AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Tafakkaru Fi Khalqillah!


Usai menadah kitab bersama ustaz Tirmizi saya tidak terus pulang ke kampus. Saya membawa diri ke pantai. Begitulah saya. Mentafakkurkan diri. Damai itu akan hadir sendiri.

Matahari di ufuk Timur masih belum muncul. Suasana dinihari di pantai sangat menenangkan. Saya jatuhkan pandangan ke arah pantai. Ombaknya berbuih putih. Bergelombang naik turun. Berkejar-kejaran menampakkan keriangan yang sangat menawan. Tiupan angin mengalirkan kesejukan. Suara desaunya benar-benar terasa seumpama desau suara zikir alam yang menciptakan suasana tenteram.

Saya halakan pandangan jauh ke tengah laut Cina Selatan. Nun jauh di sana ada tiga pulau yang tampak kecil dan hitam. Saya mengamati tiga pula itu yang letakkanya tidak jauh antara satu sama lain. Saya halakan pandangan ke kiri dan kanan. Laut itu terlihat begitu luas dan pulau itu begitu kecil. Padahal pulau itu mungkin ada ratusan manusia. Saya jadi berfikir, alangkah kecilnya manusia. Dan alangkah Penyayangnya Tuhan yang menjinakkan lautan sedemikian luas supaya tenang tidak menenggelamkan pulau berisi manusia.
Walhal boleh jadi di antara manusia yang berada di pulau itu terdapat manusia-manusia yang sangat derhaka kepada Tuhan. Pun begitu, Tuhan masih sahaja menunjukkan rasa kasih sayangNya, ia boleh menitahkan ombak untuk tenggelamkan pulau itu dan bahkan meluluhkan seluruh isi bumi ini.

“Ah! Alangkah baiknya Allah.” Liri saya pada diri sendiri.

Matahari terus berjalan menampakkan wajahnya. Sinarnya yang kuning keemasan menyimbah pantai lalu ikut berlari bersama ombak yang datang silih berganti seolah menyapa dan menciumi pasir-pasir pantai yang putih nan bersih, terasa damai dan indah. Menyaksikan fenomena alam yang dahsyat itu saya bertasbih,

“Subhanallah.”

“Maha suci Allah yang telah menciptakan alam seindah ini.”

Ya, alam bertasbih dengan keindahannya. Alam bertasbih dengan keteraturanya. Alam bertasbih dengan pesonanya. Segala keindahan, keterlaluan dan pesona alam bertasbih, menjelaskan keagungan Sang Pencipta. Bertasbih, menyucikan Tuhan dari sifat kekurangan. Keindahan pagi itu menjelaskan kepada siapa saja yang menyaksikan bahawa Tuhan yang menciptakan pagi yang luar biasa indah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Sempurna IlmuNya.

Siang, malam, senja, pagi bertasbih. Matahari, udara, laut, ombak dan pasir bertasbih. Semua benda yang ada di jagatraya ini bertasbih, menyucikan asma Allah. Dengan sinarnya, matahari bertasbih di peredarannya. Dengan hembusannya, udara bertasbih di alirannya. Dengan gelombangnya, ombak bertasbih di jalannya. Semua telah tahu bagaimana cara menunjukkan tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Kuasa.

“Adakah Tuhan selain Dia?”

“Kenapa kamu mempersekutukanNya?”

“Mengapa kamu mengingkari perintahNya?”

“Beraninya kamu bermaksiat kepadaNya?”

Soal-soal itu terus-terus menembak ke dada saya.
“Ternyata matahari terbit di Timur dan tenggelam di Barat dengan sangat teratur. Matahari tidak pernah terlambat terbit. Matahari juga tidak pernah bermain-main, lari ke sana lari ke sini seperti anak-anak yang bermain bola sepak atau main sorok-sorok. Ia beredar di jalan yang ditetapkan Tuhan untuknya. Dan selalu tenggelam di ufuk Barat tepat pada waktunya.” Bisik saya.

Ya, sinarnya itu adalah tasbih memuji Tuhan.

Saya tersihir dengan keindahan dan kedamaiannya. Di atas pasir pantai yang putih bersih saya terus leka bersama keagungan Ilahi.

Kalau Tuhan kita kenali
Kasih sayang dan peranan-Nya
Kalau Tuhan kita fahami
Keagungan dan kekuasaan-Nya

Kalau Tuhan kita rasakan
Betapa Dia sangat cintakan hamba-Nya
Kita akan sanggup berjuang, sanggup mati kerana-Nya
Kita akan sanggup berkorban apa saja kerana-Nya

Kalau Tuhan dikenali

Cintailah Tuhan
Dia adalah segalanya
Korbankanlah apa sahaja kerana-Nya

Cintakan Tuhan, Cinta paling mahal
Cintakan selain Tuhan, Cinta murahan

Kalau Tuhan kita kenali
Dialah segala-galanya
Kalau Tuhan kita fahami
Dialah Pengurus seluruh keperluan kita
Kalaulah kita faham
Tuhan ini siapa sebenarnya
Kita akan sanggup menerima ujian kerana-Nya
Kita sanggup buat apa sahaja demi cinta pada-Nya
Kita akan sanggup menderita demi cinta pada-Nya
Cintakan Tuhan cinta yang abadi


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Pantai Mengambang Telipuk
29 Zulkaedah 1431H

2 ulasan:

andai aku mudah menemui pantai atau laut, ingin jua hati ini merasai sepertimana hatimu berzikir pada tuhannmu,,,tatkala dulu aku menangis resah gelisah berpunca dari titik hitam menapak di hati, saranan murabbiku adalah "keluar dari kepongpong ini,cari laut atau padang yang luas,ketenangn wujud disitu" sampai saat ini, tak tertunai...inisiatifku hanya mampu memandang langit biru yang luas, berarak sikit demi sikit,ku tahu aku turut diperhati dari atas lantas mutiara jatuh berderai laju, sungguh aku rindu, sinar!

 

assalamualaikum zaid... kahar dah nak kahwin, insyaAllah 21-11 ni walimah.. pasangannya aisyah..
nta bila lagi ? katanya nak semabng sesuatu kan.. boleh mesej ana d mai_arrazi@yahoo.com.. ana sudi mdengarnya insyaAllah !!! :)

~mai~