AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Istikharah, Berbisiklah!


Saya terjaga dari tidur ketika handphone berdering. Seketika mata saya mengerling ke arah jam, sudah pukul 4.13 pagi. Saya ingin bangkit. 

‘Wahai diri ini,
Berapakah lamanya engkau perlukan bagi melelapkan dirimu,
Sampai bila pula dirimu akan terbaring,
Hampir sahaja dirimu terlelap lena dalam perbaringanmu,
Hampir juga terus engkau tidak mampu bangkit,
Kecuali tatkala sangkakala ditiupkan,
Ketika manusia lena dibuai nikmatnya tidur,
Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,
Kerana diri ini akan mendatangiNya.’

Saya segera membersihkan diri. Saya solat Tahajjud dua rakaat. Dalam solat terasa Allah mengusap-ngusap dengan kasih sayangNya. Dia terasa sangat dekat, lebih dekat daripada urat leher. Hati terasa tenang tenteram.

Tanpa dipinta, ingatan saya jatuh padanya.

“Jika antara kita punya ketentuan dariNya, pasti terjadi. Biarlah Dia yang menjadi penentu dalam segala urusan, put your trust in Allah.”

“Ya Allah, berkatinya, rahmatinya, limpah belaslah ke atasnya.” Bisik saya penuh perasaan. Dua titis air hangat tiba-tiba terjatuh daripada kedua-dua mata.

Saya gapai mushaf al-Quran lalu melantunkan ayat-ayat cinta dari Allah. Allah seakan-akan sedang berbicara pada saya. ‘...Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik...’

“Usah dirisaukan perkara yang belum pasti natijahnya. Jadikan perasaan yang dirasai sebagai pendorong untuk terus mendapatkan cinta dan redhaNya.”

Ah! hati saya benar-benar basah dengan kata-katanya. Saya menangis!

Teringat pesan baginda sallallahu alayhi wa sallam, ‘Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah istikharah kepada Allah dan reda dengan apa yang ditentukan kepadanya. Manakala keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.’

Sebulan sudah saya istikharah. Dan sejak akhir-akhir ini dia sering sahaja hadir membawa ketenangan hati. Apakah ini suatu petunjuk daripada Allah sebagaimana yang dikomentarkan oleh Imam Nawawi dan kebanyakan ulama.

“Oh Tuhan! Saya mengharap petunjuk dan pimpinanMu.” Bisik saya sedan.
Usai bertilawah saya kucup mushaf tercinta itu dan meletakkannya di atas katil, saya bangkit untuk Istikharah. Resah ini mesti dipintal dengan petunjuk Allah.

“Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon penentuan-Mu yang baik dengan ilmu-Mu dan penetapan-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon keutamaan-Mu Yang Maha Agung kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa sedangkan aku tidak mengetahui, dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah ya Tuhanku, sekiranya Engkau mengetahui bahawa dia adalah baik bagi diriku, agamaku, hidupku, duniaku, ataupun natijah urusan hidupku, maka takdirkanlah dia kepadaku serta permudahkan dan berkatilah bagiku pada perkara itu. Dan sekiranya Engkau mengetahui bahawa dia adalah buruk bagiku, agamaku, hidupku, duniaku, ataupun natijah urusan hidupku, maka jauhkannya daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya, dan takdirkanlah bagiku yang baik sahaja bagiku di mana-mana pun dan redhakanlah aku dengannya.”

Ilahi Rabbi Anta Maqsudy, wa ridho ka mathluby!

 
Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin

1 ulasan:

tahajudku, rintihanku, doaku, bisikanku, rinduku moga dibalasNYa..mohon aku didengar, mohon aku dipandang dengan rahmat...aku bukan hamba terbaik untuk mengisi tempat terbaik hambaMu yang istiqamah,,betapa untungnya mereka,,dan ruginya diri ini...saat tahajud inginku berbicara tanpa henti,kosong fikiran hanya Engkau tumpuanku,,,dengan linang airmata,kusesal dosa berpanjangan,,,ingin ku malam itu berpanjangan tanpa hadirnya siang kerana pastinya aku lalai kembali,,aku makhlukMu yang memiliki iman senipis helaian rambut,,goyahnya hati itu mainan biasa,,,cukup bagiku hanya denganMU ya ALLAH.yang Maha Mengerti Maksud Hati ini.