Usai bersolat Asar di Masjid Universiti saya berangkat ke Kuala Terengganu. Rencananya mahu ke kedai buku Jendela Ilmu setelah itu terus ke Masjid Raja, pengajian bersama Syeikh Dr Abdul Manam bin Mohamad Al-Merbawi. Langit sedikit kelam. Sepertinya hujan hendak turun. Saya bergegas, saya harus tiba sebelum 5.30 petang kerana khuatir kedainya tutup.
“Dik, buku Aku Terima Nikahnya edisi istimewa sudah sampai. Nah!” ujar kakak pekerja kedai itu sambil menghulurkan buku tulisan ustaz Saiful Islam ke arah saya.
“Oh ya. Terima kasih saya mahu beli.” Jawab saya.
“Mahu dihadiahkan untuk pengantin?” soal kakak itu.
“Tidak.” Balas saya sambil tersenyum.
“Nanti akak kahwin saya hadiahkan ya.” Tambah saya lagi.
“InshAllah. Tapi lama lagi lah.” Tukasnya malu. Mukanya kemerahan.
Mungkin sudah mendarah daging dalam diri saya untuk ke kedai buku. Ke mana pun hendak pergi mesti akan ke kedai buku. Jika dalam masa seminggu tidak ke kedai buku, terasa semacam mahu demam. Gila! Jika tidak beli. Membelek-belek helaian demi helain pun sudah memadai.
Terus hanyut dengan buku-buku tidak terasa waktu sudah menuju pukul enam. Saatnya untuk saya ke Masjid Raja. Cuaca di luar masih redup. Cahaya mentari sirna dek awan yang berkepul-kepul. Setelah membayar buku-buku saya berlalu.
Memahami Hakikat Tasauf
Dalam banyak-banyak cabang ilmu, jujur saya lebih dekat kepada ilmu Tasauf. Entah sejak bila saya jatuh hati kepada ilmu ini. Sekira-kiranya ketika saya mengaji di Kolej Islam dahulu. Salah satu madah yang wajib diambil oleh pelajar Dakwah adalah madah Tasauf. Ummi saya, al-fadhilah Ustazah Safiah Abdul Razak menjadi pensyarahnya. Seingat saya, tidak pernah sekali saya culas kuliah beliau. Dan saya mewajibkan diri untuk hadir. Jika tidak saya merasa berdosa. Sungguh saban waktu kuliah berlangsung hati saya selalu sahaja menangis. Hati saya selalu tersentuh lalu menjadi khusyuk. Diri terasa dekat dengan Allah. Inilah yang dikatakan ilmu yang bermanfaat dalam pengertian Tasauf, iaitu ilmu yang menyentuh hati dan perasaan, menyedarkan hati agar menjadi khusyuk, yang menambahkan petunjuk sehingga sampai seseorang itu kepada Allah. Lalu inilah yang mungkin ‘memikat’ hati saya.
Sebetulnya tidak begitu. tidak perlu menunggu ilmu Tasauf itu memikat hati atau kita jatuh hati padanya, kerna hakikat ilmu Tasauf itu fardhu ‘ain ke atas setiap mukallaf. Seperti kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Indonesi, dalam kitab Penawar Bagi Hati.
“Dan adapun hukumnya (belajar ilmu Tasauf) maka fardhu ‘ain atas tiap-tiap yang berakal lagi sampai umur.”
Belajar Dengan Al-‘Arifbillah
Pukul 6.20 petang saya tiba di Masjid Raja. Masjid masih lengang dengan orang-orang. Sementara menanti Maghrib saya berniat iktikaf masa masih ada beberapa minit sebelum azan. Ini saatnya saya mengulang hafalan Al-Quran.
Setelah solat Maghrib berjemaah dan solat sunat ba’diah, Ustaz Manam mengambil tempat lalu memulakan bicaranya. Perlahan-lahan saya buka kitab Siyarus Salikin, tulisan jawi sedikit kecil menjadi tumpuan sambil meniti kata-kata beliau.
Setelah solat Maghrib berjemaah dan solat sunat ba’diah, Ustaz Manam mengambil tempat lalu memulakan bicaranya. Perlahan-lahan saya buka kitab Siyarus Salikin, tulisan jawi sedikit kecil menjadi tumpuan sambil meniti kata-kata beliau.
“Menggambarkan tasawuf dengan gambaran akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah semata-mata seperti yang telah dijelaskan, ternyata tidak tepat dan tidak menggambarkan intipati serta gambaran menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud.
“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau"
“Ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian mushahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawuf.” Sayup-sayup suara beliau berbicara menjelaskan hakikat Tasauf. Sekalian yang hadir mendengar dengan saksama ungkapan beliau.
Ternyata benar, Tasawuf seringkali disalahfahami dan dijelaskan secara yang mengelirukan. Gambaran-gambaran yang diberikan terhadap tasawuf adakalanya bersifat menakutkan, sukar atau mustahil dicapai atau menyentuh sudut-sudut tertentu tasawuf itu.
Hal ini selalunya terjadi apabila tasawuf itu dihuraikan oleh orang yang tidak berkeahlian serta tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenainya, atau orang yang sememangnya tidak menyukai tasawuf atau mereka yang terpengaruh dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji tasawuf semata-mata tanpa menyelami dan menghayatinya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri atau orientalis barat.
Antara gambaran yang selalu diberikan kepada tasawuf ialah semata-mata kemuliaan akhlak, tiada yang lain dari itu. Tasawuf juga selalu dikaitkan dengan kezuhudan yang merujuk kepada makna ketiadaan pemilikan atau membuang, menolak serta menjauhkan diri dari perkara-perkara keduniaan.
Tasawuf juga selalu digambarkan sebagai peribadatan lahiriah, iaitu ahli tasawuf itu ialah orang yang menekuni ibadat khusus seperti solat, puasa, qiyam al-lail, zikir dan sebagainya, dan menghabiskan masa dengan ibadat itu sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lain dari itu. Selain itu tasawuf juga sering digambarkan sebagai kecenderungan dan usaha memperolehi kekeramatan yang merujuk kepada pengertian kejadian luar biasa.
Menggambarkan tasawuf seperti ini ternyata tidak tepat dan mengelirukan!
Hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah.
Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.
“Berkata Syeikh `Abd Al-Qadir Al-Jilani, bahwa Tasawuf itu ialah pembersihan hati (tasfiyah) dari sesuatu yang lain dari Allah. Menurut beliau, tasawuf itu diambil dari perkataan safa (musafat) iaitu bermaksud orang yang Allah bersihkan batinnya.” Tambah Syeikh Merbawi lagi.
Tasauf itu adalah ilmu pengetahuan yang berbicara hakikat kelakuan hati, samada bersifat Mahmuda (terpuji) seperti rendah diri dan sabar atau sifat Mazmumah (tercela) seperti dengki dan membesar diri atau sombong.
Sesungguhnya ilmu Tasauf itu menyampaikan seseorang kepada kekhyusukan hati, sehingga di hatinya tidak ada yang lain selain Allah kerana hatinya dihiasi dengan pandangan kepada Allah semata. Kerana kata Syeikh Indonesi, sumber ilmu Tasauf adalah daripada Al-Quran Al-Karim dan Al-Sunnah Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam.
Inilah hakikat ilmu Tasauf yang mesti difahami. ‘Tarbiyatul Qulb’, mendidik hati, ‘Tazkiyatul Qulb’, membersihkan hati. ‘Tajdidul Qulb’, memperbaharui hati sehinggalah hati itu benar-benar terikat dengan Allah. Maka sangat perlu untuk kita mempelajari ilmu Tasauf.
Beliau meneruskan bicara pada kitab Siyarus Salikin.
“Kata Al-‘Arifbillah Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani. Tiada baik hati itu melainkan dengan belajar ilmu yang memberi manfaat seperti ilmu yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali rahimahullahu ta’ala di dalam Bidayah Al-Hidayah dan di dalam Minhaj Al-Abidin dan di dalam Ihya’ Ulum Al-Din dan seperti yang tersebut di dalam kitab yang fakir terjemahkan ini (Siyarus Salikin) dan lainya seperti segala ilmu Tasauf dan seperti yang tersebut di dalam kitab Nafahaat Al-Uluhiyyah fi Suluki Thoriqati Al-Muhammadiyyah karangan Syeikh Sayyid Muhammad Samaan Waliyullah.”
Hati terus tenggelam bersama lautan HIKAM yang dibicarakan beliau.
Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya’
Masjid Raja, KT
3 Muharram 1432H
Catatan:
*Orang yang tidak makan GULA dia tidak akan merasa MANIS nya!
0 ulasan:
Catat Ulasan