AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Saya Cintamu Kerana Allah

Saya sedang khyusuk meratah kitab Ma’allim fi at-thariq, bersantapan dengan bicara kisah Ashabul Ukhdud. Tulisan berbahasa Arab masih jelas meskipun helain kertas sudah lusuh warnanya. Semakin ditekun dalam-dalam, semakin lazat persis hidangan.


“Assalamu’alaikum. Abang?”


Bacaan saya terhenti tatkala dia menyeru nama saya. Dia datang dengan membaca secawan teh bersama kek lapis berperisa coklat. Jam sedikit lagi melangkah angkah sepuluh. Embun malam yang bercumbuan mesra dengan rintik hujan melahirkan dingin dalam tubuh. Sedang mentol kecil disisi meja kian panas dibakar arus elektrik.


“Wa’alaikum salam. Ya sayang” saya tutup kitab tulisan asy-Syahid Syekh Syed Qutb, lalu menyapu titik jernih dicelah-celah mata.


“Abang tidak habis lagi membaca buku tu” tanya isteri saya. Tangannya merangkul tubuh, kemudian perlahan-lahan mengurut-ngurut bahu saya. Sedang tangan saya masih memegang kitab itu.


Saya palingkan tubuh, kami bertemu mata. Saya seluruhi wajah cantiknya. Saya terleka sejenak pada keayuannya. Di atas kami kipas sedang berputar ligat. Sedang tirai berwarna hijau pucuk pisang pada jendela menari-nari ditiup angin.


“Abang menangis?” soalan itu tergelincir mudah dari lidahnya. Air mata yang saya sapukan tadi ternyata belum sempurna. Bukitnya dia seakan melihat sisa air tatkala memandang mata saya. Saya kedapatan.

“Tiada apa-apa sayang.” saya cuba menegakkan kejantanan sendiri.


“Mustahil tiada apa-apa. Ceritalah sayang, saya pun nak tahu.” Bujukannya meruntut ego saya. Dia bergerak selangkah lalu duduk dihadapan saya. Dan menyembam mukanya pada dada saya. Saya membelai-belai rambutnya yang panjang santak ke pinggang. Halus dan lembut. Embun malam sepertinya cemburu melihat kami.


Ternyata saya tidak mampu bermain kata dengannya. Dia suda masak dengan perangai saya. Diam. Sambil membelai-belai rambutnya yang sekali-sekala diajak menari oleh sang angin.


“Hati abang tersentuh tatkala membaca tulisan Syed Qutb. Seolah-olah terbayang dihadapan mata akan seksaan yang ditumpahkan ke atas golongan Ashabul Ukhdud.” Saya ungkapkan isi hati.


“Hati mereka telah berhasil membebaskan dirinya daripada belenggu rasa cita hidup, hati yang tidak boleh dipermainkan oleh bujukan syaitan. Hati yang rela menerima kedatangan maut, yang dahsyat kelihatannya. Hati yang lepas bebas dari sebarang belenggu "dunia" dan segala jenis godaannya, dan telah memilih kemenangan akidah atas segala-galanya.”


“Sayang, hebatkan akidah umat dahulu?”


“Benar abang. Kisah ini sebenarnya merupakan kisah kemurnian iman satu golongan manusia, yang rela menerima ujian dari pihak musuh mereka yang durjana dan garang. Musuh yang sanggup menginjak-injak kebebasan "manusia untuk menganut iktikad kebenaran dan untuk terus hidup menghayati iman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji." Mereka rela mati syahid mempertahankan iman mereka.” Lancar isteri saya menambah. Dia sebenarnya sudah khatam membaca kitab ini. Saya juga sedari menuntut di universiti dulu. Saya ulang baca kitab ini untuk meniupkan roh keimanan dalam jiwa.” Isteri saya menambah.


“Abang masih ingat kisah yang berlaku ke atas golongan ashabul Kahfi yang dicatat dalam surah al-Kahfi.”


Dia cuba mengingatkan saya tentang kisah yang berlaku ke atas pemuda penghuni gua yang diceritakan dalam surah al-Kahfi. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.


Saya kemudian melantuntkan ayat-ayat yang menceritakan perihal golongan penghuni gua itu. Saya membaca dengan taranum hijaz, dengan penuh penghayatan. Seakan terlopong dihadapan mata gelagat pemuda-pemuda itu tatkala berhadapan dengan pemerintah thoghut.

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”

(Surah al-Kahfi: 14)

Isteri saya seakan terbuai dengan ayat-ayat yang saya bacakan. Perasaan kami menyatu. Betapa tidaknya tatkala mengenangkan kehebatan iman umat terdahulu mempertahankan akidah mereka daripada dinodai musuh-musuh Tuhan. Lihat Saidina Bilal bin Rabah yang dipaksa menukar iktiqadnya meski diseksa separuh mati. “Allahu Ahad! Allahu Ahad!”. Sumayyah wanita pertama yang syahid kerana mempertahankan akidahnya dari diperkosa golongan thoghut.

Bentangkan kisah lalu yang dilalui generasi awal agar bisa dijadikan iktibar oleh generasi terkemudian. Kerana hari ini umat Islam begitu rapuh ikatan akidah mereka, mudahnya menggadai agama kerana cinta, menjual agama untuk dunia tidak kurang juga mereka sanggup menghina agama sendiri, hal kerana kejahilan diri.

“Saya kita perlukan orang-orang sepertimana generasi awal dulu. Kita perlukan pemuda sehebat Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Haritha, Mus’ab bin Umair, Umar al-Khattab dan pemudi seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah untuk membimbing umat ini agar mengabdikan diri kepada Allah Azza wa Jalla.” Saya meniupkan semangat untuk isteri tercinta.

“Benar abang. Kita memperkemaskan generasi hari ini. Kita memerlukan jiwa-jiwa daie. Hati-hati yang terikat dengan akidah yang salim. Jiwa-jiwa yang diserahkan semata-mata untuk dakwah dan jihad.”

“Saya cintakanmu kerana Allah sayangku.” Luah saya.

Dia pandang mata saya. Dalam sedu sedan dia berkata.

“Saya pun suamiku. Sungguh pada belahan hati ini. Saya mencintaimu kerana Allah. Semoga cinta ini berjujuh dengan zuriat soleh dan solehah yang akan menjadi mata rantai perjuangan ini.” Kata-katanya sangat menyentuh hati saya. Memang dia pandai berkata-kata. Kami tenggelam dalam rasa yang menyatu. Perasaan cinta kerana Allah. Cinta demi menegakkan kalimah Laa Ila ha Illallah. Sungguh cinta kami demi menjunjung amat Nabi. Saya rangkul tubuhnya. Kami berpelukan. Hati kami basah.

Saya lalu teringat ungkapan indah darinya sebelum berkahwin dulu. Waktu kami dipertemukan dalam majlis ta’aruf sebelum bersetuju mengikat janji setia menunaikan sunnah Nabi.

“Sungguh-sungguhkah cinta kamu pada Zaid?” soal ayahnya. Tuan Guru Jalaluddin al-Kalantani. Pengasas Madrasah Mukhtasar ad-Diniyyah. Sebuah madrasah yang terkenal di bumi Serambi Mekah.

Saya memandang tepat ke arah Zahra, lalu kedua matanya yang bening memandang ke arah saya. Mata kami bertemu. Hati saya bergetar, menanti-nanti jawapan yang bakal terbit dari belahan mulutnya. Wajahnya terhijab dek purdah yang dikenakan.

Tangannya perlahan-lahan membuka purdah. Ada titis embun yang turun dari atas lalu menyerap masuk menebar ke seluruh tubuh. Wajah putih bersih dihadapan, menyejukkan hati saya.

“Seminggu sudah, setiap malam saya didatangi mimpi yang sama. Demikian dalam sujud saya. Sebelumnya saya ada menunaikan solat Istikharah. Mungkin inilah jawapan dari Allah…..”

Matanya menyusuri mata kami, telinga saya menangkap alunan selawat yang melantun perlahan dari bibirnya.

“…Wajah yang saya temui dalam mimpi dan sujud adalah wajah orang yang sedang berada dihadapan saya...” Mata saya tidak berkelip. Dia masih menyusun kata-kata.

“…pemuda yang menyerahkan hidupnya untuk Allah, cintanya untuk Allah.”

Nafas saya seakan terhenti menanti kata balas daripada Zahra. Kepalanya masih menunduk. Pandangannya menyembah lantai.

“Sungguh pada belahan jiwa, harapan saya cuma satu, izinkan saya mendampinginya, menjadi sayap-sayap perjuangan untuk membesarkan agama kebenaran, membantu perjuangan dakwahnya. Dan saya sangat beruntung jika diberi kesempatan berganting-ganding dengan perjuangan Ustaz Zaid.” Bicaranya terus terang.

“Alangkah bertuahnya saya jika yang menyiapkan pakaian-pakaian perjuangan itu adalah saya. Yang menghidangkan santapan rohani seorang mujahid itu adalah saya. Saya kira itulah bekalan yang sangat tinggi nilainya untuk dibawa bertemu Allah Rabbul Jalil lalu ianya ditukar dengan syurga yang agung nikmatnya.”

Subhanallah! Mulianya wanita ini.

“Ana cintakan Zahra tidak kerana hartanya, bukan memandang rupa mahupun pada asal bakanya. Sungguh cinta saya kerana agamanya. Cinta saya pada Zahra demi tujuh golongan yang terlindung bawah lembayung Arasy Allah pada hari penghakiman kelak, kami bertemu, berkasih-kasihan, bercinta kerana-Nya dan jika terpisah nanti, kerana Allah jua.” Ungkap saya jujur, sungguh.

“Abang minumlah teh tu, kan sejuk pula nanti.” Lamunan saya lantas dipancung suara isteri tercinta. Dia lalu suakan gelas berisi teh, masih berasap. Saya sambut tapi kemudian saya letakkan di atas meja. Saya mencapai pinggan berisi kek coklat, saya ambil satu.

“Buka mulut sayang.”saya sua pada mulutnya secebis kek coklat. Dia malu-malu.

“Abanglah yang makan. Zahra bawa untuk abang. Abang yang bila membaca sampai tidak ingat dunia. Ulat buku.” Perlinya. Saya sedikit geram mendengar katanya.

“Zahra dulu ya.” Saya suapkan lagi ke mulutnya. Dia mengunyah. Saya senyum melihatnya makan. Bahagia. Saya suapkan lagi secebis ke mulutnya.

“Orang susah-susah buat dia tidak sudi makan pula.”Dia buat-buat merajuk, mulutnya mencebik. Manis, tahi lalat pada bibir kirinya buat dia lebih manis. Saya cubit manja. Dia elakkan wajahnya dari jari nakal. Kami ketawa. Tenggelam dalam bahagia.

“Zahra tidak suka abang mengikut perangai baginda, bukankah Rasulullah selalu mendahulukan isterinya dalam apa-apa perkara?”

“Iyalah ustaz.” Dia menyuapkan ke mulut saya sepotong yang tinggal.

“Sedapnya. Lemak manis macam orangnya juga.” Saya gelak lagi. Tangannya mencubit paha saya manja.

Saya ambil cawan teh, saya beri padanya.

“Abang minumlah dulu.”

“Zahra sayang. Baginda kan sentiasa mendahulukan isterinya.” Senyum saya sinis.

Dia beralah. Dia minum seteguk lalu disua cawan itu pada saya. Saya cari bekas mulutnya dan saya hirup di situ juga. Bahagia!

Malam semakin larut. Saya ajak Zahra mengambil wuduk dan bersolat sunat Witir bersama.

“Sayang. Ayuh kita solat sunat witir.” Saya bingkas berdiri. Saya tarik tangan isteri tercinta. Perlahan dia bangun. Selesai solat saya membaca doa rabitah.

“Ya Allah Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini (orang yang telah dibayangi tadi) telah berkumpul kerana Mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkan kepada hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.”

Dibelakang, Zahra dengan sedu dan penuh khusyuk mengucapkan, amin! Amin! Amin!

Perkenankan Ya Allah!

Abu Zaid

Kampus Kusza, UDM

0 ulasan: