“Penipu...penipu...kau penipu!”
Hati saya terasa sakit tatkala kalimat itu ditujukan ke dalam diri. Sakit batin berat untuk diubati. Anda bisa rasai apa yang saya rasa. Cuba bayangkan anda berada ditempat saya.
“Awak pembohong!” laungan itu ditujukan kepada anda. Apa rasa anda. Mungkin sama seperti saya. Maka anda telah merasainya.
Saya pembohong? Soal saya berkali-kali pada diri. Kalimah itu tidak dilontarkan oleh siapa-siapa. Bukan musuh yang membenci jauh sekali rakan yang mendekati. Kalimat itu tiba-tiba terbit dalam hati. Hati berbisik ke dalam hati.
Setiap kalangan kita berhajat menduduki syurga Allah kelak, bahkan begitu gentar kepada nerakaNYA.
Tanyalah kepada manusia manapun, yang beragama Islam mahupun yang kafir.
Tanyalah kepada siapa pun, yang kaki masjid, para ilmuan, artis, peminum arak dan penzina, dan segala macam jenis manusia di bumi ini.
Tanyakanlah mereka ingin masuk SYURGA atau NERAKA.
Atau tanyakan saja pada diri anda sendiri. Diri kita masing-masing.
Saya, anda dan kita semua tidak mengira rupa dan asal, semua berhajat untuk ke destinasi bahagia yang abadi itu. SYURGA. Lalu apa kurangnya pada diri. Sebentar!
Teliti kata-kata Imam Al-Ghazali.
“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”
Rupanya ramai kalangan kita menjadi penipu, menipu diri sendiri. Bukankah membohongi diri sendiri itu keji namanya. Mengaku mencintai SYURGA, walhal hidup dipenuhi dosa dan noda. Sebesar mana nilai amalan yang telah kita persembahkan kepada Al-Khaliq? Dalam ketaatan kepada Tuhan, kita cemari dengan maksiat yang berpanjangan. Maksiat lahiriah, tentunya bertimbunan. Maksiat batiniah (maksiat hati) tentu tidak terkirakan. Nau’zubillah.
Sedarlah diri!
Insaflah diri!
Kau telah jauh dari jalanya. Kembali kepadanya dengan penuh kerendahan. Bahawa kau hanyalah seorang insan bergelar hamba. Sudahlah membohongi diri, kelak binasa yang dinikmati. SYURGA bukan semudah yang diingini. Namun NERAKA senang dirasai. Sedikit tersasar dari jalanNYA, binasa tak berkesudahan.
Lalu bertanyalah pada diri.
“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”
Aku bukan PEMBOHONG!
Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
Sore, 3 Zulhijjah 1431H
1 ulasan:
salam..
alhamdulillah, entri ini telah menyedarkan saya. Syukran atas tulisan ini. saudara,ucaplah alhamdulillah kerana tulisan saudara bisa menjadi muhasabah kepada sahabat yang lain.inilah adalah datangnya daripada Illahi
Catat Ulasan