Saya baru berjaya masuk ruangan KELIP pada portal pelajar Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) setelah beberapa hari mencuba. Hal kerana masalah password. Saya langsung membuka ruangan forum. Sebelumnya saya ada mendengar rungutan seorang teman berkenaan tajuk perbincangan dalam forum yang lebih kepada ‘suka-suka’, mencarut, tidak ilmiah dan segala macam sumpah serapah yang mencemarkan status mahasiswa.
Terima kasih kepada teman saya kerana sudi berkongsi masalah tersebut. Saya tidak puas jika sekadar mengetahui sesuatu melalui belahan mulut manusia. Maka saya perlu melihat sendiri apa benar yang diperkatakan. Memang benar apa yang dikatakan oleh teman saya itu. Namun tidak dinafikan masih ada perbincangan yang baik serta menarik perhatian saya bahkan terkadang mencabar emosi saya.
Mansuhkan FKI?
Tenggelam dalam carian tajuk forum yang melambak, saya terjumpa satu tajuk yang benar-benar mengusik emosi, mencabar iman saya bahkan mungkin bisa sampai membakar jiwa. Saya membuka satu forum mencadangkan agar Fakulti Kontemporari Islam (FKI) dimansuhkan. Orang ini telah mengundang amarah saya, ada yang telah mencabar emosi saya. Mujur saya masih bisa beringat dan berfikir waras.
“Saya sedang berpuasa”.
Emosi saya kembali tenang, akal saya masih waras.
Lalu saya membaca dengan saksama setiap komen dari mahasiswa UDM. ‘Pro n Contra’. Saya berkeyakinan mereka yang menganjurkan dan menyokong pemansuhan FKI bukan daripada Mahasiswa FKI (MFKI) dan mereka yang melawan arus, saya yakini mereka adalah MFKI dan sebahagian mungkin mahasiswa fakulti lain.
Sekali lagi emosi saya terganggu dek kerana ada bicara yang celupar, yang kurang sedap didengar halua telinga.
Ada yang mencabar Mahasiswa FKI!
Ada yang menghina dan merendahkan Mahasiswa FKI!
Ada yang mengusulkan FKI dimansuhkan!
Ada yang bertikam lidah!
Tiada yang mahu kalah, semua mahu menang.
Dalam masa melayan emosi yang semakin meninggi suhunya, saya cuba mencari penawar mujarab, saya tidak mahu terlibat dengan pertelingkahan yang pastinya akan mencemarkan status mahasiswa FKI dengan kata-kata yang kurang sopan. Mencemarkan bulan yang mulia ini dengan bicara yang tidak sepatutnya diungkapkan. Ingatkan saranan Rasulullah s.a.w.
“Bicaralah yang baik atau diam sahaja”.
MFKI tentu ingat amanat Nabi ini. Lalu beradab serta berpada-padalah.
Apa perlu FKI dimansuhkan?
Saya tertarik pada komen seorang mahasiswa yang mempersoalkan mengapa perlu FKI dimansuhkan?
Lalu ada yang menjawab sinis.
‘Kerana Mahasiswa FKI telah mencemarkan fakulti sendiri dengan akhlak yang kurang sopan’.
Sampai sekarang saya tertanya-tanya apakah dosa FKI sehingga sewenang-wenangnya mahu dihukum sedemikian rupa. Apakah pula akhlak kurang sopan MFKI yang dimaksudkan pengomentar. Saya cuba membaca dengan akal yang sihat tanpa melayan emosi yang semakin menggeledak. Menimbang-nimbang agar tidak melangkaui batas agama.
Adakah hanya kerana sikap segelintir mahasiswa FKI yang jelek dipandang mata, sampai sanggup manusia-manusia ini memohon sembah derhaka agar FKI dimansuhkan. Sungguh tidak memadai dan tidak masuk akal.
Adakah hanya kerana mahasiswa FKI yang dikatakan tidak hikmah dan tidak menghormati orang lain kerana berpegang pada prinsip agama sehingga kalian mahu pemansuhan FKI sebagai gadaian. Nauzubillahi min zalik!
Apakah kerana dosa keji yang dilakukan oleh sebahagian kecil mahasiswa FKI, sampai kalian sanggup mencalit najis kotor itu ke muka semua mahasiswa FKI. Ini tidak adil. Sungguh tidak adil.
Janganlah kerana seekor nyamuk habis kelambu dibakar. Jangan kerana kita tidak mampu mengawal emosi, kita sanggup mencalit lumpur pada agama sendiri. Jangan kerana akal yang sejengkal ini kita cuba melangkaui syariat. Jangan berani meludah ke langit kelak pasti binasa.
MAHASISWA FKI + (- AKHLAK YANG BURUK + AKHLAK YANG BAIK) = MANSUHKAN FKI
Jangan bermain dengan matematika seperti ini. Jika kita cuba menghukum semudah itu, maka semua fakulti di universiti ini mesti dimansuhkan. Kenapa? Kerana kebanyakan kita adalah beragama Islam tetapi Islam itu terlekat pada nama dan kad pengenalan sahaja. Fakulti apapun kita, selagi mana kita beragamakan Islam, maka tuntutan agama terpikul dibahu kita. Tanyalah diri masing-masing apakah kita sudah berakhlak sebagaimana yang Islam anjurkan. Berpakaian dan menutup aurat seperti yang syariat perintahkan? Memelihara pergaulan antara lelaki dan perempuan? Berakhlak sopan sebagaimana dituntut agama? Tepuklah dada tanyalah iman. JIka anda termakan garam, anda akan terasa masinnya.
Tahukah bahawa jika anda berhajat agar FKI dimansuh ini bermakna anda mahu Islam itu terhapus. Mungkin anda tidak sedar tapi itulah hakikatnya. Anda telah menghina Islam kerana kemuliaan Fakulti Kontemporari Islam terletak pada kalimah Islam itu. Adakah anda mahu Islam dihapuskan? Anda ibarat menggigit lidah sendiri. Jika anda beragama Islam bertaubatlah dan mohon ampunlah kepada Allah swt.
Sesungguhnya dalam masalah ini semua kita terlibat sebagai pelaku kesalahan. Samada mahasiswa FKI atau yang lainnya. Maka ruang muhasabah dan perbincangan secara baik tersedia kepada kita. Bersihkan forum dalam KELIP itu dari ludah kita yang busuk baunya. Jika dihidu mahasiswa bukan Islam bukankah sangat memalukan dan mencemarkan nama kita, orang yang beragam Islam.
Pesan saya kepada Mahasiswa FKI, ayuh kita muhasabah diri, siapa kita sebenarnya. Adakah kita menjadi diri kita yang sebenar? Atau kita menumpang dan meminjam diri orang lain, ataukah kita telah hanyut dibawa arus suasana di universiti lalu kita khayal dengan dadah baru ini. Jadilah diri kita yang sebenar, segagah status yang dibawa, “Mahasiswa Fakulti Kontemporari Islam.”
Terima kasih atas teguran mahasiswa fakulti lain kepada MFKI, sedikit sebanyak teguran anda ibarat mencubit paha kanan, paha kiri terasa. Dan diharapkan kepada mahasiswa FKI janganlah menjadi seperti daun keladi, disimbah air tidak basah.
Saya perlu mengingatkan agar janganlah sekali-kali kita berani berbicara dalam soal agama jika kita masih jahil tentangnya. Jangan pula biadap berkata-kata sehingga memungkinkan kita tercampak ke lembah kebinasaan. Beringat-ingatlah sebelum melakukan sesuatu.
Akhirnya saya mohon ampun kepada Allah dan mohon maaf jika saya salah menulis semua ini. Kerna jika tidak, jiwa saya akan semakin tersiksa. Saya tidak mahu menjadi syaitan bisu yang diibaratkan oleh Baginda. Kudrat saya masih ada untuk menjunjung agama. Tubuh saya masih kuat untuk menjadi benteng mempertahankan Islam. Saya bukan manusia pasif yang tidak punya sensitivity, hati saya masih hidup. Semoga kalian juga begitu.
Wallahu ta'ala ’alam.
Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM
1 ulasan:
syukran ala difa' FKI
Jazakallah
Catat Ulasan