Saya dimaklumkan minggu ini adik-adik saya di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) akan mengisi waktu dengan kesibukan berhadapan Pilihanraya Kampus (PRK) bagi merebut tampuk pemerintahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dan hari ini adalah hari membuang undi. Mungin tempoh masa berkempen yang sekejap cuma akan membantutkan kemeriahan PRK, sama seperti dua tahun sebelumnya. Ditambah dengan sikap segelintir pelajar yang tidak responsive terhadap situasi kampus pastinya akan membenam terus pesta pilihanraya ini.
Suasana PRK di KIPSAS.
Sebenarnya suasana PRK di KIPSAS hanya sekadarnya. Tidak seperti IPT lain yang lebih terkehadapan. Di sini hanya dipertandingkan kerusi MPP. PRK dibahagikan kepada dua kerusi, iaitu kerusi Umum (calon Presiden mewakili lelaki dan calon Naib Presiden mewakili wanita) dan kerusi Jabatan (calon dari setiap jabatan).
Satu penyakit besar yang melanda pelajar tatkala tibanya pilihanraya adalah sentimen ‘ashabiyyah’ atau “department by department”. Ketaranya, dalam pertandingan merebut kerusi Umum, pengundi akan mengundi calon Jabatan masing-masing tanpa memandang dan menilai siapa calon yang bertanding. Baik buruknya, berkelayakan atau tidak itu semua bukan menjadi ukuran. Yang penting memenangkan wakil jabatan.
Sehingga pernah terdengar slogan dalam suatu siri PRK dulu-dulu.
“Undi calon jabatan kita, jika kamu undi calon jabatan lain kamu adalah pengkhianat dan penderhaka!”
Memenangkan jabatan sendiri, itu mulia dan menjadi kebanggaan pelajar dan pensyarah jabatan. Lalu PRK KIPSAS bukan lagi bertujuan mengangkat calon pemimpin tapi mengangkat jabatan masing-masing.
Lain dari itu, PRK sekadar mencukupkan syarat bagi mengisi kelompang atau kekosongan kerusi MPP yang bakal ditinggalkan oleh pimpinan lepas. Hal inilah yang menyebabkan hilangnya kualiti kepimpinan dalam MPPKIPSAS. Awal-awal lagi idealisme mahasiswa sudah dikaramkan. Jadi pimpinan yang lahir tidak lagi membawa idea perubahan yang dicipta dan digagaskan sendiri, bahkan mereka sendiri tidak pasti dan tidak punya arah tujuan yang jelas apabila memegang tampuk kepimpinan.
Atau mungkin ada yang berfikiran, semata-mata untuk menimba pengalaman. Perlu diingat MPP bukan tempat eksperimen untuk anda. MPP bukan tempat anda menambah koleksi sijil-sijil, bukan juga tempat anda meraih popularity. Keberadaan anda dalam MPP lebih besar maknanya dari semua itu.
Mahasiswa yang bertanding perlu ada gagasan idealisma yang hendak diperjuangkan lewat menjadi pimpinan kelak. Justeru seru saya kepada adik-adik yang bertanding, keluar dari tempurung yang sudah sekian lama memerangkap kalian. Pastikan anda bersedia untuk memimpin sejumlah besar pelajar di bumi KIPSAS itu dengan matlamat jelas. Dengan itu berbaloilah segala titik peluh, masa dan tenaga anda meneroka ruang kepimpinan. Dan ganjaran Allah SWT itulah yang lebih berharga!
Maklumat yang sempat saya perolehi, beberapa calon yang akan bertanding,
1. Jabir, siswa Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Umum (calon Presiden)– pertandingan tiga penjuru (pesaing: dua calon lain dari Jabatan Syariah dan Undang-undang).
2. Kasrina, siswi Jabatan Syariah dan Undang-undang semester III bertanding kerusi Umum (calon Naib Presiden) – pertandingan dua penjuru (pesaing: satu calon lain dari Jabatan Dakwah dan Pengurusan).
3. Syaban, siswa Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Jabatan (calon exco siswa) – pertandingan lima penjuru (pesaing: empat calon lain dari jabatan).
4. Nur Ainul Basyirah, siswi Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Jabatan (calon exco siswi) – pertandingan enam penjuru (pesaing: lima calon lain dari jabatan).
Kepada adik-adik saya yang bertanding, selamat untuk kalian, semoga Allah SWT memberikan anda kemenangan sesuai dengan kelayakan anda.
Akh Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan