AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Wanita Gelap



Masa berlalu begitu laju, ini minggu terakhir sebelum cuti pertengahan semester. Saya perhatikan kalender untuk bulan ini dan bulan depan. Selepas cuti akan ada program Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS). Program ‘Family Day’ yang sepatutnya diadakan minggu lepas terpaksa dibatalkan kerana beberapa masalah yang tidak mampu dielakkan. Saya masih memikirkan kerja-kerja persiapan untuk program tersebut. Saya catatkan beberapa perkara penting untuk tindakan. Kepala saya terasa sedikit berat. Saya tidak betah untuk terus memikir. Berat rasanya.

Saya buka laptop. Saya terasa mahu menulis. Namun dikotak kepala terlalu banyak yang bercampur baur. Saya jadi tidak tahu hendak menulis apa. Lama saya terdiam, sempat saya mendengar lagu dengangan Hijjaz. Saya membuka folder gambar. Tidak sengaja saya terbuka gambar-gambar sewaktu di Kolej Islam Pahang dahulu. Rasa rindu terus membuak-buak. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit yang saya alami sepanjang berada di sana, selama hampir tiga tahun. Saya cuba mengimbas peristiwa sewaktu mula-mula menduduki KIP. Tengah saya tersenyum sediri memikirkan keadaan saya dan teman-teman di awal kuliah, saya jadi teringatkan seseorang.

“Saya letakkan buku rujukan untuk assignment awak di atas meja bahagian kitab Bahasa Arab. Nanti awak ambil ye.” Begitu mesej darinya.

Waktu itu saya terkejut besar, bagaimana ada orang seperti ini dan bagaimana dia bisa mengetahui tajuk assignment saya sehingga siap menyediakan buku rujukan untuk saya. Katanya,

“Memandang awak baru lagi, tentu sukar hendak mencari buku-buku rujukan di perpustakaan. Jadi biar saya tolong awak untuk sediakan buku rujukan, agar mudah untuk awak buat assignment nanti.” Jelasnya.

“Alangkah baiknya wanita ini.” fikir saya. Suatu hari, tengah saya menelaah buku diperpustakaan, saya menerima satu mesej darinya.

“Di atas meja belakang awak, ada beberapa keping kertas. Saya tuliskan untuk awak cara-cara hendak membuat assignment. Jangan lupa ambil.” Mesej darinya.

Saya pandang sekeliling, tiada sesiapa. Bagaimana saya tidak perasan kehadiran wanita itu. Saya seperti merasakan sesuatu yang ajaib. Pantas sahaja dia bertindak mengelak dari saya, agar nantinya saya tidak mengenalnya.

Saya merasakan sesuatu yang tidak sedap. Ada orang yang saya tidak kenali secara senyap dan tersembunyi membantu kerja saya. Yang menghairankan bagaimana ia bisa mengetahui nombor telefon saya dan segala tajuk kerja saya.

“Jika ikutkan, saya tidak mahu memberikan nombor telefon saya. Tapi tolong janji jangan diberikan kepada sesiapa. Hanya awak seorang sahaja.” Tegas saya kepada Sufiah. Dia rakan sekelas saya, yang umurnya lebih muda dari saya. Saya anggapnya seperti adik sendiri. Dia mohon minta nombor telefon saya, katanya hendak menanyakan beberapa soalan bila perlu nanti.

Beberapa lama berlalu saya menerima mesej daripada seorang wanita. Katanya dia mahu berkenalan dan bersahabat dengan saya. Saya sangat tidak sangka, bagaimana bisa nombor telefon saya jatuh ke tangan orang lain. Saya mula bersangka-sangka. Mungkinkah Sufiah yang berkomplot memberikannya. Saya jadi geram. Bukankah dia sudah berjanji. Tapi sewaktu saya meminta kepastian dan kata jujur darinya, ternyata dia tidak terlibat apapun. Saya terima katanya.

Saya terus tertanya-tanya dari mana wanita itu mendapatkan nombor saya. Pelik rasanya. Namun saya tidak memikirkan perkara itu terlalu berat. Saya biarkan sahaja. Apa benar wanita ini segan hendak berhadapan dengan saya sehingga segala tindakannya cuba ditutupi. Dia membantu saya dalam keadaan saya sendiri tidak mengetahui siapa orangnya. Dia mengirimkan kata-kata semangat tanpa saya ketahui siapa penghantar mesej tersebut. Dia mengikuti perkembangan saya secara senyap-senyap.

“Nota untuk subjek undang-undang telah saya sediakan. Nanti awak ambil di kafe, meja berhampiran pintu.” Sekali lagi saya menerima mesej darinya. Nota itu dia sendiri yang fotocopy dari sebuah buku. Ah, saya jadi semakin bingung, meskipun ianya meringankan sedikit beban dan kerja saya. Jauh dilubuk hati, meski saya merasa lelah dengan tindak tanduknya, saya tetap berterima kasih dengan kemurahan hatinya membantu saya. “Siapalah orang yang baik hatinya ini?” soal saya dihati

Tiba-tiba telefon saya berdering, ada mesej masuk. Saya berhenti menaip sebentar. Saya ambil telefon, buka inbox, dari mak angkat menanyakan keadaan kesihatan saya. Sempat juga saya ditanya adakah saya balik rumah cuti nanti. Saya sangat menghargai keprihatinan keluarga mereka menanyakan keadaan saya. Meski darah kami berbeza, tapi kami terikat dengan rasa kemanusian dan kasih sayang juga ikatan akidah Islam. Semoga ianya kekal selamanya. Saya cuba mengingat semula di mana saya berhenti tadinya. Lalu saya sambung menulis.

“Awak gunakan kredit itu untuk menghubungi keluarga awak di Sabah.” Jawapnya santai.

Saya terkejut besar apabila melihat telefon saya terisi kredit. Dan itu adalah pemberiaannya. Saya tidak suka semua ini. saya balasi mesej.

“Maaf, saya tidak bisa terima semua ini. Cukuplah dengan kebaikan awak membantu saya dalam pembelajaran.” Kata saya.

“Anggaplah itu sebagai sedekat dari saya.” Jawapnya lagi.

Saya semakin sesak memikirkan sikap orang ini. Ada sahaja hujah yang diberikannya. Hari bertambah hari, dia terus-menerus mengirimkan kredit ke telefon saya. Saya tidak tahu mengapa. Sedangkan kredit saya masih ada dan tidak digunakan.

“Saya sangka awak tidak ada kredit hendak balas mesej saya. Jadi saya kirimkan kredit untuk awak.” Balasnya.

Tulisan saya terhenti lagi. Ada orang mengetuk pintu. Rakan serumah saya. Dia mahu meminjam sesuatu dari saya. Sempat dia mencuri pandang apa yang saya sedang buat dan tulis.

“Tulis cerita ya.” Katanya.

“Ya. Sikit-sikit. Malam ini free, nak rehatkan minda dengan menulis.” Balasnya. Dia tersenyum dan berlalu pergi. Saya terus menyambung menaip.

Sudah beberapa bulan berlalu. Saya masih tidak mengenali siapa gerangan wanita ini. Dia sungguh bijak bermain teka teki sehingga membuatkan saya tercari-cari. Kadangkala apabila saya sedang berjalan atau berada di kafe, perpustakaan dan sekitar kolej saya merasa seperti sedang diperhatikan. Itu membuatkan saya merasa kurang enak. Namun saya buat seperti tidak tahu apa-apa. Pernah suatu ketika dia mengirimkan kepada rakan sekelas saya jawapan kepada soalan undang-undang yang diberikan pensyarah. Saya hairan, bisa saja dia mengetahui soalan yang diberikan oleh pensyarah itu. Saya menyangka, mesti ada dikalangan rakan sekelas saya yang menjadi orang tengah. Dikalangan wanita. Geram. Saya merasa geram. Dia membuatkan saya terus tertanya-tanya. Meski saya tidak terlalu memikirnya, tapi kadangkala ianya datang menganggu saya.

“Hiasi wajah manismu dengan senyuman.” Kiriman mesej darinya disuatu petang. Katanya, dia melihat wajahnya saya dipenuhi kemuraman. Bagaimana begitu cepat dia menangkap keadaan saya? Bila waktunya dia melihat saya?

Semua soalan itu tidak bisa saya jelaskan.

“Macam itulah menjadi pemimpin, letih dan lelah. Yang penting mesti bersabar.” Tambahnya lagi.

Jujur, kebanyakan mesej yang saya terima darinya sarat dengan kata-kata semangat dan pesanan. Dia sering menumpahkan pengalamannya agar saya bisa mengambil ibrah. Saya sangat suka dengan setiap kata-katanya. Bahasanya halus. Ternyata dia pandai berbahasa dalam berkata-kata. Saya teringat sepucuk surat yang diberikan kepada saya. Isinya sarat dengan motivasi dan iktibar. Dia banyak memesan soal diri dan kepimpinan. Isi suratnya benar-benar menyentuh hati. Hampir sahaja saya menangis sendiri apabila dia berbicara tentang ibu dan ayah. Bicaranya halus dan lembut.

Suatu ketika Allah telah mentakdirkan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah menduganya.

Akhirnya dengan tidak sengaja saya menemukan ‘wanita gelap’ itu. Waktu itu dia hendak menyerahkan buku-buku rujukan untuk assignment akidah. Saya tidak pasti samaada dia segaja mahu menzahirkan dirinya atau dia sendiri tidak segaja. Tapi yang nyata kini wanita itu sudah saya kenali.

Mahasiswi tahun akhir. Satu jabatan dengan saya. Dia terkenal kerana kebijaksanaannya dalam pelajaran. Dia pemegang tetap anugerah dekan. Dia setiausaha persatuan jabatan juga pernah terlibat dalam kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Ternyata selepas mengenalnya, bahasa mesejnya mulai berubah.
Kata-kata cinta mulai berbunga sehingga saya sendiri merasa tidak selesa. Cinta, itulah yang saya takuti saat ini. Sedayanya saya cuba menghindarkan diri daripada bercinta seusia ini. Masih banyak perkara yang perlu saya berati dan fikirkan selain cinta. Ada hal yang lebih besar daripada itu. Sebab itu mula-mula dahulu saya cuba untuk tidak memberikan nombor telefon saya kepada sesiapa. Hal kerana perkara ini. Maka banyak kalilah saya berdoa kepada Allah agar saya terhindar dari cinta diwaktu ini.

“Zaid, izinkan saya merasai cintamu.” Katanya dalam mesej di suatu malam.
Saya hanya mendiamkan diri. Mesej itu tidak saya balas. Sedikitpun saya cuba hindarkan dari memikirkan soal itu. Takut-takut nantinya syaitan hadir menghasut. Berbulan lamanya, saya mendiamkan diri. Semua mesej yang saya terima darinya tidak saya balasi. Suatu ketika dia ada mengirimkan,

“Salahkah saya mencintai Zaid. Cinta itukan suci, anugerah Allah kepada hambanya. Saya rayu pada Zaid, izinkan saya merasainya meski sedikit.”

“Maaf saya tidak bisa.” Jawab saya dalam hati.

Tiba-tiba saya berhenti menaip. Saya merasa berat untuk meneruskan tulisan. Saya tidak kuat mengenang semua itu. Saya tunduk terdiam. Laptop terbiar, hanya kedengaran lagu-lagu nasyid berdendang. Ntah mengapa saya merasa syahdu dan sedih.

Saya menarik nafas panjang. Saya teringat sepucuk surat yang pernah dititipnya dahulu. Saya buka pintu loker. Saya membelek-belek kepingan surat yang bertimbun disebuah kota kecil. Saya jumpai surat darinya. Saya buka dan saya baca.

Akhi Zaid

Seorang lelaki yang sangat aku hormati dan sangat aku kasihi.
Assalamu’alaikum wbt

Menghadap saudara Zaid yang sering dirindui. Doaku semoga dirimu sentiasa dalam naungan Ilahi. Bacalah bicara hatiku ini dengan adil dan saksama. Jangan disiksa hatiku.

Lama engkau mendiamkan diri, tanpa sedikitpun memberi isyarat pada luahan hatiku. Hanya wajahmu yang selalu menemani hari-hariku. Aku berusaha untuk tidak terlepas melihatmu. Pukul 10 pagi, itu waktunya kau akan berada di perpustakaan membaca buku, maka aku pasti ada waktu itu. Engkau tidak perasan. Aku hanya mahu menatap wajahmu dan melihat tingkahmu.

Apa salahku? Mengapa engkau mendiamkan diri? Aku memohon sesuatu yang pasti darimu, maka aku beranikan diri menghadirkan tulisan ini.

Akhi

Aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengungkap apa yang sedang menderu dibenak jiwaku. Sekian lama aku menyimpan perasaan ini dan sampai saat ini aku sudah tidak lagi kuat menahan perasaanku sendiri. Berkali-kali aku solat istikharah memohon petunjuk dan kekuatan daripada Allah SWT. Dan sampailah warkah usang ini berada di tanganmu.

Akhi

Mungkin engkau sudah mengenali siapakah aku sebenarnya. Maafkan aku kerana membuat dirimu tertanya-tanya dan menunggu lama. Ya, memang aku sengaja tidak mendedahkan siapa aku sebenarnya. Bukan niat untuk mempermainkanmu. Bukankah engkau pernah berkata bahawa nilai seorang wanita itu selagi mana ia miliki sifat malu. Kata-katamu itu membekas di hati lalu segala muamalat denganmu sebolehnya cuba ku jaga. Aku tidak mahu melanggar syariat. Aku tidak berani dan tidak mahu bertemu mata denganmu. Takut-takut syaitan mengusik dengan bisikan jahatnya. Tapi selama aku cuba menjaga pergaulan ini, semakin kuat perasaan kasih dan hormatku padamu.(maaf jika keterlaluan).

Sejujurnya ku akui, semenjak mengenalimu, aku sudah tersihir dengan peribadi muliamu. Bait-bait yang terungkap dibibirmu sering mengingatkanku kepada akhirat. Engkau selalu pesan agar jangan menghantar SMS kepadamu jika tidak penting, kau kata demi menjaga maksiat hati. Aku turuti kehendakmu itu, aku berusaha menahan diriku. Bila aku mengingatimu, aku terdorong untuk melakukan amal ibadah. Aku berusaha bangun tahajjud seperti yang pernah engkau pesankan. Aku selalu ingat kata-katamu, “Pastikanlah segala yang kita lakukan ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.” Saat aku mendengar ungkapan itu hatiku tersentuh.

Akhi

Aku ingin sekali mendampingimu untuk sama-sama mencari redha Allah SWT. Demi Allah, cintaku padamu demi tujuh golongan yang terpelihara bawah lembayung Arasy Allah pada hari penghakiman kelak. Aku menyintaimu kerana-Nya, bertemu kerana-Nya dan sekalipun terpisah nanti kerana-Nya jua.
Akhirnya mohon berilah peluang untuk aku terus mendampingimu disepanjang perjalanan yang singkat ini dan merasai cintamu, cinta seorang pemuda soleh.

Sekian dahulu. Wassalam.


Pengemis Cinta.

Saya diam membungkam. Tanpa sepatah kata. Saya masih ingat, surat itu dititipnya sebelum sesi semester tamat. Dia bakal meninggalkan KIP kerana perjuangannya menuntu ilmu di KIP sudah selesai. Sudah tiga tahun lamanya surat itu tersimpan tanpa sedikitpun saya menyentuhnya semenjak pertama kali saya membacanya. Dan saat ini saya terdetik lagi untuk membacanya. Meski saya telah berjanji untuk tidak lagi menyentuh dan membaca surat itu lagi.

“Ya Allah cucurilah rahmat ke atas rohnya.” Berkali-kali ungkapan itu keluar dari bibir. Saya menangis teringatkannya.

“Seorang siswi maut dilanggar sebuah van semasa melintas jalan raya dihadapan KIP.” Tajuk keratan akhbar. Saya simpannya sampai hari ini. Mata saya tidak henti-henti mengugurkan airnya.

Dia terlibat dalam kemalangan beberapa hari selepas surat itu dititipnya. Saya tidak membalas surat itu. Saya tahu dia kecewa. Tapi saya harus berbuat apa.

“Salahkah saya?” 

“Egokah saya?”

Soalan itu terus terbiar tanpa jawapan.

“Engkau pergi tanpa sempat aku membalas jasa baikmu. Semoga engkau menemui cinta abadi di sana. Maafkan aku.” Bisikku dalam hati.



Dhiya
Kampus Kusza, UDM

0 ulasan: