AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Munajat Sang Musafir



Tubuhnya masih keletihan. Rehla dari Terengganu ke Kelantan menaiki motor ternyata sangat memenatkan. Dia terasa berat untuk menghadap Tuhan. Terngiang-ngiang ditelinganya suara bersyair,

Sesungguhnya memanggil-manggil di kegelapan malam burung merpati yang bertenggek di atas dahan kayu. Ia terus sahaja memanggil-manggil sedangkan aku asyik dalam tidurku.

Bohong! Sebenarnya bohong aku demi Baitullah, seandainya aku benar seorang yang asyik (akan Allah) sudah tentu burung-burung tidak akan mendahuluiku menangis.

Aku mendakwa bahawa aku seorang pencinta yang bersangatan dahaga untuk bertemu kekasih, namun kenapa aku masih belum pandai menangis seperti menangisnya binatang.

Mendengar kalimat-kalimat itu hemahnya melonjak tinggi, nafsu ditundukkan. Dia bangun mahu beribadah.

Keresahan yang datang kebelakangan ini sangat-sangat mengugah dirinya. Malah dia hampir saja menemui jalan buntuh. Mujur Allah masih sudi mencampakkan taufiq dan hidayah ke atasnya.

Di tengah malam yang suci dan mendamaikan, dia terus-terusan bermunajat bersama derai tangis dan rayuan kepada Tuhan.

Tuhanku! Di pagi ini aku merasa patut menghadapMu, mengakui limpah kurniaanMu, berterimakasih terhadap nikmat yang Engkau berikan dan memohon keredhaanMu.

Tuhanku! Aku tahu tentang zaman lampauku dan masa kiniku. Aku percaya masa kiniku ini bukan dilahirkan oleh zaman lampauku, dan zaman lampauku itu pula tidak merintis masa kini ini. Dengan itu terserlahlah sinaran cahaya sesudah kegelapan, dan pagi menjelang menggantikan malam yang gelap-gelita.

Tuhanku! Walapun aku tahu zaman lampauku dan masa kiniku, namun aku tidak tahu tentang hari depanku. Tetapi aku berjanji akan terus berjalan mengikut garisan, oleh itu berilah aku, wahai Tuhanku, sinaran dari cahayaMu dan banjiran dari hidayah-Mu, agar aku mencapai hari depan yang menyebabkan Engkau redha terhadapku, aku redha terhadap diriku sendiri dan manusia umumnya redha terhadapku.

Tuhanku! Engkaulah yang aku sembah dan Engkau pula yang kupinta pertolongan. Beradalah bersama-samaku semasa aku beribadat kepadaMu. Beradalah bersama-samaku semasa aku meminta pertolongan kepadaMu.
Tuhanku! Sesungguhnya beban bumi dan hidup mengikatku ketika aku sedang berjalan menuju kepadaMu dan cuba memendekkan langkah-langkahku ketika aku berjuang untuk mendapatkan keredhaanMu. Oleh itu tolonglah aku, wahai Tuhanku, untuk mengatasinya dan melepaskan diriku darinya, agar aku tetap terus berjuang menuju redhaMu.

Tuhanku! Aku tahu bahawa kepecayaan orang memerlukan lebih banyak lagi perjuangan, dan sambutan mereka memerlukan tenaga yang berlipatganda dariku. Oleh itu bekalilah aku, wahai Tuhanku, dengan kekuatan dan bantuan, kerana sesungguhnya Engkau tidak mensia-siakan sesiapa yang melakukan amalan yang baik.

Tuhanku! Ramai orang yang berjuang dengan mata pedang keranaMu, dan ramai yang berjuang dengan harta dan kedudukan mereka keranaMu. Tetapi, wahai Tuhanku, aku hanya memiliki pena dan lisan saja. Terimalah, wahai Tuhanku, perjuanganku dengan kedua-duanya. Berkatilah perjuanganku ini dan datangkanlah sebaik-baik hasil darinya.

Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar segala doa.



Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
26 Zulkaedah 1431H

1 ulasan:

sesekali malu untuk meminta lagi pada tuhanMU pertolongan, rasanya tidak layak diri untuk menerima lagi nikmatMu,terlalu banyak,,, aku hambaMu yang xpernah bersyukur, seringkali mengingkariMu, membelakangkanMu,,,,kerapkali minta pertolongan tapi kerap kali jua aku dustaiMu,,tidak sanggup untuk aku mengangkat wajah ini,,MALU DENGAN MU YA ALLAH,,tapi adakah aku cukup ego dengan bersikap ini???aku sedar aku hambaMU bergantungpautku hanya padaMu,sewajibnya aku memohon denganMU,,tapi aku cukup malu dengan diri sendiri,,aku bukan hambaMu yang terbaik,,,,bantu aku YA ALLAH untuk menjadi hamba yang baik...