“Alhamdulillah.” bisik saya sewaktu melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Saya baru selesai menjawab madah usul fiqh. Syukur saya dalam hati. Allah telah mempermudahkan urusan hambanya. Kini selesai sudah peperiksaan. Yang tinggal hanya doa dan pengharapan kepada Sang Penguasa. Semoga segala usaha yang ditumpahkan setimbang dengan hasil yang akan didapatkan.
“Man jaddah wa jada!”
Saya tidak terus pulang ke rumah, kerana menanti teman-teman yang belum siap menjawab soalan. Saya singgah duduk dikerusi di luar dewan. Saya lihat jam, baru pukul 10.19 pagi. Cuaca tampak sedikit redup. Awan berarak dengan perlahan. Terkadang menghalangi matahari yang mahu menumpah sinar ke muka bumi. Sesekali saya disapa tiupan angin yang membelai-belai jiwa. Seekor burung pipit hinggap ke tanah berhampiran saya, sekejap sahaja ia lalu terbang. Saya alihkan pandangan ke langit. Subhanallah!
Maha benar bicara Allah. Sesungguhnya pada segala penciptaanNya, terdapat tanda-tanda keagungan dan kebesaranNya. Itu jika manusia mahu berfikir. Langit. Bumi. Malam. Siang. Bulan. Bintang. Matahari. Segala-galanya dibawa aturan Allah Azza wa Jal. Fikirlah hai manusia!
Sepuluh minit sudah berlalu, saya masih belum mendapati seorang pun teman-teman yang keluar. Mungkin mereka lewat sedikit. Fikir saya. Sementara menunggu saya menyambung bacaan al-Quran. Saya keluarkan mushaf terjemahan al-Quran di dalam beg berwarna biru. Perlahan-lahan saya singkap helaian al-quran satu demi satu, mencari tempat saya berhenti bacaan. Ya, saya temui.
Saya terus membaca tanpa menghiraukan orang-orang yang lalu lalang di hadapan. Beberapa ketika saya berhenti, melihat jam pada tangan sambil memerhatikan pintu dewan peperiksaan. Melihat sekitar, kalau-kalau mereka sudah selesai menjawab. Saya terus larut dengan bacaan sehinggalah saya terhenti sewaktu sampai pada ayat.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”(Surah Luqman: 14)
Tiba-tiba saya merasakan sesuatu yang lain. Saya ulang-ulang ayat tersebut. Saya menangis. Hati saya jadi basah. Saya sapu birai mata. Saya jadi teringat ibu dan ayah. Perasaan rindu menjadi terlalu kuat. Sejak kebelakangan ini, saya sering kali menangis ketika saya berdoa agar Allah melimpahkan belas kepada kedua ibu dan ayah. Sehingga berkali saya ulang-ulang doa itu.
‘Ampunkan dosa ibu dan ayah saya, ya Allah. Rahmatilah mereka. Limpakan belasmu ke atas mereka. Kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihi saya sewaktu.’ Saya terus-terusan menangis. Ingatan dan rindu menjadi terlalu kuat kepada keduanya.
Mungkin kerana saya sudah lama tidak pulang ke kampung. Sudah hampir dua tahun, semenjak menuntut di sini, saya tidak pernah pulang menjenguk keluarga. Bukan saya tidak mahu. Tapi, memikirkan soal tambang, itukan perlu biaya. Meski saya punya simpanan lebih, hasil kerja sambilan di luar universiti, mustahil saya akan gunakan kerana duit itu saya simpan untuk ibu dan ayah. Mereka punya hajat untuk menunaikan ibadah haji. Inilah hajat besar mereka yang mesti saya ditunaikan. Saya akan usahakan sehabis mungkin, asal cita-cita mereka termakbul.
“Ibu! Ayah! Akan saya tunaikan hajat kalian. Biiznillah.” Tekad saya.
“Termenung jauh Nampak.” Sapa Hisyam. Membuatkan lamunan saya ikut pergi dibawa bayu pagi.
Asmar terus duduk disebelah saya sambil mengurut-ngurut kepala.
“Kenapa Mar, pening ya menjawabnya?” gurau saya. Dia sekadar menghadiahkan saya senyuman. Namun melihat wajahnya, saya sudah bisa membaca apa yang dirasakan sekarang.
“Sya’ban dan Meor macam mana boleh jawab?” soal saya kepada mereka yang sedang berdiri di hadapan saya
“Bolehlah. InsyaAllah.” jawab mereka. Meor mengerut dahi sambil membelek nota, untuk memastikan jawapan yang ditulis tadi betul atau tidak.
“Tidak mengapa. Kita semua sudah berusaha. Sekarang kita perbanyakkan doa dan tawakkal kepada Allah. Ya.” Saya cuba meniupkan semangat agar mereka tidak merasa rendah dan lemah. Sekejap sahaja wajah mereka berubah dengan senyuman.
“Pemuda beriman!”bisik saya dalam hati. Orang beriman apabila disebutkan kalimah Allah hati mereka jadi tenang dan tenteram. Kerna kalimah itu sangat mulia dan agung. Nama bagi Sang Penguasa. Yang mengatur sekalian alam dan isinya. Dia memberikan nikmat yang pelbagai tanpa mengira siapa. Berimankah. Kafirkah. Dia Allah, yang Tunggal. Esa. Wahid. Satu. Tiada sekutu baginya. Tiada dua baginya mahupun tiga. Syiriklah orang-orang yang menduakannya. Syiriklah orang-orang yang menyembah selain daripada Dia. Syiriklah pula orang-orang yang mengharap, meminta dan berserah selain hanya padaNya. Allah! Allah! Allah! Tiada Tuhan Selain Dia. Dia sumber kekuatan, kebahagian, keselamatan dan Dia adalah segala-galanya.
“Laparnya. Hari ini nak masak apa ya?” tanya Sya’ban. Antara kami berlima, dia orang yang paling pakar dalam bidang masak-memasak. Sebut sahaja mahu makan apa. Masakannya pun sedap, hingga menjilat jari. Katanya dia belajar dari ibu. Sedari kecil lagi dia sudah duduk di dapur membantu ibunya. Jadi tidak hairanlah. Chef Dan, itu gelaran yang kami berikan padanya.
“Macam ni, hari ini kita makan di luar ya. Setuju?” ujar saya kepada teman-teman sambil memandang wajah mereka satu persatu. Mereka terdiam. Mungking terkejut dengan kata saya tadi. Saya tidak hairan dengan tingkah mereka. Saya memang dapat menangkap apa yang mereka fikirkan. Kerna selama ini kami belum pernah sekali makan diluar atau dikafe. Tujuannya untuk berjimat. Ajakan saya tadi benar-benar membuat mereka tidak tentu fikir.
“Jangan risau ana belanja. Jom!” kata saya lagi, disambut dengan senyum lebar pada wajah teman-teman. Hati saya melonjak gembira melihat tingkah mereka.
“Barakallahu lakum.” Kata saya dalam hati. Kami terus melangkah menuju tempat meletak kenderaan.
“Ada apa-apa ke ni, tiba-tiba belanja?” tanya Syam. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu tentang saya. Mungkin hairan kerana selama ini saya tidak pernah berbuat demikian. Dan antara kami juga, belum pernah ada yang melakukan demikian. Semuanya kerana hendak berjimat.
“Sekali-sekala belanja, ada rezeki lebih.” Balas saya sambil tersenyum. Hisyam jadi putus kata. Saya bisa menangkap tingkahnya. Ada sesuatu yang sedang dia fikirkan tentang saya. Saya sendiri tidak tahu. Mungkin dia merasa hairan mengapa tiba-tiba saya membelanja mereka. Sedangkan saya ini orang yang butuhkan wang. Mungkin itu sangkaannya teka saya.
Sewaktu tiba di kawasan meletak kenderaan, tiba-tiba saya disapa oleh seseorang yang saya tidak kenali. Saya sedikit terkejut.
“Assalamu’alaikum. Zaid?.” Soal seorang lelaki dalam lingkungan usia 50-an. Wajahnya tampak berseri. Pakainnya kemas. Rambutnya yang sedikit putih tersikat kemas.
“Wa’alaikum salam. Ya. Saya Zaid.” Jawab saya ringkas. Hisyam berlalu meninggalkan saya menuju ke arah motorsikal diletakkan. Teman-teman yang lain sudah pergi dahulu, pulang ke kolej kediaman.
“Maaf mengganggu Zaid. Saya Amiruddin. Panggil sahaja pak cik Amir.”
“Ada yang pak cik ingin bincangkan…” bicaranya terhenti. Tiba-tiba dua orang wanita keluar dari kereta BMW berwarna hitam tidak jauh dari tempat kami berdiri. Seorang berbaju kurung dan seorang lagi berjubah dengan niqab yang menutupi wajahnya. Saya seperti mengenal wanita ini. Tapi saya kurang pasti. Tiba-tiba matanya tepat memandang saya. Pandangan kami bertemu. Pantas sahaja saya alihkan bola mata. Jantung saya berdegup kencang. Umbun-umbun kepala terasa dingin. Ada keringat yang turun membasahi dahi saya. Saya jadi benar-benar kaget. Saya berzikir-zikir menenangkan diri. Mereka bergerak dekat ke arah kami. Semakin dekat, semakin deras degup jantung di dada.
“Boleh kita bincang di sana.” Kata pakcik Amir. Sambil jarinya menunjuk ke arah sebuah tempat rehat berdekatan Fakulti Bahasa. Kami lalu melangkah ke sana. Saya mengisyarat kepada Hisyam supaya menanti sebentar. Cuaca mulai bertukar cerah. Langit yang tadinya ditompoki awan ikut pergi dibawa angin. Hati saya di sapa seribu satu tanda tanya.
“Pasal anak saya. Pak cik minta maaf jika ianya menganggu Zaid.” Lelaki berusia 50-an itu memulai bicara. Wanita disebelahnya sekadar memandang manakala wanita berpurdah itu hanya tunduk terdiam.
“Anak pakcik? Maksudnya, maaf saya kurang faham.” Balas saya. Saya jadi benar-benar keliru dengan bicaranya.
“Malam tadi. Anak saya ada menyatakan hasratnya pada Zaid.”
Saya jadi teringat hal semalam. Sms yang saya terima dari seorang wanita yang menyatakan hasrat hatinya. Tapi saya masih belum mengetahui gerangan tuan punya badan. Saya benar-benar terlupa hal itu. Mungkin kerana terlalu memikirkan peperiksaan sehingga perkara yang sebesar itu bisa terlupakan.
“Jadi pak cik ni ayahnya?” soal saya.
“Ya. Ini anak saya.” sambil memegang bahu wanita berpurdah itu. Wanita itu menunduk malu. Sekejap, dia mengangkat kepala. Saya cuba mencuri pandang. Mata kami bertemu. Lama saya menatapnya. Degup jantung saya terasa kencang. Saya merasakan sesuatu yang lain. Saya merasa seperti dekat dengan wanita ini. Seakan sudah mengenalnya lama. Saya mula bersangka-sangka.
“Saya yakin itu dia” teka saya. Ntah mengapa orang itu terlintas difikiran saya.
“Namanya Fatimah.” Ujar pak cik Amir memperkenalkan permata kesayangannya.
Wajah saya yang berubah suram saya sembunyikan dalam-dalam. Ternyata firasat saya salah. Saya kira itu…
“Teman-teman biasa memanggilnya Zahra.” tambah pakcik Amir lagi.
Ah! Saya terkejut besar mendengarkan nama itu. Benar firasat saya. Tapi saya seperti tidak percaya.
“Zahra.”
Siapa tidak kenal akan dia, selalu orang memanggilnya Zahra. Yang saban kali menjadi sebutan para mahasiswa Fakulti Pengajian Islam. Dia adalah mantan Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam merangkap Pengerusi Hal Ehwal Mahasiswi Islam. Kewarakannya usah dibandingi. Para pensyarah cukup arif dengan muslimah ini. Pernah seorang pensyarah muda mahu melamarnya, namun dia tolak dengan sopan.
Saya jadi teringat pesan Ustazah Nusyaibah. Pensyarah Jabatan Syariah. Dia sudah saya anggap seperti Ibu sendiri. Sewaktu beliau berbicara tentang Zahra, beliau ada berkata kepada saya.
“Kalau mahu memilih isteri, pilih muslimah seperti Zahra. Ustazah yakin benar enta akan beroleh kebahagian dalam berumah tanggga.”
Jantung saya terus berdegup kencang. Tubuh saya mulai disapa dingin. Saya terbawa dengan emosi sendiri. Saya terdiam. Wajah saya berubah. Ntah bagaimana keadaannya, saya tidak tahu. Saya tidak tentu fikir. Zahra ternyata santai kerana wajahnya yang terhijab.
“Memandangkan kalian masih kuliah, maka baiknya kalian diikat dahulu dengan tali pertunangan.” Terang ayah Zahra.
“Itu pun jika Zaid sudah benar-benar bersetuju.” Tambah ibunya.
Saya terdiam kaku, hanya mengangguk setuju. Ini hal yang belum pernah saya lalui dalam hidup, justeru saya merasa sedikit asing.
“Saya rasa kalian berdua sudah saling kenal-mengenali.” Kata ibu Zahra, memecah lamunan saya.
“Memandangkan saya sudah kenal tuan punya badan, tidak sukarlah untuk saya berfikir dan membuat keputusan. Namun yang penting izinkan saya untuk solat istikharah memohon petunjuk dari Allah.” Sambung saya.
"Itulah sebaiknya." balas ayah Zahra.
Saya bersalaman dengan ayah Zahra, dia memeluk saya erat, seakan mengisyarat adanya ikatan. Sebelum berlalu sempat ayahnya menyerahkan sepucuk sampul surat berwarna biru laut ke tangan saya, sambil berbisik, “Ini titipan dari Zahra. Gambarnya ada sekali.” Sekejap, mereka terus berlalu pergi.
Saya segera menemui Hisyam dan terus kembali ke rumah. Pastinya teman-teman sudah menunggu lama. Selepas makan kami mesti berangkat pulang ke Selangor menziarahi ibu Hisyam. Itu janji saya malam tadi.
Hati saya terasa dibasahi dengan titisan cinta. Bahagia, gembira, suka segala kini bertemu dan bercampuran. Ntah bagaimana hendak mengungkapkannya. Cinta?
“Inikah cinta?” bisik saya dalam hati.
Sepanjang jalan saya asyik terfikirkan Zahra. Saya cuba membanyangi wajahnya seperti apa. Cuba tadi saya meminta izin melihat wajahnya, ah! melihat secara langsung gitu. Saya terasa geram sendiri. saya tidak sabar melihat gambarnya. Pernah juga saya mendengar dari teman-teman muslimah yang memuji kecantikannya. Ntah cantiknya seperti apa, itu saya tidak tahu. Itu tidak penting, yang menjadi perkiraan adalah agama dan akhlaknya. Saya jadi teringat pesan tok guru
“Nikahi wanita itu kerana kecantikannya, kerana keturunannya, kerana hartanya dan agamanya. Yang lebih utama nikahinya kerana agama yang ada padanya.”
Dhiya
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan