AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


If Your Not The ‘ONE’


Sore itu langit bersinar keemasan. Perlahan-lahan bertukar kemerahan. Matahari benar-benar pada hujung usia siang. Ombak yang menari-nari ditiup angin menyapa damai. Merenung tajam fenomena alam yang hebat itu dia bertasbih, “Subhanallah! Maha Suci Allah Dari Segala Kekurangan.” 

Alam bertasbih dengan keindahannya. Alam bertasbih dengan keteraturannya. Alam bertasbih dengan pesonanya. Segala keindahan, keterlaluan dan pesona alam bertasbih, menjelaskan keagungan Sang Pencipta. Bertasbih, menyucikan Tuhan dari sifat kekurangan. Keindahan senja sore itu menjelaskan kepada siapa saja yang menyaksikan bahawa Tuhan yang menciptakan senja yang luar biasa indah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Sempurna IlmuNya.

Siang, malam, senja dan pagi bertasbih. Matahari, udara, laut, dan ombak bertasbih. Semua benda yang ada di alam ini bertasbih, menyucikan asma Allah. Dengan sinarnya, matahari bertasbih di peredarannya. Dengan hembusannya, udara bertasbih di alirannya. Dengan gelombangnya, ombak bertasbih di jalannya. Semua telah tahu bagaimana cara menunjukkan tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Kuasa.

Allah subhanahu wa ta’ala adalah Maha Esa pada zat, sifat dan perbuatanNya. Esa pada Zat bermaksud, Zat Allah tidak berdiri dari beberapa juzuk dan tiada sekutu bagi Allah dalam kerajaanNya.

Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang kekuasaanNya Mengatasi segala-galanya
 (Az-Zumar: 4)

Allah Esa pada sifatNya bererti tidak ada sesuatupun yang menyerupai sifat-sifat Allah. Sedang Esa pada perbuatanNya pula membawa faham bahwa selain dari Allah tidak mempunyai apa-apa perbuatan pun. Allah sahajalah yang menjadikan setiap perkara dan menciptakan segalanya. Dia bersendirian dalam menjadi dan menciptakan.

Keteraturan alam semesta, langit yang terbentang tanpa tiang, pergantian siang dan malam, lautan luas membentang, gunung-gunung yang menjulang, awan yang membawa air hujan, air yang menumbuhkan tanam-tanaman, proses penciptaan manusia sembilan bulan di dalam rahim, binatang-binatang yang melatah di muka bumi, itu semua menjadi bukti bahawa ada Zat Yang Maha Kuasa dan Maha Sempurna. Zat yang kekuasaanNya tiada batasan. Zat yang menciptakan itu semua. Dan Zat itu adalah Tuhan Penguasa alam semesta. Dan jelas Tuhan itu hanya boleh satu adanya. Tidak mungkin dua, tiga dan seterusnya. Tidak mungkin.

Sebab, jika Tuhan itu lebih dari satu pastilah terjadi kerosakan di alam ini. kerana masing-masing merasa Ia paling berkuasa. Masing-masing akan memaksakan keinginanNya. Mereka akan berselisih faham. Misalnya yang satu mengkehendaki matahari terbit dari Timur, sementara yang satu mengkehendaki matahari terbit dari Barat. Terjadilah perbalahan dan perselisihan. Maka rosaklah alam.

Tapi hakikatnya, ternyata matahari terbit dari Timur dan tenggelam di Barat dengan sangat teratur. Matahari tidak pernah terlambat terbit. Matahari juga tidak pernah bermain-main, berlari-lari ke sana kemari di langit seperti anak kecil bermain bola atau main sorok-sorok. Ia beredar di jalan yang ditetapkan Tuhan untuknya. Dan selalu tenggelam di ufuk Barat tepat pada waktunya. Aturan ini membuktikan Tuhan Yang Menciptakan alam semesta ini adalah satu, iaitu Allah ‘Azza wa Jalla, Tuhan Yang Maha Kuasa.

Tuhan menciptakan alam semesta ini, tidak terbatas kekuasanNya itu memang tidak mungkin berjumlah dari satu. Sebab seandainya Tuhan lebih daripada satu, lalu mereka bersepakat menciptakan matahari misalnya, maka kemungkinan Tuhan-tuhan itu bekerjasama menciptakan matahari. Matahari diciptakan dengan saling bekerjasama. Jika demikian, telah jelas mereka bukanlah Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebab mereka lemah. Bagaimana tidak. Untuk menciptakan matahari sahaja mereka harus bekerjasama. Tidak boleh menciptakan sendiri. kekuasaanNya tidak mutlak. Yang terbatas kuasanya bererti lemah dan tidak layak disebut sebagai Tuhan. Serupa makhluk yang berhajat kepada sesuatu. Sedang Allah tidak berhajat pada apapun kerana kekuasanNya yang tidak terbatas.

Jika tuhan itu lebih dari satu, kemungkinan terjadi pembahagian tugas. Ada yang bertugas menciptakan matahari, ada yang bertugas menciptakan bumi, ada yang bertugas menciptakan langit dan seterusnya. Jika demikian, mereka bukan Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebab pembahagian tugas menunjukkan kelemahan dan ketidakmahakuasaan. Tuhan yang sebenarnya adalah Tuhan Yang menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaanNya yang sempurna. Tuhan yang ilmuNya meliputi segala sesuatu. Dan yang memiliki sifat Maha Sempurna seperti itu hanya ada satu, iaitu Allah. Dialah Tuhan yang sebenarnya. Sebab tidak ada yang mengistiharkan diri sebagai pencipta alam ini kecuali hanya Allah subhanahu wa Ta’ala.

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan Yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. maka (bertauhidlah kamu kepada Allah Dengan menegaskan): Maha suci Allah, Tuhan Yang mempunyai Arasy, dari apa Yang mereka sifatkan.
(Al-Anbiya’: 22)

Dia masih menatap ke arah laut. Matahari masih satu jengkal di atas laut. Sebentar ia akan tenggelam. Cahaya matahari seperti masuk ke dalam laut yang perlahan-lahan menjadi gelap. Siang seolah-olah masuk ke dalam perut malam. Matahari hilang tenggelam. Lalu perlahan bulan datang. Subhanallah!

Siapakah yang mengatur semua ini?

Allah Yang Maha Esa!

“Salam Ma’al Hijrah 1432 H”

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Pondok Baqiatussalihat
3 Muharram 1432H

Catatan:
*Dalam kaedah tulisan melayu lama, AHAD itu diterjemahkan dengan ESA tidak SATU. Kerana jika diterjemah kepada SATU bermakna ia bermula dengan ‘0’ dan berakhir dengan DUA. Iaitu didahului dengan ada dan diakhiri dengan kesudahan, sedang Allah itu, Dialah Yang Awal dan Dialah Yang Akhir. Bermaksud Allah yang terawal wujud sebelum wujudnya makhluk-makhluk, tiada permulaan bagi ada-Nya atau tidak didahului dengan tiada. Allah juga yang paling akhir dan akan terus kekal selepas segala-galanya musnah dan fana. Tiada kesudahan atau penghujung bagi adaNya. Dia kekal selama-lamanya tanpa penghujung. Dialah tuhan yang azali dan abadi, tidak didahului dengan tiada dan tidak akan fana selama-lamanya. Kerana Allah adalah zat yang wajib wujudNya, ‘Waajibul Wujud’. (Dalil Al-Hadid: 3)

*ONE itu baca dengan ESA ya!

0 ulasan: