Malam yang bening bersama titik hujan yang menyirami bumi melahirkan rasa dingin pada segenap tubuh. Terus lena bersama mimpi indah sambil dibelai-belai udara sejuk lebih menyenangkan daripada bangkit untuk bersolat malam. Seruan yang suci di tengah malam, “Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?”.
Ah! Panggilan-panggilan itu hanya mampu menggugah dan menggerakkan hati-hati yang benar-benar tebal imannya. Yang memiliki tekad beribadah sesempurna mungkin dalam segala musim dan keadaan.
Bagi seorang mukmin, malam adalah saat kehidupan yang sangat dirindukan bak malam pengantin. Di sanalah seorang mukmin menjumpai sang Kekasihnya, Allah subhanahu wa ta’ala, berkhalwat denganNya. Dan dengan cara seperti itu pulalah Rasulullah dan para sahabat menghabiskan malamnya.
Para Sahabat Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam itu di ibaratkan seperti Ruhbanun fi al-Lail wa fursanun fi an-Nahar. ‘Singa di siang hari dan menjadi abid di malam hari’. Sabda baginda, “Abdullah Bin Umar itu sangat baik orangnya, apakah lagi kalau beliau bangkit sembahyang di waktu malam.” Imam As-Syafie dikatakan tidur hanya sekitar tiga jam, Imam Mujahid seorang mufassir mutaqaddim menghabiskan waktu malamnya dengan bersolat dua rakaat sahaja kerana sujudnya yang panjang, sehingga dikatakan beliau meninggal dalam keadaan sujud. Wallahu’alam.
Saya bangkit membersihkan diri dan melakukan solat malam. Bersama sebuah pengharapan agar Dia selalu melimpakan keredhaan dan kasih sayangNya. Bermunajat dan berdoa setulus jiwa. Menagih maghfirah dan ampunanNya. Dalam sebuah hadis disebutkan, pada sepertiga malam terakhir, Allah turun ke langit bumi. Saat itulah waktu yang sangat mustajab bagi doa.
Selain tempat munajat, shalat malam adalah madrasah ruhiyah, agar seorang mukmin memiliki benteng dalam menghadapi berbagai ujian dan cobaan serta ganguan keduniawian. Disinilah jiwa dilatih untuk selalu terikat dengan Rabbnya. Malam adalah sumber kekuatan jiwa, tenaga baru bagi kalbu, saat indah untuk ibadah, serta tangga terdekat dalam taqarrub kepada Allah.
Berguru Dengan ‘Syeikh Muda’
Subuh semakin hampir, saya bersiap-siap hendak ke Surau Muhajirin menadah kitab Al-Kabaa’ir dengan ustaz Ahmad Tirmizi Taha. Seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin, beliau saya anggap guru yang mursyid dan tawadduk. Dikalangan teman-teman pensyarah beliau digelar ‘Syeikh’ kerana kealimannya dalam bidang ilmu terutamanya ilmu fekah. Selain kitab Al-Kabaa’ir, saya juga mengaji kitab Bulughul Maram, Fatwa Mufti Johor, Faridah Faraid, Fati Faridah dan kitab Riadhus Sholihin.
Pagi ini, cuaca tampak sedikit redup. Matahari diufuk timur seakan malu menyimbah sinarnya pada sang bumi. Suasana tenang damai. Tidak kedengaran suara-suara riuh mahasiswa kampus yang acap kali menghiasi hari-hari di sini. Hari cuti memang seperti ini. Mahasiswa lebih selesa untuk duduk istirehat di dalam bilik. Atau ada yang masih lena bersama mimpi.
Dalam keadaan cuti seperti ini, saya sendiri sebenarnya terkadang malas untuk keluar. Tetapi memikirkan bahawa keberadaan saya di sini adalah amanah. Dan amanah akan dipertanggungjawabkan kelak. Memikirkan bahawa masa muda yang sedang saya jalani ini akan dipertanyakan nanti. Memikirkan bahawa tidak semua orang diberi nikmat menuntut ilmu. Memikirkan bahawa saya datang ke sini membawa segunung harapan ibu dan ayah. Memikirkan bahawa jadual adalah janji yang mesti ditepati. Jika tidak memikirkan itu semua, duduk di bilik saja lalu tidur santai menyalakan kipas tentu nyaman sekali.
Saya lihat jadual. Jumaat. Kuliah di Masjid Rusila. Mengaji kitab Fathul Mu’in di Masjid Terapung. Pukul lima petang, menadah kitab Fathul Mu’in dan tafsir di Surau Tok Jering. Malamnya kuliah Kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor di Surau Muhajirin.
Dengan tekad yang bulat, setelah mengusir segala perasaan malas, saya bersiap untuk keluar. Saya ambil kitab-kitab dan memasukkan ke dalam beg sandang.
‘Akhi hati-hati. Allahu yubarik fik.’ Ujar Firdaus serak.
‘InshaAllah. Wa iyyaka.’ Balas saya sambil melangkah keluar perlahan-lahan.
‘Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allah’
Setelah memanaskan enjin motor saya terus pergi. Perjalanan ke Marang memakan masa 30 minit. Jam pada telefon bimbit Sony Ericsson saya sudah menunjukkan pukul 8.13 pagi. Saya harus tiba di sana sebelum pukul sembilan.
Menadah Kitab Bersama Ulamak Haraki
Pukul 8.50 pagi saya sampai di Masjid Rusila yang terletak di sebuah kampung di jajaran pantai Laut Cina Selatanm di tengah perjalanan darat Marang-Kuala Terengganu. Rusila, dengan imej kampung nelayan yang damai mula menjadi tempat perkelahan ilmu, hari Jumaat di perkampungan itu begitu meriah dan begitu ‘festive’. Puluhan ribu berhimpun bukan sekadar menadah kitab daripada sang ‘Muallim’ tetapi juga menjadi pasar mingguan dengan seribu satu barang diperniagakan. Masjid kayu dengan latar belakang perkampungan nelayan mula bertambah besar dan menjadi kompleks pendidikan dengan tertubuhnya Maahad Darul Quran pada tahun 1986. Kini maahad ini menampung lebih seribu pelajar yang datang dari seluruh negara.
Jalan sedikit sesak dengan kenderaan. Orang-orang lalu lalang sekitar jalan, sementara menanti kuliah bermula. Jumaat merupakan hari minggu di sini. Dan biasa hari minggu diisi dengan kuliah ilmu. Jumaat adalah hari ilmu. Di rumah-rumah Allah terisi dengan majlis ilmu, di merata tempat. Hanya tinggal memilih sahaja mahu ke mana. Bagi yang cintakan ilmu, maka Jumaat menjadi hari raya. Hari raya buat pencinta ilmu. Tapi sayang tidak semua yang merebut kesempatan ini. Hanya mereka yang benar-benar mencintai ilmu sahaja yang bisa tergugah dan tergerak hatinya untuk pergi. Mereka yang benar-benar dahagakan petunjuk dan rahmat Allah pada setiap waktu dan ketika. Orang-orang yang Allah mengkehendaki untuknya kebaikan, lalu Allah memberikan kepadanya kelapangan untuk mencari ilmu dan diberi padanya kefahaman dalam hal-hal agama.
Saya terus melangkah memasuki masjid Rusila. Puluhan orang sudah memenuhi ruang masjid menanti kuliah bermula. Saya letakkan beg sandang berwarna coklat di tepi tiang dekat saya berdiri. Saya solat tahiyyatul masjid dua rakaat sambil berniat untuk iktikaf. Dalam solat terasa Allah mengusap-ngusap dengan kasih sayangNya. Dia terasa sangat dekat, lebih dekat daripada urat leher. Hati terasa tenang tenteram.
Selesai solat saya beranjak duduk ke hadapan berhampiran tempat ceramah. Beberapa ketika suara pintu dibuka. Saya memandang ke arah pintu yang hanya dua meter di hadapan.
“Assalamu’alaikum.” Hati saya berdesir keras. Dengan suara serak, suara itu sangat istimewa.
Subahanallah!
Lelaki yang berada di hadapan saya dengan jubah kuning, dia adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Seorang murabbi, ideolouge, pemimpin, dan ulamak haraki yang penuh karismatik. Beliau merupakan seorang tokoh besar dalam politik dan dakwah di negara ini. Namanya terukir besar pada lembaran sejarah kebangkitan Islam di Malaysia pada penghujung dekad 70an dan 80an. Beliau bahkan telah diangkat menjadi ikon peserta kebangkitan Islam di negara ini sehingga situasi itu digelar sebagai fenomena Haji Hadi, ceramah dan kuliahnya mencecah ribuan pendengar. Aktiviti pembinaan kader dakwah juga berjalan rancak pada dekad 80an dengan beliau menjadi tenaga pengisian utama.
Tuan Guru adalah tokoh muda yang muncul di awal dekad 80an dengan imej berjubah dan berserban sebagai cerminan ulamak muda yang mengakar dengan sunnah, telah menyimbah marak api kebangkitan Islam yang fenomenanya bersifat global.
Saya selusuri wajah tuanya. Dia seakan tersenyum pada saya. Hati terasa dingin sekali. Dengan tenang dia melangkah mengambil tempat lalu memulai kuliah. Sekalian yang hadir memandang tepat ke arahnya. Perbicaraan bermula. Mata saya tertumpu pada tulisan jawi yang membicarakan tentang Asma’ Al-Husna sambil mendengar dengan saksama kalimat-kalimat yang diungkapkan beliau. Bermula dengan perbahasan aqidah dengan kitab Beriman Kepada Allah, yang dikarangnya sendiri. Kemudian disambung pula pada membicarakan hadis pada kitab Riadhus Sholihin dan tafsir Surah Al-Waaqi’ah, Tafsir Al-Munir tulisan Dr. Wahbah Al-Zuhaily menjadi rujukan saya. Tenggelam dalam lautan khazanah ilmu seorang ulamak. Hati menjadi khusyuk meniti setiap bicara yang terungkap pada belahan bibirnya. Nikmat!
Setelah selesai kuliah, saya menyalami dan menyium tangannya dengan takzim. Di dalam hati saya berdoa semoga saya memperolehi berkatnya. Senyum menghiasi wajahnya yang bersih. Janggut putihnya tertata rapi. Saya tatap wajah beliau sesaat. Hati saya tenang.
Berbicara Bersama ‘Fathul Mu’in’
Waktu sudah hampir telat. Saya perlu segera ke masjid Sultanah Zahirah atau sinonimnya masjid Terapung. Jaraknya tidak jauh dari masjid Rusila sekitar 10 minit.
Di luar masjid, cuaca kelam dan awan-awan di langit bertompok-tompok. Hari mahu hujan. Cepat-cepat saya ayunkan kaki menuju parking motor dan terus pergi.
Sewaktu saya tiba di Masjid Terapung, kedengaran suara Ustaz Halim berbicara. Bekas Timbalan Mufti Terengganu itu sangat-sangat saya kagumi. Saya mula mengenalinya ketika bersama-sama dalam satu forum di masjid universiti. Saya menjadi moderator forum dan beliau salah seorang ahli panelnya. Kekaguman saya semakin menjadi-jadi apabila mengikuti kuliah kitab Al-Iqna’ dengannya.
Jelas suara loghat Terengganunya dari corong masjid, membahaskan mutiara ilmu dalam kitab Fathul Mu’in. Saya suka pada penerangannya. Mudah digarap dan difahami. Kata guru saya, kitab Fathul Mu’in merupakan sebuah tulisan yang sangat istimewa dan bernilai jika ditekuni dan diteliti. Mutiara-mutiara ilmu pada membicarakan ilmu fekah sangat keterhadapan. Bahkan tidak bisa dinafikan, kebijaksanaan pengarang dalam mengolah perbahasan pada masalah fekah begitu mengasyikkan.
Sewaktu melangkah masuk mengambil tempat, saya lihat teman-teman kampus sedang khusyuk meniti kuliahnya. Ada Saiful, Azren, dan Hafez. Mereka adalah senior saya. Saiful seorang hafiz al-Quran asal Terengganu. Saya begitu menghormatinya. Mungkin kerana penampilannya yang biasa-biasa sahaja. Bahkan mulutnya tidak lekang dari alunan ayat-ayat suci al-Quran yang ada di dada. Azren digelar teman-teman waliyullah. Ntah dari mana asal nama itu digelarkan padanya. Sedang Hafez, seorang yang peramah dan suka tersenyum. Kawan-kawan memanggilnya Pak Ngah. Sangat melucukan!
Usai kuliah dan sunat Dhuha saya terus pergi. Dalam perjalanan hati saya terus basah dengan zikrullah. Mengharapkan limpah rahmat, belas dan kasihNya. Mengharapkan curahkan rezki yang maha kaya dari Allah.
Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
6 Zulhijjah 1431H
0 ulasan:
Catat Ulasan