinta itu masih belum mekar berputik. Namun yang sedikit itu mungkin lebih baik. Saya tidak mahu melebihkan cinta. Kerana masih ada yang lebih penting dari cinta. Tugas saya sebagai seorang anak, mahasiswa, pemimpin dan hamba. Hamba kepada Allah SWT. Sedang cinta kepada Allah masih belum mekar berputik. Apakah yang lebih utama selain mendahului hakNya Allah. Saya juga khuatir jika cinta saya pada manusia, menyebabkan cinta saya pada Allah terabaikan. Maka saya tidak mahu berlebihan dalam rasa cinta, sebaiknya saya bersederhana.
Bukankah Rasulullah SAW ada menyarankan dengan sabdanya,
“Cintailah kekasihmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi musuhmu pada suatu saat nanti. Dan bencilah musuhmu sesederhana mungkin, siapa tahu ia menjadi sahabat dekatmu pada suatu saat nanti.”
Saya teringat sebuah nasihat yang tulus dalam sebuah tulisan yang lebih kurang baitnya,
“Cinta yang terus tumbuh sekalipun perlahan adalah lebih baik dari cinta yang cepat mencapai puncak lalu surut secara pasti. Kerana itu, berilah tempoh waktu yang cukup kepada dirimu untuk mengenal hakikat sebuah ikatan, dan selama dalam proses tersebut cintamu terus berkembang setahap demi setahap. Hal ini lebih baik daripada harus melonjak ke anak tangga cinta yang paling tinggi sebelum mengenalnya dengan baik, namun kemudian kecewa kerana tahu bahawa dirinya tidak sesuai dengan kriteria ideal yang pernah kamu angan-angankan.”
“Semoga tali pertunangan itu bisa membawa ke medan ta’aruf yang lebih baik dan beradab.” Bisik saya.
Saya lipatkan semula surat itu dan saya letakkan di atas meja belajar. Kepala saya mulai terasa ringan. Saya bangkit sambil mengerak-gerakkan badan. Saya tarik nafas panjang, saya hembus. Saya ulangi berkali-kali. Saya masih terus teringatkannya dan saya cuba membayangi bagaimana wajahnya. Tiba-tiba saya teringat kata ayah Zahra sewaktu menyerahkan surat itu. “Ini titipan dari Zahra. Gambarnya ada sekali.” Saya segera mencapai sampul di atas meja. Saya buka, ada dua keping gambar. Yang satu wajahnya tertutup dengan niqab dan yang satu lagi. Subhanallah... jantung saya jadi berdegup laju.
“Ini bayangan bidadari. Indahnya wajahmu seindah akhlakmu.” Bisik saya dalam hati.
Saya terus berpuitis,
Saya mencintaimu sebelum melihatKerna indahnya sifat yang disebutSeperti surga yang dicintaKerna keindahannya, meski belum diindra
Dhiya
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan