AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Tangisku Bukan Tidak Redha



Di tengah malam yang bening. Sang hamba bangkit menghadap Tuhannya. Tuhan yang telah memberinya segala macam nikmat yang tidak mampu terhitungkan. Tuhan yang tidak akan pernah jemu memberi. Tuhan yang mempunyai sifat belas dan kasih terhadap hambaNya. Dengan apa jua keadaan pun, Dia pasti memberinya. Dengan cara apapun. Terkadang diberinya kita nikmat. Diberinya kita kemudahan pada setiap kerja dan urusan. DiberiNya harta yang melimpah. Diberinya ilmu pengetahuan. Diberinya kesihatan. Diberi juga ujian kesakitan. Ujian kesakitan?

Ah! Ujian kesakitan itu kan tanda kasihNya Allah.

Bukankah jika Allah mencintai hambaNya itu maka akan diujiNya. Sedang saya. Apakah saya bisa merasakan itu semua? Ujian yang bertimpa-timpa. Kasihkah Allah? Cintakah Allah? Saya masih tidak bisa mengunkapkannya secara tuntas.
Saya yang masih bertarung dengan kesakitan yang tidak tertahankan, merayu dan menyeruMu wahai Tuhan!

“Sakit ya Allah. Sakit! Ampunkan hamba ya Allah.” Hanya kalimah-kalimah itu yang bisa terbit. Suara, seruan seorang hamba yang diujiNya dengan kesihatan. Cintakah Allah?

Saya hampir tidak bisa menanggungnya. Saya bersujud dan menangis terisak-isak di atas sejadah cinta. Saya lepaskan segala pengaduan derita pada Dia yang tidak pernah meninggalkan saya walaupun sesaat cuma. Dia, Tuhan yang tidak pernah berada jauh daripada hambaNya.

“Ya Allah! aku hanya hambaMu yang kerdil lagi hina. Aku tidak bisa berbuat apapun kecuali mengharap hanya kepadaMu. Jika aku menangis, bukan kerana aku tidak redha dengan takdir dan ketentuanMu, bukan kerana aku terluka dengan ujianMu, bukan juga kerana aku berkecil hati denganMu. Sedang aku hanya seorang hambaMu yang lemah. Yang tidak punya apapun selain tangisan dan air mata, yang menemani setiap duka dan sakitku. Ku persembahkan air mata ini kerana cintaku kepadaMu ya Allah!"

"Ya Allah! Tangis ini adalah pengubat dukaku. Air mata ini adalah teman yang paling memahami akan diriku. Aku hanyalah seorang hamba yang lelah dalam perjalananku ini. Aku sangat penat ya Allah, penat memujuk hatiku. Penat untuk menangisi segalanya daripadaMu. Ampunkanlah aku ya Allah jika aku tidak beradab denganMu. Jika aku ini hambaMu yang tidak tahu berbudi dan tidak pandai bersyukur padaMu."

"Ya Allah, jadikanlah kesusahan dan ujian ini sebagai tarbiyah untuk aku lebih akrab denganMu, lebih mengharap padaMu dan lebih memerlukanMu pada segenap waktu dan ketika. Janganlah derita dan kesakitan ini membuatkan aku jauh daripadaMu."

"Aku redha ya Allah dengan tadirMu ini. Aku terima dugaan ini dengan sepenuh jiwa dan ragaku! Aku tidak pernah bersangka buruk padaMu, apatah lagi merungut-rungut akan jalan yang Kau bentangkan untukku. Jika di dunia ini terlalu banyak tangisan untukku, andai di dunia ini begitu banyak derita buatku, andai di dunia ini tiada bahagian untukku, Kau gantilah segalanya itu dengan keindahan syurgaMu di sana."

"Ya Allah..Aku tahu, Engkau tak pernah lupa padaku, maka jangan jadikan aku lupa padaMU."
"Ya Allah, aku ingin selalu bersamaMu. Selalu mengingatiMu. Aku rindu bertemu denganMu. Hamba redha ya Allah."

Sungguh terasa Dia begitu dekat, sangat dekat daripada urat leher dan jantung. Lebih dekat daripada nadi. Hati terasa damai, tenang dan tenteram, diusap dan dibelai oleh cintanya Ar-Rahman.

“Aku menangis. Dan aku mahu terus menangis!”


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

"Eid Mubarak. Taqabbalallah minna wa minkum!"

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
12 Zulhijjah 1431H

0 ulasan: