Sore itu cuaca tampak redup, bersama udara yang bertiup mengigit-gigit pada celah kulit. Dingin. Sayup-sayup terdengar suara azan dari masjid universiti, menandakan waktu Maghrib sudah menjengah. Saya bersiap untuk keluar. Lepas solat maghrib saya harus ke Surau Muhajirin, menadah kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor. Sewaktu hendak melangkah keluar saya disapa seorang teman.
“Akhi, mahu ke mana?” tanyanya.
“Mahu pergi mengaji. Yuk ikut sekali!” tukas saya.
“Maaf tidak bisa. Lain kali sahaja. Selamat ya!” balasnya.
Ah, ternyata tidak semua orang yang dibukakan pintu hatinya untuk mencari ilmu. Sungguh sesiapa yang diinginkan Allah untukknya kebaikan, pasti dia diberikan kefahaman dalam hal-hal agama. Dan saya, jika tidak kerana taufiq dan petunjuk daripadaNya pasti mahu berdenyut pun tidak bisa.
Teringat pesan guru saya sewaktu di Kolej Islam dahulu. Kata Ustaz Fauzi Azmi, ‘Jika mahu dapatkan ilmu tidak cukup di kampus, perlu keluar untuk menuntut dengan guru-guru yang alim.’
Pernah sekali saya ditegur oleh Ustaz Shahrul Nizam. Saya masih ingat kata-katanya, ‘Kalau ada cuti, jangan balik. Pergi cari ilmu. Cari guru untuk menadah kitab. Pergi belajar. Ini adalah waktu enta sedang menuntut ilmu. Bukan bersenang lenang membuang masa.’
Ternyata kata-kata itu terus-terusan membekas di hati, lalu itulah yang saya pegang selama ini. Ilmu di bilik-bilik kuliah tidak selamanya akan melahirkan ‘orang ‘alim’ kerana sistem yang tidak kemas. Mungkin ada tapi tidak semua. Maka sebagai tambahan dan penguat ianya perlu diisi dengan belajar langsung daripada ‘pewaris nabi’, mereka yang mengerti hal-hal agama.
Waktu ini adalah waktu untuk kita memperkemaskan diri dengan ilmu dan kefahaman!
Pencandu ILMU
“Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang cinta ilmu dan janganlah kamu jadi orang yang kelima (tidak termasuk dalam kalangan yang empat tersebut).”
Saya mengenal teman-teman yang selalu bersama-sama bersungguh mencari ilmu. Dan saya banyak belajar daripada kesungguhan mereka. Saiful, Azren, Hafiz, Kwe, Mustaqim, Zubir, mereka bisa saya gelarkan sebagai ‘Pencari Ilmu’. Hujan diredah hanya kerana setitik ilmu Tuhan. Panas ditempuh demi kerana petunjukNya. Dingin subuh ditanggung asal bisa menjamu sarapan lazat batiniyyah. Semua kerana ilmu. Dari kitab rumi, jawi hingga kitab arab. Dari kita kecil kepada kitab yang lebih besar. Dari pengajian Fekah, Tauhid, Tasauf, Hadis, Tafsir hingga ke permasalahan agama. Dari helaian demi helaian. Dari seorang guru ke seorang guru. Dari satu tempat ke satu tempat lain menjejak warisan ilmu. Berkejar-kejar demi mendamba gelaran mulia itu, ‘Pewaris Nabi’.
Segala perbualan dan perbicaraan terisi dengan ilmu. Kami bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Kami berkongsi ilmu dan pengalaman. Kami berkongsi kitab dan pembacaan. Masing-masing memiliki ghirah terhadap ilmu dan menjadi penuntutnya.
“Abe adokoh kitab Furu’ Al-Masa’il? Molek abe nok kemah hujah.” Usul junior saya, Muaz namanya. Dia orang Kelantan.
Warisan Ilmu Daripada Keturunan Nabi
Usai mengimamkn solat Maghrib di Surau Thariq saya terus ke Surau Muhajirin. Hujan yang turun rintik-rintik menyengat kedinginan pada segenap tubuh. Ketika saya sampai di Surau Muhajirin orang ramai sudah memenuhi ruang surau menanti kuliah bermula.
“Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.” Ustaz Tirmizi memula bicara.
Mata terus tertumpu pada tulisan jawi Fatwa Mufti Johor, Sayyid Alwi bin Thahir Al-Haddad. Beliau adalah manta Mufti Kerajaan Johor pada tahun 1936 hingga 1961. Nama lengkapnya ialah Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir Al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Sayidatina Fatimah binti Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/ 7 Ogos 1884 M.
Jika berbicara tentang sesuatu persoalan, beliau memaparkan segala seginya dan menguatkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli. Beliau seorang yang memiliki ghirah (kecemburuan) terhadap Islam dan menjadi pembelanya. Di samping itu, beliau juga pembela keluarga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
“Seorang beragama Islam samaada lelaki atau perempuan berzina dengan seorang yang tidak beragama Islam kemudian dapat anak, bagaimanakah kedudukan anak itu di sisi agama mereka?”
Mata masih tertumpu pada tulisan jawi itu, sambil mendengar ustaz Tirmzi berbicara.
“Anak zina samaada dari perempuan Islam atau perempuan kafir tidak ada nasabnya tidak berbapa, jika perempuan zina itu perempuan Islam maka anak daripada zina itu Islam dan jika perempuan kafir maka anaknya mengikut kafir, dosanya tertanggung atas lelaki yang berzina.”
Demikian apa yang dijawab oleh Syeik Alawi. Saya terus hanyut bersama mutiara ilmu warisan keturunan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang mulia itu.
Selesai solat Isyak saya menyalami ‘Syeikh Mizi’. Meskipun masih muda, namun kedalaman ilmu agamanya membuat teman-teman memanggilnya ‘Syeikh’. Kerendahan hati dan komitmennya yang tinggi membela kebenaran membuat dirinya dicintai dan dihormati semua orang yang mengenalnya.
“Enta tak balik cuti ni?” tanya ustaz ramah dengan senyuman menghiasi wajahnya yang bersih. Janggutnya tertata rapi. Saya tatap wajah beliau sesaat, hati jadi tenang.
“Tidak ustaz.” Jawab saya datar.
“Enta nak ngaji kitab. Kalau nak nanti enta call ana. Nanti ana uruskan.” Lanjut beliau.
“InshAllah boleh. Nanti ana call ustaz.” Balas saya sambil tersenyum.
Qawaid Tafsir
Sewaktu hendak menghidupkan motor, tiba-tiba handphone berbunyi. Ada pesanan daripada Saiful.
‘Salam. Ngaji kat blok FKI.’
‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah.’ Saya bergegas pulang ke kampus meredah hujan yang terus turun membasahi bumi.
Ketika saya sampai Saiful dan Azren sudah pun berada di bilik pensyarah itu. Ustaz Fauzi. Pelajar Phd universiti di Riyad. Beliau baru pulang dari sana. Katanya sedang bercuti. Saya tidak mengenalinya dan ini pertama kali bertemu dengan beliau. Ternyata Ustaz Fauzi orangnya peramah. Sementara menanti pengajian kami sempat berkenal-kenalan. Lebih mengujakan saya, beliau kenal dengan guru-guru saya di Pahang antara Ustaz Asjad dan Ustaz Zuridan. Dan mungkin itu yang membuatkan kami mudah mesra.
“InshAllah kita akan baca kitab Syarah Al-Qawaid Al-Hasanah Fi Tafsir Al-Quran.” Ustaz Fauzi memula bicara.
Dari satu lebaran ke satu lebaran kami meneliti perbahasan Qawaid Tafsir, tidak terasa masa sudah menuju pukul 12.15 am.
“Nak sambung lagi Syeikh.” Soal ustaz pada saya.
“Terpulang ustaz, ana ikut majoriti.” Balas saya datar. Jujur, saya juga merasa letih dan mengantuk. Menanti jawapan dari Saiful dan Azren samaada mahu meneruskan atau tidak.
“Sambung mula la ustaz.” Jawab Azren.
“Nak makan lagi.” Saiful menambah.
Saya pandang wajah ustaz, sekilas beliau tersenyum. Seolah-olah mengisyaratkan sesuatu kepada kami. Tapi kami tidak membaca secara tepat bahasa badannya.
“Ok. Kita sambung mula.” Jawab belaiu sambil tergelak. Mungkin terasa lucu melihat keadaan kami yang tampak ketara letihnya.
Pukul 2.00 am saya sampai di bilik. Badan terasa sangat letih. Satu hari melakukan perjalanan menumpuh hujan. Pagi pergi-balik universiti-Marang. Lepas Mahgrib universiti-Batu Rakit. Selepas bersalin pakaian saya rebahkan diri sambil menikmati suara Syeikh Syathiri mengalunkan Al-Quran dengan indah.
Oh, hidup ini. Bukankah usia muda ini nanti akan disoal oleh Allah Azza wa Jala, untuk apa dihabiskan? Jika tidak ingat semua itu, duduk santai di bilik sambil mendengar lagu, menonton wayang gambar, bermain game, bermain FB. Atau mengikut trend anak muda kala ini, berchatting, berPACAR-PACARAN, bergaul bebas, berdua-duan, bertelefon hingga larut malam, bersembang perkara yang melalaikan. Ah, jika tidak memikirkan bahawa kelak semua itu akan dipertontonkan di hari Penghakiman kelak dihadapan seluruh manusia. Alangkah malunya saat itu.
Kelak nanti di akhirat manusia baru menyesal. Meraka akan merayu, ‘Wahai Tuhan Kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, nescaya kami akan berbuat amal kebajikan. Sungguh kami telah menyakini janji balasanmu.’
Dan waktu itu tidak ada lagi penyesalan buat umat manusia. Yang ingkar akan dihumban ke neraka Jahanam. Lalu dikatakan kepada mereka, ‘Maka rasakanlah olehmu azab ini kerana kamu melalaikan pertemuan hari ini, sesungguhnya Kami pun melupakan kamu dan rasakanlah azab yang kekal atas apa yang telah kamu kerjakan.’
Mendengar Syeikh Syathiri mengalunkan al-Quran dengan indah, terasa seolah-olah Allah berbicara pada saya. saya terus lena bersama air mata yang gugur membashi pipi.
Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
28 Zulhijjah 1431H
1 ulasan:
Mata masih tertumpu pada tulisan jawi.
Catat Ulasan